Showing posts with label Bajet 2017. Show all posts
Showing posts with label Bajet 2017. Show all posts

Monday, October 31, 2016

Pertanyaan Husni tentang 1MDB di Dewan Rakyat tidak menyalahi peraturan parti

NASIONAL DI KUALA LUMPUR  :
Tindakan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melontarkan pertanyaan demi pertanyaan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk mengapa entiti itu perlu ditubuhkan dalam perbahasan Bajet 2017 tidak melanggar peraturan parti.

Malah menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, jika disemak rekod soalan-soalan yang dibangkitkan sebelum ini, sememangnya ada dalam kalangan ahli parlimen dari UMNO dan Barisan Nasional yang menegur kerajaan dalam Dewan Rakyat.

"Dalam sudut parti ahli parlimen kita bebas untuk bersuara, sebelum ini ada juga ahli parlimen kita yang tegur kerajaan jadi dari sudut itu setakat ini, kita tidak nampak ia ada melanggar mana-mana peraturan peringkat parti.

"Tapi kalau ikut undang-undang semasa itu polis perlu siasat dan menentukannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Husni dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Dalam perbahasan ucapan Bajet 2017 itu, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan tujuan 1MDB ditubuhkan, selain tindakan yang mungkin dikenakan terhadap pengurusan agensi itu jika didapati bersalah.

Hari ini Husni dipanggil ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi kenyataan berhubung perkara itu. Bagaimanapun proses mengambil keterangan itu ditangguhkan.

Sementara itu, katanya ahli parlimen juga perlu diingatkan bahawa, bukan semua perkara boleh dibahaskan oleh mereka dalam Dewan Rakyat, walaupun mereka mempunyai imuniti.

‎"Ahli parlimen tidak tertakluk sepenuhnya dalam imuniti parlimen...ada yang masih tertakluk undang-undang tertentu iaitu melibatkan Raja Melayu, hasutan, fitnah," katanya lagi.

Sunday, October 30, 2016

Husni mungkin dicantas kerana ucapan 1MDB

FMT Reporters :

PPBM ramal Umno akan menjadikan bekas menteri kewangan II sebagai contoh kepada ahli parti.
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak percaya serangan Umno terhadap Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah isyarat bekas menteri kewangan II itu akan dipecat.

Penyelarasnya Hamidah Osman, dahulunya Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, meramalkan tindakan yang akan Umno ambil bagi membendung kritikan berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam parti lamanya.

“Saya tak terkejut kalau beliau dipecat sebab kita dapat lihat sudah ada kritikan dibuat selepas persoalan itu ditimbulkan. Perkara lain mungkin menyusul,” katanya menurut Sinar Harian.

Ahli Parlimen Tambun memngeluarkan beberapa kenyataan yang kritikal terhadap 1MDB dalam perbahasan Bajet 2017 minggiu lepas. Beliau meletak jawatan daripada Jemaah Menteri pada Jun.

Hamidah, yang dipecat Umno tahun lepas percaya kepimpinan parti lamanya itu kan menjadikan Husni sebagai contoh kepada ahli parti.

“Sebabnya, kalau diam maknanya betullah apa yang dipersoalkan Ahmad Husni dan dari situ akan ada lagi yang akan buka mulut tentang 1MDB ini,” katanya.

“Melihat keadaan hari ini, boleh saya katakan Umno telah hilang pertimbangan. Sesiapa yang menentang arus pasti akan jadi mangsa.”

Hamidah berkata skandal 1MDB membuka mata ramai pihak dan menghancurkan wibawa Umno.

Friday, October 28, 2016

1mdb tiada kaitan dengan Bajet 2017, dakwa menteri

Kow Gah Chie  : 

1MDB tidak disebut dalam Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober dan dalam Laporan Ekonomi 2017, yang memberikan gambaran keseluruhan mengenai kemajuan ekonomi negara, kerana ia adalah dua perkara yang berasingan.

Dalam penjelasannya, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata, bajet kerajaan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan 1MDB, yang diuruskan oleh lembaga pengarahnya.

"Bajet adalah bajet, 1MDB adalah 1MDB, ianya dua perkara yang berasingan

"Bajet adalah sesuatu yang kita bentangkan kepada orang ramai untuk menjelaskan apa yang kerajaan akan lakukan - bagaimana hendak membelanjakan wang dengan pendapatan. Bajet tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan 1MDB. Sila beritahu saya bahagian mana yang berkaitan," katanya kepada Malaysiakini.

"Tetapi adalah salah untuk mengatakan bahawa kita tidak menangani (masalah) 1MDB," katanya.

