Tuesday, July 12, 2016

DAP 'topeng' untuk menghina Islam

Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Penghinaan terhadap Islam yang berterusan oleh parti rasis dan cauvinis dilakukan atas tujuan menghilangkan nilai sensitif ummat Islam terhadap agamanya apabila dihina.

Terbaharu pemimpin parti itu, Nga Kor Ming telah menghina amalan ummat Islam untuk bergembira di hari raya sekaligus mendedahkan sedikit demi sedikit niat busuk DAP untuk terus menghina Islam.

Mantan Presiden Persatuan Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd Hasan berkata, ini bukan kali pertama pimpinan DAP membuat penghinaan sedemikian.

“Sebelum ini beliau pernah menyindir pemakaian wanita dengan menggambarkan seolah ianya jumud dan kuno.

“Lebih menjelikkan, Nga memberi alasan bahawa dia menghormati Islam dengan memberi sumbangan ke masjid dan masyarakat Islam yang memerlukan. Inilah sebenarnya ‘dedak’ yang DAP tabur untuk membolehkan mereka terus menghina Islam,”katanya kepada Ismaweb.

Ustaz Ibrahim berkata, hakikatnya kita jangan anggap Kor Ming sebagai hanya seorang individu tetapi DAP itu sendiri sebagai sebuah gerakan terancang, tersusun, sistematik dan beragenda untuk menghilangkan nilai sensitif ummat Islam terhadap agamanya apabila dihina.

“Ini kerana pimpinan DAP yang lain juga sebelum ini menghina Islam dan autoriti agama di Malaysia. Ini termasuklah mempertikaikan khutbah jumaat, menafsirkan Jihad sebagai keganasan, mempertikaikan sambutan Valentines Day oleh orang Islam dan menyamakan kod etika ke JPJ sama seperti pakaian ke masjid dan bermacam-macam lagi.

“Justeru, kita semua jangan mudah tertipu dengan sumbangan DAP kepada masjid mahupun sekolah agama kerana ia merupakan topeng kepada perbuatan mereka menghina Islam.

“Jika kita terus berdiam, ini bermakna kita telah termakan dedak yang ditabur DAP,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-