Saturday, September 10, 2016

Dr Mahathir ibarat meludah ke langit, kata Khairy

by MT Webmaster
(Utusan) – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir diibaratkan seperti ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’ apabila sanggup bertemu dengan seteru politik nombor satunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, hanya kerana kebenciannya terhadap UMNO, Dr. Mahathir sanggup menghalalkan apa sahaja cara termasuk menggadaikan semua prinsip yang dipertahankan selama ini bagi memastikan matlamat beliau tercapai.

“Selama 18 tahun kita dalam UMNO diajar berjuang menentang manusia bernama Anwar Ibrahim. Sejak sekian lama saya dalam Pemuda dididik bahawa musuh kita adalah Anwar Ibrahim. Namun, apa jadi baru-baru ini?

“Ibarat ludah ke langit, ludah itu jatuh ke muka. Hanya kerana kebencian terhadap pemimpin, terhadap UMNO dan demi cita-cita sendiri, beliau sanggup berjumpa dengan orang yang sebelum ini diajarnya supaya dijadikan musuh nombor satu kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bachok di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Husin.

Isnin lalu, Dr. Mahathir bertemu Anwar buat kali pertama selepas 18 tahun persengketaan mereka atas alasan untuk menyatakan sokongan kepada bekas timbalannya itu yang mengemukakan injuksi bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Khairy berkata, keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai parti politik membuktikan keterbukaan kerajaan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.

“Kalau disekat penubuhan parti baharu ini maka mereka akan kata tidak adil. Sekarang kita sudah beri peluang kepada mereka dan kita akan bertemu di medan politik nanti. Sudah tidak ada alasan kononnya mereka disekat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut menyelar bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mendakwa kononnya Pemuda UMNO mengamalkan politik kekampungan dengan cara menakut-nakutkan bangsa lain, biarpun diketuai seorang lulusan Universiti Oxford.

“UMNO menggalas tanggungjawab memajukan orang Melayu dan mempertahankan kesucian Islam namun dalam masa sama tidak menidakkan hak-hak kaum lain. Itu terkandung dalam perlembagaan parti. Kita berjuang untuk orang Melayu namun itu tidak bermakna kita menakut-nakutkan bangsa lain.

“Saya tidak faham apa politik kekampungan dimaksudkan. Kalau nak kata kita serasi dengan orang kampung… ya, kita akan teruskan politik ini kerana orang kampung memang sayangkan UMNO dan kita ada kekuatan sendiri di kawasan luar bandar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-