"Melupuskan sebahagian aset untuk membayar bil-bil dan mencari rakan usaha sama untuk membangunkan tanah adalah antara rasionalisasi (pelan pengurusan hutang 1MDB)," jelasnya.

Menyelesaikan pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) Abu Dhabi juga merupakan salah satu strategi kerajaan dalam menangani isu itu, tambahnya.

Kerajaan, tegasnya, telah menunjukkan sikap keterbukaannya apabila ia mengarahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengadakan satu pendengaran mengenai 1MDB.

Selain itu, tambahnya, kerajaan membenarkan pihak berkuasa luar negara untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan yang berkenaan dan memfailkan tindakan undang-undang mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan 1MDB.

Pada amalannya, kata Johari, kerajaan hanya akan membawa perkara itu kepada perhatian Parlimen apabila masalah timbul.

Memetik Malaysia Airline System (MAS) sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan untuk MAS dalam rombakan operasinya dan memberitahu Dewan Rakyat mengenainya.

"Tetapi apabila MAS tidak ada masalah, kita tidak beritahu Parlimen," katanya.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua telah membangkitkan isu defisit yang meningkat di kalangan perbadanan awam bukan kewangan (NFPCs) dalam satu kenyataannya pada hari Ahad.

Beliau berkata defisit perbelanjaan tersebut adalah RM10.6 bilion pada tahun 2013, tetapi dianggarkan mencecah RM50.5 bilion tahun ini.

Pua telah mendakwa bahawa sama ada 1MDB atau projek-projek yang dijalankan oleh anak-anak syarikatnya, pernah disenaraikan sebagai salah satu daripada 30 NFPC dalam laporan ekonomi sebelum ini, dan hanya dikurangkan kepada 29 NFPC dalam Laporan Ekonomi 2014/2015.

Pua kemudian mendakwa defisit itu boleh menjadi lebih tinggi sekiranya kerajaan memasukkan 1MDB atau anak-anak syarikatnya sebagai salah satu NFPC.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan perlu memasukkan 1MDB untuk mencerminkan lebih baik mengenai prestasi syarikat berkaitan kerajaan ((GLC).

Pua membuat dakwaan itu berdasarkan Laporan Ekonomi 2012/2013, yang menyatakan NFPC terlibat dalam projek-projek, antaranya, pembangunan bercampur di Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX), akan memberi impak besar ke atas pertumbuhan ekonomi serta mengubah fizikal, kewangan dan landskap digital Malaysia pada masa akan datang.

Laporan ekonomi sebelumnya, bagaimanapun tidak menyenaraikan semua 30 syarikat itu.

Johari menjelaskan bahawa 1MDB tidak pernah dimasukkan sebagai salah satu daripada NFPC dalam laporan ekonomi sebelumnya.

"Mengapa 1MDB bukan salah satu daripada 29 atau 30 NFPC? Kerana NFPC ditakrifkan sebagai syarikat yang beroperasi. Tetapi jika anda adalah sebuah syarikat pelaburan, maka anda tidak termasuk," kata beliau sambil menambah Khazanah tidak ada dalam senarai itu atas sebab yang sama.

Beliau berkata anak syarikat boleh disenaraikan sebagai NFPC dalam laporan ekonomi jika sekurang-kurangnya 50 peratus daripada ekuiti syarikat beroperasi itu, dimiliki oleh kerajaan dan mempunyai perolehan tahunan sebanyak RM100 juta.

Johari, bagaimanapun tidak bersetuju bahawa kedudukan kewangan syarikat kerajaan boleh ditakrifkan dengan hanya melihat pada defisitnya.

"Saya rasa pengiraan itu adalah salah. Anda tidak boleh mengira defisit dengan cara ini. Anda hanya akan mempunyai defisit apabila kedua-dua kunci kira-kira (balance sheet) dan dana pemegang saham adalah negatif," katanya.

"Tetapi jika dana pemegang saham mereka adalah positif, yang bermakna mereka mempunyai 'corresponding asset'. maka anda tidak boleh memanggilnya defisit," katanya.

"29 syarikat yang disenaraikan adalah syarikat-syarikat yang tegap, mereka membayar cukai korporat dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Mereka mempunyai liabiliti tetapi pada masa yang sama, mereka mempunyai aset.

"Mereka tidak mengalami defisit, mereka mempunyai liabiliti dan 'corresponding asset'; (tetapi) anda tidak boleh lihat pada liabiliti tanpa melihat pada aset," katanya.

