Wednesday, March 9, 2016

Kit Siang manusia 'paling bijak' di Malaysia, kata Pandikar

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sindir Lim Kit Siang kerana mendakwa titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan Dewan Rakyat adalah ucapan yang disediakan Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac, 2016.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menyindir Lim Kit Siang kerana mendakwa titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan Dewan Rakyat awal minggu ini adalah ucapan yang disediakan Datuk Seri Najib Razak.

Menggelar Lim "manusia paling bijak di Malaysia", Pandikar bagaimanapun berkata terpulang kepada rakyat untuk menilai kenyataan yang dikeluarkan ketua Parlimen DAP itu.

"Saya rasa dia manusia paling bijak di Malaysia. Tidak ada bawah peraturan mesyuarat buat kenyataan di luar Dewan Rakyat ambil tindakan.

"Biar orang ramai yang lihat," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini ketika ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap veteran DAP itu.

Pandikar berkata, tiada tindakan akan dikenakan terhadap ahli Parlimen Gelang Patah itu memandangkan kenyataan yang dikeluarkan beliau tidak melibatkan sebarang pelanggaran peraturan Dewan Rakyat.

"Terpulanglah. Bagi saya, kalau dia sudah begitu dia cuma melanggar etika Parlimen. Mengapa dihujah," kata Pandikar.

Lim sebelum ini berkata, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hanya membacakan teks ucapan yang disediakan kerajaan kerana bertitah menyatakan hasrat supaya mengekalkan pentadbiran sedia ada bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

"Ucapan Agong disediakan kerajaan," kata Lim yang ketika ini digantung selama 6 bulan dari menghadiri sidang Dewan Rakyat sejak Oktober lalu.

Tuanku Abdul Halim mengeluarkan titah baginda itu ketika berucap pada pembukaan mesyuarat pertama penggal ke-4 Parlimen ke-13 Isnin lalu.

Dalam titah baginda, Tuanku Abdul Halim menyeru ahli Parlimen berhenti berpolitik atas kepentingan sempit kerana ia melelahkan rakyat dan kerajaan dan ia berlaku sejak sekian lama.

Susulan kenyataan Lim yang disiarkan portal berita Malaysiakini bertajuk “Kerajaan sediakan titah Agong, kata Kit Siang” pada Isnin, 3 individu membuat laporan polis terhadapnya, masing-masing di Sentul, Rawang dan Wangsa Maju.

Berikutan itu, Lim pula menggesa polis mengambil tindakan terhadap 3 individu itu yang dikatakannya membuat laporan palsu terhadapnya dengan menuduh beliau cuba menghasut orang ramai memperlekeh Yang di-Pertuan Agong.

Tiga individu itu turut membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Malaysiakini. – 9 Mac, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianoutsider.com/bahasa/article/kit-siang-manusia-paling-bijak-di-malaysia-kata-pandikar#sthash.1oNFyfGJ.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-