Sunday, May 29, 2016

Jambatan runtuh, enam kenderaan hilang dibawa arus

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 MEI 2016





Foto viral menunjukkan keadaan jambatan Sungai Ulu Telom yang runtuh dibawa arus.

CAMERON HIGHLANDS - Banjir kilat selama sejam di tanah tinggi ini awal pagi tadi menyebabkan sebuah jambatan menghubungkan perkampungan Orang Asli runtuh.

Memetik laporan Berita Harian, dalam kejadian itu juga, tiga buah kereta dan tiga motosikal dihanyutkan arus.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 2.30 pagi turut menyebabkan sebuah kereta milik pelancong rosak akibat dihempap pokok manakala beberapa rumah penduduk turut dinaiki air setinggi lebih kurang 0.3 meter.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman berkata, arus deras Sungai Ulu Telom mengakibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan jalan raya utama dengan perkampungan Orang Asli Pos Terisu di Batu 49, Kuala Terla, runtuh.

"Dipercayai lokasi jambatan yang runtuh adalah tempat di mana laluan arus dua anak sungai iaitu Sungai Tringkap dan Sungai Kuala Terla bertembung masuk ke sungai utama iaitu Sungai Ulu Telom yang terletaknya jambatan itu.

"Dalam pada itu, penduduk sekitar bergotong-royong dengan menggunakan besi untuk dijadikan laluan sementara kegunaan motosikal bagi menggantikan jambatan berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga kereta dan tiga motosikal yang hanyut itu pula berlaku di Jalan Kolam Air, Brinchang, dengan semua kenderaan itu mengalami kerosakan akibat dimasuki air.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku selain tiada penduduk dipindahkan manakala air surut kira-kira sejam kemudian.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-