Tuesday, October 25, 2016

Kerajaan tidak pernah tipu data, kata Najib

FMT Reporters : 

Najib yakin majoriti rakyat akan menyokong kerajaan sekiranya mereka menyemak kebenaran sesuatu berita.
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak berkata pentadbirannya tidak pernah memanipulasi data dan statistik bagi mengelirukan orang awam, dan berserah kepada rakyat bagi menentukan kebenaran.

“Saya sentiasa mengingatkan rakan-rakan dalam kabinet bahawa kita mesti mengutamakan kebenaran dan hak. Bukan memanipulasi fakta untuk kepentingan diri dan kumpulan yang kecil,” kata perdana menteri seperti dipetik Bernama, dalam ucapan yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2016 malam semalam.

Seminar tersebut bertemakan “fiqh tabayyun” atau menyemak asas kebenaran, dan dianjurkan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) yang dipengerusikan Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.

Najib berkata perkara sama tidak dilakukan oleh pengkritik kerajaan.

“Mereka beranggapan kebenaran adalah milik eksklusif mereka semata-mata… apabila diberikan hujah balas, mereka menganggapnya sebagai ‘propaganda’ kerajaan, malah menuduh kita setaraf Joseph Goebbels dan Hitler,” kata Najib tanpa menyebut siapa yang dimaksudkan.

Bagaimanapun ia dipercayai ditujukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang bulan lalu membandingkan penyokong Najib kepada Hitler dan pegawai propagandanya Goebbels.

Najib yakin majoriti rakyat akan menyokong kerajaan sekiranya mereka menyemak kebenaran sesuatu berita.

“Berlandaskan fitnah, pembohongan dan hasutan, Malaysia ini sudah bankrap dan muflis entah untuk kali yang ke berapa. Faktanya, pembentangan Bajet 2017 memberi gambaran sebenar bahawa ekonomi Malaysia masih kukuh, utuh dan kuat…yang bankrap dan muflis sebenarnya adalah kelompok kecil yang lahap dan haloba kuasa,” kata beliau.

Jumaat lepas, Najib membentangkan bajet bernilai RM260.8 bilion, bagaimanapun ia diselar sebagai tidak realistik oleh wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat ketika ucapannya.

Monday, October 24, 2016

'Kos ECRL RM55b macam nak bina landasan emas'

SALWANI MD ZAIN :
Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa satu siasatan menyeluruh (audit) atau ditubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai rasional kos pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan harga RM55 bilion seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Beliau mendakwa, pengumuman itu walaupun nampak seolah-olah projek untuk menjaga kebajikan rakyat namun masih banyak persoalan yang perlu diperincikan.

"Di manakah rasionalnya apabila kos pembinaan bernilai RM55 bilion, ini bermakna 1 kilometer boleh dianggarkan mencecah RM91 juta, sedangkan landasan berkembar dari Negeri Sembilan ke Johor Bharu hanya berjumlah lebih kurang RM3 juta secara keseluruhannya. Jadi saya minta satu jawatankuasa khas parlimen mesti buat semakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

Mahfuz berkata, timbul tanda tanya apabila pada 26 Julai 2016, Menteri Kerja Raya menafikan laporan dari Sarawak Report yang mendakwa Putrajaya akan menaikkan harga pembinaan itu daripada RM30 bilion kepada RM60 bilion.

"Dukacita apabila menteri terbabit menafikan dengan alasan Kabinet belum mengadakan sebarang perbincangan pada Julai 2016.

"Saya hairan bagaimana Menteri Kerja Raya yang menafikan laporan itu tiba-tiba projek ini boleh masuk dalam bajet dengan nilai harga RM55 bilion, kurang RM5 bilion daripada laporan Sarawak Report," katanya.

Dakwa Mahfuz, walaupun dinafikan, beliau melihat perkara ini hampir ada persamaan dengan laporan dari Sarawak Report.

"Bagi saya adakah ini satu perbelanjaan kos landasan yang paling mahal dalam dunia? Saya tak tahu lah mungkin kerajaan nak bina rel tu daripada emas ke atau besi buruk.

"Sebab itu bila diumumkan projek-projek yang dilihat sebagai menampakkan pemberian itu kepada rakyat saya masih persoalkan," katanya.

Pada pembentangan Bajet 2017 Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa peruntukan untuk menyejahterakan rakyat termasuklah meningkatkan taraf pengangkutan awam.

Salah satu tumpuan itu adalah kepada pelaksanaan projek rel baharu ECRL sepanjang 600km yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur dengan kos RM55 bilion.

Sunday, October 23, 2016

Tak berkesan tangani kos sara hidup

SALWANI MD ZAIN
23 OKTOBER 2016
SHAH ALAM - Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat kelmarin, dilihat kurang kukuh dalam meningkatkan pertubuhan dan daya tahan ekonomi yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari berkata, terdapat beberapa perkara menyebabkan objektif itu gagal.

