Thursday, October 20, 2016

Tuntutan ayah Altantuya berjaya diserah pada Sirul

Hafiz Yatim  : 
Kenyataan tuntutan Shaariibuu Setev, bapa Altantuya, yang dipinda akhirnya berjaya disampaikan kepada pembunuh anaknya Sirul Azhar Umar di Australia.

Tuntutan berkaitan kematian Altantuya berjaya disampaikan kepada Sirul di pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney.

Peguam Ram Karpal Singh mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa syarikat penyampai saman (process server) yang diupah berjaya menyerahkan dokumen berkaitan kepada Sirul, selepas kegagalan Kementerian Luar Negara berbuat demikian.

“Saya akan dapatkan notis pengesahan rasmi daripada penyampai saman.

“Selepas itu, saya akan beritahu Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata Ram ketika dihubungi.

Pengurusan kes itu ditetapkan pada Rabu, 26 Oktober depan, di hadapan hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Sebelum ini, syarikat guaman itu dilapor menyerahkan dokumen termaterai kepada Wisma Putra untuk dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, sebagai sebahagian daripada proses mahkamah.

Bulan lalu, Ram Karpal berkata mereka mengupah penghantar saman kerana tiada jawapan berkaitan perkara itu daripada pegawai di Kementerian Luar Negara.

Sirul ditahan di Villawood selepas ditangkap pihak berkuasa Australia selepas mendapat permakluman polis antarabangsa (Interpol).

Dia telah terbang ke negara kanggaru itu sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkaitan kesnya.

Sirul dan Azilah Hadri – kedua-duanya bekas polis elit – didapati bersalah dan disabitkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 1 Januari 2015 atas pembunuhan Altantuya pada Oktober 2016 di Puncak Alam, Selangor.

Setev dan anak-anak Altantuya – Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga – memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 susulan kematian itu.

Pindaan kenyataan tuntutan itu dibuat selepas sabitan kes pada Sirul dan Azilah.

Mereka menamakan Azilah, Sirul, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Abdul Razak telah didakwa bersubahat membunuh Altanyua, 28, pada 2006 tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Manakala Sirul dan Azilah disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-