Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, April 15, 2016

2000 anggota ditugaskan kawal forum Dr Zakir

ASYRAF MUHAMMAD
14 APRIL 2016
Abu Shariz
SHAH ALAM -  Pengarah Program Ceramah Umum Dr Zakir Naik 2016, Abu Shariz memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan kira-kira 2000 orang anggota bagi mengawal keselamatan orang awam ketika penganjuran program Dr Zakir Naik yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Menurut Abu Shariz, anggota keselamatan tersebut terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pasukan komando serta pengawal keselamatan.

“Kerajaan akan menyediakan jumlah pasukan keselamatan yang mencukupi dalam penganjuran program pada Sabtu ini dan ini bukan merupakan sesuatu yang ganjil memandangkan dalam perlawanan bola sepak pun, pasukan keselamatan yang ditugaskan adalah lebih kurang 3000 orang,”katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memutuskan untuk tidak membenarkan forum Dr Zakir di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selepas tajuk forumnya "Persamaan Antara Hinduisme dan Islam" mencetuskan kontroversi.

Namun begitu, selepas mendapat maklum balas yang kurang menyenangkan daripada masyarakat Islam negara ini, kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan forum agama pada Ahad ini diteruskan dengan syarat tajuk asal program itu perlu ditukar.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keselamatan Dr Zakir Naik di negara ini selepas berlakunya kontroversi berkenaan, Abu Shariz memaklumkan bahawa keselamatan beliau tidak pernah menjadi isu pada ketika ini.

“Kami percaya kebanyakan rakyat negara ini merupakan rakyat yang sivil, menghormati hak antara satu sama lain serta memberi ruang sesama sendiri. Cuma persoalannya hanyalah berikutan terdapat segelintir pihak yang sedang melakukan provokasi lebih kepada penyebaran maklumat yang tidak sahih,”katanya.

Tambahnya, sekiranya orang bukan Islam ingin menghadiri program berkenaan, keselamatan mereka dijamin akan selamat berikutan daripada penyediaan jumlah anggota keselamatan yang mencukupi.