Menurutnya, sebanyak 82 peratus daripada peruntukan bajet itu untuk perbelanjaan pengurusan, manakala hanya 18 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Sepatutnya dalam keadaan ekonomi sederhana seperti sekarang, kerajaan perlu tingkatkan perbelanjaan pembangunan kerana ia pelaburan jangka masa panjang yang memberi kebaikan kepada generasi berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Hal itu katanya, pengurangan cukai masa kini bermaksud kenaikan cukai masa hadapan.

"Begitu juga hutang hari ini akan dibayar pada masa hadapan oleh generasi berikutnya. Jika hutang masa kini digunakan untuk pelaburan, maka ia beri kebaikan kepada generasi akan datang," katanya.

Selain itu katanya, usaha-usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi dan mencari potensi pertumbuhan baharu tidak diberi keutamaan.

“Hampir satu pertiga Keluaran Dalam Negeri Kasar dijana daripada industri berasaskan minyak sawit dan petroleum. Usaha pelbagaikan ekonomi dan cari sumber pertumbuhan baru sangat penting bagi memastikan ekonomi tidak terdedah kepada faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi,” katanya.

Jelas Mohd Yusof, struktur pasaran pengeluaran makanan di Malaysia bersifat oligopolistik, namun tiada usaha untuk mengubah struktur pasaran tersebut.

“Bekalan input dikawal secara langsung dan tak langsung oleh firma. Jika kerajaan laksanakan liberalisasi pasaran dengan galakkan persaingan, ia akan membantu usaha mengurangkan tekanan kos hidup melalui penurunan harga,” katanya.

Beliau berkata, langkah perlu diberi perhatian adalah mekanisme Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Saya terkejut bila BR1M dinaikkan, sepatutnya ia diperkemaskan. Saya jangka BR1M kalau diteruskan pun, jumlah itu dikekalkan ataupun dikurangkan sedikit memandangkan keadaan ekonomi ketika ini.

“Agihan itu perlu mengikut latar belakang sosio-ekonomi isi rumah. Jadikan ia sebagai reward bagi menaikkan semangat rakyat untuk bina sebuah keluarga cemerlang, mampu didik anak-anak ke universiti contohnya, bukan menunggu dan berpeluk tubuh, lalu dapat wang BR1M, produktiviti rakyat akan hilang, maka lahirlah golongan malas dan tunggu wang bantuan,” katanya.

Jelasnya, Bajet 2017 juga tiada 'model' atau mekanisme holistik bagi mengurangi beban kos hidup melalui pengawalan harga makanan.

"Saya jangka tahun depan harga makanan terus naik kerana inisiatif Bajet 2017 tidak terarah isu sebenar iaitu struktur pasaran,” katanya.

Namun katanya, ada beberapa inisiatif masih membantu rakyat dan pelajar contohnya isu agihan Baucar Buku 1Malaysia ditukar kad debit.

“Rakyat berpeluang menjana pendapatan sebagai pemandu Uber, itu satu cara bagus,” katanya.

Dalam soal pendidikan, katanya penekanan hanya di peringkat sekolah rendah dan menengah, untuk universiti tidak begitu difokuskan termasuk bantuan penuntut.

"Target pendidikan rendah sama sahaja bajet tu dengan tahun lepas, peruntukan universiti penyelidikan diminta dari tahun lepas.

"Bagi saya bajet ini tidak berkesan untuk mengurangi kos sara hidup, jika ada pun cukup minimum," katanya.

Saturday, October 22, 2016

Pembangkang 'kepanasan' dengan bajet untuk rakyat - Ku Man

 Send by Email : 
Putrajaya – Tindakan pihak pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika pembentangan Bajet 2017 semalam disifatkan sebagai ‘kepanasan’ dengan pelbagai pengumuman kerajaan yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia berikutan tindakan mereka sebelum ini yang mencanang dan menabur dakwaan bahawa Malaysia akan menjadi negara gagal atau bankrap.

Selain kesal dengan tindakan tidak beradab tersebut, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu juga mempersoalkan tanggungjawab wakil rakyat terbabit terhadap pengundi apabila membuat bising dan berjalan keluar ketika perkara berkaitan kebajikan rakyat sedang dibentangkan.

“Mereka merasa panas apabila bajet yang diumumkan semalam telah memastikan semua golongan masyarakat seperti Orang Kurang Upaya (OKU), golongan wanita dan generasi muda mendapat faedah daripada perancangan kerajaan.

