Thursday, March 24, 2016

Kiriman wang pekerja asing ke negara asal meningkat, jejas ekonomi Malaysia

KULAI, 24 MAC: Pengaliran keluar jumlah wang pekerja asing dari Malaysia ke negara asal yang meningkat kepada RM34.7 bilion pada tahun lalu membuktikan bahawa pengambilan pekerja asing secara besar-besaran oleh kerajaan menambah beban ekonomi rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata jumlah wang tersebut seharusnya dijana oleh rakyat Malaysia, seterusnya meningkatkan aliran tunai dalam negara dan memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi tempatan.

“Kiriman wang pekerja asing ke luar negara adalah RM10 bilion pada tahun 2009, ini bermakna ia telah meningkat sebanyak 3.5 kali ganda hanya dalam masa 6 tahun.

“Pendapatan per kapita kita pula adalah RM36,285 pada tahun 2015. Jika wang yang dikirim ke luar negara itu dijana oleh rakyat Malaysia, ia akan meningkatkan pendapatan per kapita kepada RM37,406, iaitu pertambahan sebanyak RM1,121.

“Ia sekaligus menambah aliran tunai dalam negara serta kuasa beli rakyat, dan pada masa sama, ekonomi tempatan akan lebih pesat membangun,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, di sidang Parlimen baru-baru ini bahawa jumlah wang yang dihantar balik oleh pekerja asing ke negara asal mereka meningkat sebanyak 23.2 peratus kepada RM34.75 bilion setakat akhir tahun lalu.

Menurut Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai, terdapat kebarangkalian bahawa jumlah wang sebanyak RM34.75 bilion itu turut dikirim oleh pendatang asing tanpa izin yang bekerja secara tidak sah di negara ini.

“Kementerian Dalam Negeri melapor bahawa terdapat 2.08 juta pekerja asing yang sah dalam negara pada 31 Januari 2016. Dalam erti kata lain, setiap pekerja asing telah mengirim wang sebanyak RM16,683 setahun atau RM1,416 sebulan ke negara mereka pada tahun lalu.

“Angka ini agak terlalu tinggi untuk menjadi nyata, justeru timbul kemungkinan bahawa pekerja asing tanpa izin mungkin 100 hingga 150 peratus lebih ramai daripada pekerja asing sah yang direkodkan di negara kita,” katanya. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-