Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, March 22, 2016

DUN tergantung: Pas berpeluang tubuh kerajaan baharu

NIZAM ZAIN
Khalid Samad
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa tidak melepaskan peluang untuk membentuk kerajaan negeri baharu apabila jumlah kerusi Dun Terengganu antara BN dan pembangkang sama banyak pada masa ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, pimpinan Pas Terengganu perlu menyatakan pendirian dengan segera untuk mengelakkan Dun Terengganu terus tergantung.

"Kita merayu kepada pimpinan Pas Terengganu untuk memainkan peranan dalam memastikan kerajaan negeri baharu dibentuk.

"Pas Terengganu perlu bersama seorang Adun PKR dan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said bertindak sama ada buat keputusan (bentuk kerajaan) atau bubarkan Dun Terengganu," katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini ini.

Beliau mengulas keadaan Dun Terengganu tergantung apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menarik balik peruntukan kawasan Dun Kijal daripada Ahmad pada Ahad lepas.

Peruntukan Dun Kijal kini diuruskan pejabat Menteri Besar, sekaligus memperlihatkan layanan yang diterima Ahmad kini sama seperti di kawasan pembangkang di negeri itu.

Ahmad Razif berkata, penarikan itu susulan tindakan Ahmad yang tidak mencerminkan statusnya sebagai wakil rakyat kerajaan baru-baru ini.

Pada 8 Mac lepas, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada persidangan Dun namun, ia ditolak oleh Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pula mencabar Abdul Hadi menasihatkan kerajaan negeri itu membubarkan Dun Terengganu demi kepentingan rakyat.

"Razif telah melantik Pas (Abdul Hadi) sebagai penasihat Terengganu sebelum ini. Jadi di mana pendirian penasihat ini? Terus menasihat atau mestikah beliau mengambil satu keputusan untuk menghilangkan kerisauan rakyat," ujarnya.

Sementara itu Adun Bandar, Azan Ismail yang dihubungi Sinar Harian berkata, apabila seorang wakil rakyat mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, secara otomatik kedudukan sebagai wakil kerajaan negeri tergugur.

Katanya keadaan itu sekaligus tidak memberi kelebihan kepada BN apabila Ahmad kini dianggap sebagai wakil rakyat pembangkang menjadikan jumlah kerusi berkurang satu kepada 16 kerusi dalam Dun Terengganu.

"Walaupun Ahmad Said belum keluar BN, keadaan kerusi Dun Terengganu sudah jadi 16 BN dan 16 pembangkang. Bila Dun tergantung, pentadbiran tak boleh dibuat, tak boleh meluluskan bajet, cara terbaik ialah dengan membubarkan Dun.

"Dalam keadaan tergantung ini, kita tak mahu kerajaan buat keputusan yang menyalahi undang-undang. Dengan cara bubarkan Dun, biar rakyat buat pilihan baharu," katanya lagi.