“Sedangkan sebelum ini mereka telah menguar-uarkan Malaysia akan menjadi negara gagal tetapi pembentangan semalam menunjukkan kita berada di landasan yang betul dalam memenuhi kehendak rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat Wilayah Persekutuan serentak dengan kempen penggunaan tong kitar semula dan program joran bersama komuniti Putrajaya di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata setiap wakil rakyat yang diberi kepercayaan sepatutnya mengikuti pembentangan bajet dengan teliti kerana ia mengandungi pelbagai perancangan untuk kebajikan rakyat selain selaras dengan amalan dalam sistem demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun, beliau memuji sikap ahli Parlimen Pas yang dilihat lebih rasional dengan memilih untuk kekal di dalam dewan sehingga pembentangan berakhir.

“Dalam hal ini, kita lihat Pas lebih rasional, menghormati amalan sistem demokrasi berparlimen kerana tahu apa yang dibentangkan pemerintah akan menjadi bajet untuk rakyat dan negara dan mereka perlu menyampaikannya kepada pengundi yang diwakili, katanya.

Semalam, anggota Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet bertema ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’ masih berlangsung.

Dalam acara berasingan, Tengku Adnan meluangkan masa merasmikan pertandingan memasak jentera pilihan raya anjuran Puteri Umno kawasan Putrajaya, yang antara lain bertujuan mengeratkan dan mengukuhkan kerjasama sesama anggota ke arah persediaan menghadapi pilihan raya. – Bernama

Read more http://www.kualalumpurpost.net/pembangkang-kepanasan-dengan-bajet-untuk-rakyat-ku-nan/

PAS selar pembangkang 'tidak profesional' keluar dewan

FMT Reporters :

Nik Abduh berharap tindakan sedemikian tidak akan berulang pada sesi perbahasan nanti, bagi mengelakkan pembaziran masa ahli parlimen lain untuk berbahas.
KUALA LUMPUR: PAS menyelar tindakan “tidak profesional” wakil rakyat Pakatan Harapan meninggalkan Dewan Rakyat, ketika perdana menteri membentangkan Bajet 2017, petang tadi.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pembangkang tiada hak mengganggu ucapan penting Datuk Seri Najib Razak, walaupun beliau menyindir mereka.

“Pembentangan bajet adalah hari besar untuk negara dan rakyat. Ia adalah hari dan masa khas untuk perdana menteri berucap membentangkan bajet,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berharap tindakan sedemikian tidak akan berulang pada sesi perbahasan nanti sehingga membazirkan masa ahli parlimen lain untuk berbahas.

“Masa untuk ahli Parlimen membahas dan menghujah bajet adalah selepas ini. Saya harap ia digunakan sebaik-baiknya oleh semua ahli parlimen tanpa membazirkan masa dengan perlakuan tidak profesional yang hujungnya mematikan masa dan peluang ahli-ahli parlimen yang di giliran akhir mengambil bahagian perbahasan dengan sempurna.”

Ketika pembentangan Bajet 2017 hari ini, ahli parlimen Pakatan Harapan bersama Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka juga memegang poster “#Siapa MO1?” dan keluar dari tempat duduk masing-masing.

Wakil rakyat PAS yang lain bersama Ahli Parlimen Semporna merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal kekal dalam dewan sehingga pembentangan berakhir.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, PAS mematuhi peraturan Dewan Rakyat yang menghalang wakil rakyat mengganggu ahli parlimen berucap, kerana mereka berpeluang menolak Bajet 2017 pada sesi mengundi.

“Ada perkara yang kita tidak setuju, namun caranya adalah mengemukakan pandangan secara ilmiah ketika perbahasan. Jika tidak setuju dengan bajet, kita boleh menolaknya ketika sesi mengundi,” katanya.

Friday, October 21, 2016

Bajet 2017 lebih inklusif berhemah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2017 di Parlimen hari ini.
 - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2017 dengan memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk melaksanakan bajet bertanggungjawab melalui perbelanjaan berhemah untuk merangkumi semua segmen rakyat.

"Bajet ini bukanlah digubal bagi kepentingan atau berlegar kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja, namun direka, bersifat inklusif demi kesejahteraan rakyat seluruhnya," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Antara segmen yang memperoleh manfaat dalam Bajet 2017 ialah penjawat awam yang kini jumlahnya mencecah 1.6 juta, penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), penduduk luar bandar, kumpulan nelayan, golongan muda, generasi kedua Felda, Felcra dan Risda, pemandu teksi dan usahawan.

Dalam Bajet 2017 bertemakan 'Menjamin Perpaduan & Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh' itu, Najib mencadangkan sejumlah peruntukan RM260.8 bilion iaitu RM214.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM46 bilion untuk belanja pembangunan.

