Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, April 26, 2016

1MDB tiada kaitan Sarawak, tegas Adenan

Anne Muhammad & Bede Hong
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Katanya, pembangkang mahu membawa 1MDB ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebagai satu isu.

"Ini adalah pilihan raya negeri, bukan pilihan raya umum. Mereka mahu membangkitkan isu negara kerana mereka mahu mengheret perkara 1MDB ini (ke PRN).

"Kami tidak ada kaitan dengan 1MDB," katanya kepada pemberita, di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching sebentar tadi.

1MDB merupakan dana pelaburan negara yang kini hutangnya mencecah RM50 bilion.

Sementara itu, Adenan mengakui bahawa kos sara hidup semakin meningkat, bagaimanapun, kerajaan sudah banyak membantu rakyat dengan menghapuskan cukai tanah dan tol.

Namun, beliau berkata, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu sedikit sebanyak dapat membantu negara di kala kejatuhan harga minyak.

"Apabila GST dilaksanakan, ia lebih terbuka dan nasib baik kita ada GST ketika harga minyak jatuh.

" Awak tahu berapa banyak kita kehilangan sekiranya tidak melaksanakan GST dan harga minyak runtuh? Kita kehilangan berbilion-bilion ringgit.

"Sekurang-kurangnya GST dapat menampung kerugian," katanya yang menambah 168 negara turut melaksanakan GST.

Beliau yang juga pengerusi BN Sarawak berkata demikian ketika ditanya mengenai sebahagian ahli parlimen negeri itu meluluskan rang undang-undang berkaitan GST pada 2013.