Friday, October 21, 2016

Bajet 2017: BR1M naik kepada RM1,050?

OLEH AINUL ASNIERA AHSAN :

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2017 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan ditingkatkan kepada RM1,050 berbanding RM1,000 sekarang.

Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM800 kepada RM850.

Insentif ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017 di Parlimen esok.

Sumber berkata, kenaikan itu selari dengan janji kerajaan untuk meningkatkan BR1M sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun.

Ia juga mengambil kira kenaikan kos sara hidup di negara ini.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, mekanisme baru BR1M akan diumumkan oleh Najib dalam Bajet 2017.

Program BR1M diperkenalkan pada tahun 2012 merupakan pemberian bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 hingga RM4,000.

Setakat ini, BR1M dimanfaatkan oleh 4.7 juta isi rumah dan 2.7 orang individu.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada 2013, BR1M 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada 2014 BR1M 3.0, bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan bantuan sebanyak RM450.

Dalam Bajet 2015, kadar BR1M 4.0 dinaikkan kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000, kadar BR1M dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Pada Bajet 2016, satu kategori baharu akan diperkenalkan untuk semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 menerima BR1M sebanyak RM1,050. 

- MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-