Jumlah itu tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion, katanya.

Najib berkata Bajet 2017 digubal dengan berpegang kepada lima prinsip dan falsafah kerajaan termasuk mengutamakan kesepaduan nasional dalam pembinaan negara bangsa dan memelihara kedaulatan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta keselamatan negara.

Beliau berkata konsep penting yang ditekankan dalam Bajet 2017 dalam menuju status negara maju ialah "kebahagiaan masyarakat".

"Bajet ini bukan hanya tentang pendapatan semata¬mata, tetapi ia berkait kualiti kesejahteraan hidup rakyat, seperti aman daripada jenayah, menikmati alam sekitar yang bersih dengan pelbagai seni dan kebudayaan yang berwarna warni," katanya.

Konsep itu juga menekankan pencapaian pendidikan yang tinggi, mengangkat kesarjanaan dan keintelektualan, khidmat kesihatan yang terjamin serta memiliki akses kepada pengangkutan awam yang efisien, katanya.

Perdana Menteri berkata demi kesejahteraan rakyat, kerajaan akan terus melaksanakan projek dan program 'berpaksikan rakyat' di bandar dan luar bandar.

Dalam Bajet 2017, beliau antaranya mencadangkan pemasangan 97,000 lampu jalan dan 3,000 lampu LED di 7,500 kampung dan menyediakan RM300 juta di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia untuk membaik pulih kemudahan kawasan flat dan 113 Program Perumahan Rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Najib berkata berkat kegigihan serta inisiatif stimulus ekonomi dan tujuh pakej bajet yang dilaksanakan sebelum ini telah menyebabkan ekonomi Malaysia stabil dan kekal di landasan positif.

"Melalui segala inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan ini, ekonomi kita berkembang secara mampan, dan kini, mengikut ukuran Purchasing Power Parity (kesamarataan kuasa membeli), Malaysia telah menjadi sebuah negara upper middle income (pendapatan sederhana tinggi), mengatasi banyak negara bukan sahaja di Asia, namun di seantero dunia," katanya.

Menurutnya, KDNK PPP per kapita rakyat Malaysia telah meningkat daripada AS$23,100 pada 2012, kepada AS$26,891 pada 2015.

Najib menolak salah persepsi pihak tertentu yang mengatakan Malaysia akan bankrap atau muflis berdasarkan agensi penarafan antarabangsa berwibawa seperti Fitch yang memberi penarafan A-, iaitu sama dengan kelompok negara yang saiz ekonominya lebih besar dan maju seperti Korea, China, Jepun dan Taiwan.

"Istilah muflis atau bankrap itu jauh sekali daripada kamus ekonomi Malaysia," katanya. 

- Bernama

Najib bentang Bajet 2017 petang ini

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Bajet 2017 pada pukul 4 petang di Dewan Rakyat, hari ini.

Bajet yang sememangnya dinantikan ramai, berkemungkinan menumpukan usaha menangani kos sara hidup khususnya aspek perumahan, makanan dan pengangkutan yang sejajar prinsip kerajaan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

Bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat,' Bajet 2017 itu dijangka menyenaraikan beberapa langkah dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara berikutan ketidaktentuan di peringkat global.

Sejajar matlamat mutlak bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara saksama dan inklusif, bajet berkenaan turut mengetengahkan pendekatan baharu bagi memacu industri tertentu mengharungi kelembapan ekonomi global.

Industri berkenaan terjejas akibat penyusutan perdagangan antarabangsa selain tempias tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) serta ketidaktentuan global susulan penurunan harga komoditi seperti minyak mentah, mineral, minyak sawit dan getah.

Malah, pihak Kementerian Kewangan turut mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai pelbagai isu serta saranan bagi Bajet 2017 selain mempelawa pembabitan orang ramai dengan berkongsi pandangan serta idea.

"Proses perancangan bagi Bajet 2017 itu melibatkan beberapa langkah bagi memacu ekonomi berteraskan matlamat untuk mensejahterakan rakyat secara saksama dan inklusif," kata Najib pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lepas.

Perdana Menteri turut membangkitkan keadaan ekonomi negara, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang mencatat pertumbuhan 5.0 peratus pada tahun lepas dan mengatasi negara serantau seperti Indonesia (4.8 peratus), Thailand (2.8 peratus) dan Korea Selatan (2.6 peratus).

Ekonomi Malaysia pada separuh pertama tahun ini juga berkembang pada kadar 4.1 peratus dan diunjur meningkat pada kadar 4.0-4.5 peratus bagi 2016.

