Sunday, November 13, 2016

Ada pihak sabotaj PAS dengan poster anti-BERSIH5?

Anne Muhammad  :
Kira-kira 1,000 poster anti-BERSIH5 didapati tersebar pada program PAS, himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) di Kampung Medan, Petaling Jaya hari ini.

Tampil dengan dua reka bentuk berbeza ia mengajak orang ramai menolak himpunan BERSIH5 yang akan diadakan Sabtu ini kerana pihak terbabit didakwa menghina ulama serta ditaja Yahudi.

Ia juga dianggap sebagai acara maksiat.

Bagaimanapun PAS menafikan parti itu mendalangi atau bertanggungjawab atas penerbitan risalah berkenaan.

Pengerusi LASAK, Roslan Shahir, malah mengecam poster berkenaan dan melarang ia disebarkan kepada orang ramai.

"Jangan sebarkan poster macam ini. PAS sudah lebih 60 tahun dan ini bukan budaya kita," katanya kepada hadirin sambil memegang poster itu.

Kata Roslan, penyebaran kedua-dua poster itu memberi gambaran buruk kepada PAS.

"Kita tidak buat kerja-kerja macam ini, (sebab) kita tahu bagaimana nak berpolitik,” katanya.

Poster pertama yang dilihat tertulis: "Berjemaah di masjid lebih bersih berbanding berhimpun dengan penentang undang-undang Islam".

Poster kedua pula bertulis: "Umat Islam Wajib tolak BERSIH 5 kerana mereka menghina ulama" dan mengaitkan perhimpunan mendesak pelaksanaan pilihan raya bebas dan adil itu dengan Yahudi serta DAP.

Poster berkenaan didakwa diletakkan begitu saja di atas kerusi yang tersedia untuk peserta LASAK.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, tidak menolak kemungkinan poster itu sengaja disebarkan pihak tertentu kerana ingin mensabotaj parti berkenaan.

Bagaimanapun Iskandar berkata beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak.

Namun katanya jika BERSIH mendalangi poster berkenaan, ia menunjukkan pertubuhan terbabit masih memerlukan PAS menyertai program 19 November ini.

“Saya tak ada masalah (dengan BERSIH). Kita semua ada cara sendiri. BERSIH ada cara dia, kita ada cara kita seperti hari ini (LASAK) adalah satu cara nak suarakan hasrat rakyat.

“Saya tak tahu siapa yang sebar. Kalau betul BERSIH yang sebar bermakna BERSIH perlukan PAS,” katanya.

Iskadar kemudian berkata, PAS tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada pihak yang menyebarkan poster berkenaan.

BERSIH5 bakal diadakan 19 November ini bagi mendesak reformasi institusi pilihan raya dan pentadbiran, selain mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

PAS memutuskan untuk tidak akan menyertai himpunan kali ini kerana berpendapat tuntutan gabungan itu menyimpang daripada perjuangan asal BERSIH.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-