Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, March 30, 2016

Kumpul tandatangan tidak beri kesan terhadap PM

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
30 MAC 2016

Najib Tun Razak. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Sejuta tandatangan yang dikumpulkan melalui Deklarasi Rakyat tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana cara menukar perdana menteri melalui petisyen atau mengumpul tandatangan tidak terkandung dalam Perlembagaan negara dan Akta Pilihan Raya.

“Menukar perdana menteri hanya boleh melalui dua proses iaitu pilihan raya atau undi tidak percaya. Selain itu, tidak ada.

“Jadi kalau berlaku demikian (sejuta tandatangan), tindakan itu tidak selaras dengan Perlembagaan,” katanya, semalam.

Beliau mengulas mengenai usaha Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumpul sejuta tandatangan rakyat Malaysia bagi mendesak Najib berundur.

Deklarasi itu seterusnya akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan agar perdana menteri ditukar.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, Majlis Raja-Raja juga tiada kuasa dalam pelantikan perdana menteri.

“Yang ada kuasa pelantikan perdana menteri hanya Yang di-Pertuan Agong, tetapi proses itu perlu dijalankan selepas pilihan raya atau ketika berlaku undi tak percaya,” katanya.

Ditanya sama ada Deklarasi Rakyat boleh mengubah objektifnya iaitu mendesak pilihan raya diadakan segera, beliau berkata, tindakan itu juga tidak betul.

“Kalau mereka nak tukar petisyen kepada desak Yang di-Pertuan Agong, perlu bubar Parlimen. Itu tak betul. Yang di-Pertuan Agong hanya akan bubarkan Parlimen setelah dinasihatkan apabila sampai masanya untuk adakan pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha yang dilakukan melalui Deklarasi Rakyat itu masih boleh dianggap sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.

“Malaysia sebuah negara demokrasi dan apa yang dibuat oleh Deklarasi Rakyat ini adalah untuk mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa sejuta rakyat tidak bersetuju dengan pentadbiran sekarang.

"Sama juga dengan cara-cara lain seperti demonstrasi jalanan atau tulisan kritikan di media. Tetapi dalam proses tukar kerajaan memang kena ikut Perlembagaan,” katanya.