Menerusi Bajet 2016, sejumlah RM267.2 bilion diperuntukkan berbanding RM260.7 bilion pada 2015.

Pada 28 Januari, 2016, kerajaan bertindak melakukan pengubahsuaian Bajet 2016 yang membabitkan aspek inisiatif dan peruntukan yang diluluskan Parlimen.

Ucapan pembentangan Bajet 2017 itu akan disiarkan secara langsung menerusi Bernama News Channel dan menerusi penstriman langsung Bernama Online manakala berita mutakhir di Facebook dan Twitter Bernama.

- Bernama

Bajet 2017: BR1M naik kepada RM1,050?

OLEH AINUL ASNIERA AHSAN :

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2017 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan ditingkatkan kepada RM1,050 berbanding RM1,000 sekarang.

Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM800 kepada RM850.

Insentif ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017 di Parlimen esok.

Sumber berkata, kenaikan itu selari dengan janji kerajaan untuk meningkatkan BR1M sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun.

Ia juga mengambil kira kenaikan kos sara hidup di negara ini.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, mekanisme baru BR1M akan diumumkan oleh Najib dalam Bajet 2017.

Program BR1M diperkenalkan pada tahun 2012 merupakan pemberian bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 hingga RM4,000.

Setakat ini, BR1M dimanfaatkan oleh 4.7 juta isi rumah dan 2.7 orang individu.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada 2013, BR1M 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada 2014 BR1M 3.0, bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan bantuan sebanyak RM450.

Dalam Bajet 2015, kadar BR1M 4.0 dinaikkan kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000, kadar BR1M dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Pada Bajet 2016, satu kategori baharu akan diperkenalkan untuk semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 menerima BR1M sebanyak RM1,050. 

- MalaysiaGazette

Saturday, September 24, 2016

'Naikkan gaji pekerja atasi kos sara hidup dan masalah rasuah'

Dr Muzaffar Syah Mallow
ULASAN  : Sudah sampai masanya para majikan bagi semua sektor dalam negara kita untuk mempertimbangkan bagi menaikkan kadar gaji para pekerja.

Dengan menghadapi suasana ekonomi semasa dalam dan luar negara yang kurang menentu serta masalah kenaikkan kos sara hidup sudah pasti ia sedikit sebanyak memberi tekanan kewangan kepada semua pihak.

Umum juga mengetahui, pihak kerajaan juga sedang giat menjalankan kempen bagi membanteras rasuah.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengatasi maslah rasuah dalam negara seperti melalui proses pendidikan sepanjang masa bagi melahirkan kesedaran dikalangan semua pihak mengenai bahaya rasuah.

Usaha penguatkuasaan undang-undang sedia ada juga dilihat penting bagi mengatasi masalah rasuah dalam negara kita.

Tindakkan keras yang diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka yang terlibat dengan gejala rasuah dilihat penting bagi memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak memandang ringan terhadap budaya rasuah.

Selain daripada itu, usaha pembanterasan rasuah juga boleh dibuat dengan mengenal pasti punca utamanya serta mengambil langkah bagi mengatasi punca berlakunya gelaja rasuah berkenaan.

Antara punca utama yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak ke kancah rasuah adalah disebabkan faktor kurangnya punca pendapatan sedia ada serta faktor keadaan ekonomi atau kos sara hidup yang meningkat.

Faktor-faktor berkenaan sudah pasti menyebabkan seseorang itu terpaksa melibatkan diri mereka ke dalam kancah rasuah bagi memenuhi pendapatan mereka serta menghadapi suasana keadaan ekonomi semasa yang kian mencabar.

Oleh itu, sudah sampai masanya pihak-pihak yang berkaitan untuk duduk berbincang bagi mempertimbangkan untuk menaikkan gaji para pekerja dalam negara selari dengan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi pada masa kini.

Dengan kenaikkan kadar gaji semasa maka seseorang pekerja itu tidak akan mudah untuk terjerumus ke kancah amalan rasuah.

Pada masa yang sama, pihak-pihak yang berkaitan juga perlu mengambil langkah sampingan bagi membendung masalah kenaikkan kos sara hidup yang dihadapi kini.

Kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan sudah pasti akan memberi beban kepada orang awam terutamanya mereka yang berpendapatan rendah serta yang mempunyai tanggungan keluarga yang banyak. Faktor berkenaan juga boleh menyebabkan seseorang itu terlibat dengan budaya rasuah.

Bagi mengatasi masalah ini, pihak yang berkaitan perlu sentiasa memantau serta melaksanakan proses penguatkuasaan
undang-undang bagi mengelak mana-mana pihak mengambil peluang untuk melakukan penipuan harga atau melakukan sebarang aktiviti pengambilan untung secara berlebihan daripada pengguna.

Rata-rata rakyat negara ini sedang ternanti-nanti pengumuman Bajet 2017 yang akan datang.

Adalah menjadi harapan semua rakyat supaya pengumuman bajet kelak dapat membendung segala isu yang menjadi titik perbualan semua pihak khususnya yang berkaitan dengan usaha untuk menaikkan pendapatan isu rumah serta usaha mengekang kos sara hidup yang dialami kini.

DR MUZAFFAR SYAH MALLOW adalah pensyarah kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Saturday, September 3, 2016

Saya tak takut pengkhianat Umno, kata Najib

Bernama 
September 3, 2016

“Saya tidak takut pada orang yang khianati Umno selepas jadi pemimpin sepanjang 22 tahun. Patutkah saya takut pada orang yang sudah berusia 92 tahun,” katanya.
PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan beliau tidak gentar menghadapi musuh dan tidak akan sesekali berundur daripada perjuangannya, meski pun menerima serangan bertubi-tubi dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata perjuangannya dipacu semangat kebersamaan, perpaduan dan sokongan yang diterima daripada semua pihak khususnya Parlimen Pekan, yang menjadi kubu politiknya sejak menyertai bidang itu.

“Berbekalkan semangat itu, kita akan bangkit semula. Lawan tetap lawan. Saya tidak takut pada sesiapa, hanya takut pada Allah.

“Saya tidak takut pada orang yang khianati Umno selepas jadi pemimpin sepanjang 22 tahun. Patutkah saya takut pada orang yang sudah berusia 92 tahun? Kita tidak payah cakap banyak tentang orang yang sudah banyak terbabas. Insya-Allah, kita boleh mencapai kemenangan berkat kebersamaan kita,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap menggulung perbahasan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Katanya, semangat perjuangan beliau tidak pernah luntur walaupun pernah berhadapan detik hitam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999 apabila hanya menang dengan majoriti 241 undi.

“Ramai yang suruh saya pindah ke kawasan lain kerana kata Pekan tidak selamat lagi buat saya. Namun, saya tolak cadangan berpindah sebab saya nekad. Saya bermula di Pekan dan politik saya akan berakhir di Pekan,” katanya.

Sehubungan itu, Najib yang juga ketua Umno Bahagian Pekan meminta 148 cawangan Umno di Pekan berjuang bersamanya bagi memperoleh majoriti melebihi 40,000 undi pada PRU akan datang, sekali gus menjadi jawapan paling utuh kepada mereka yang menyerangnya.

Beliau turut mengingatkan ahli perwakilan supaya sentiasa menjaga akar umbi masing-masing dan tidak bercakaran sesama sendiri selain menyelesaikan masalah dalaman secara bertoleransi.

“Saya kena jaga gelanggang yang lebih luas. Saya perlu ke hulu dan ke hilir. Saya perlu mentadbir isu negara yang semakin hari semakin kompleks termasuk dimensi luar yang lebih luas.

“Janganlah memeningkan kepala saya dan jangan sampai menimbulkan apa-apa yang boleh membawa persepsi negatif tentang bahagian Pekan,” pintanya.

Pada masa sama, Najib yang juga menteri kewangan berjanji akan mencari dana tambahan untuk Bajet 2017 bagi melaksanakan lebih banyak pembangunan di luar bandar dan mengurangkan bebanan masyarakat kampung.

“Kita akan cuba kaedah kreatif untuk tambah peruntukan kerana sedar dengan kesusahan yang terpaksa ditanggung mereka…mereka ini jugalah sanggup hidup mati bersama Umno.

“Jadi, kita mesti jaga orang kampung sebab mereka inilah saban tahun penyokong tegar kita, penyokong berani mati kerana kita, dan tidak pernah menyerah kalah kepada musuh politik…kerana merekalah Umno masih mampu berdiri tegak sehingga hari ini,”katanya.

Sementara itu, Najib yang juga presiden Umno, meminta jentera parti dan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara supaya bersiap sedia menghadapi corak gerak kerja baharu untuk memenangi PRU14 nanti.

Katanya, gerak kerja itu akan menggunakan kaedah yang lebih baik, tersusun serta menggunakan teknologi dengan cara yang lebih dinamik.

“Jika ada sesuatu yang membuatkan hasil menjadi lebih baik, kita akan lakukan kerana politik itu bersifat dinamik. Jika kita menggunakan kaedah lama, kita akan tewas…jika menggunakan kaedah baharu, kita akan ke depan dan boleh tewaskan semua musuh,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-