Sunday, December 11, 2016

Institusi Yang Dipertuan Agong perlu dipertahankan, kata Najib

Sumbangan terbesar kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong ialah peranannya dalam memastikan kestabilan politik negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menegaskan bahawa kerukunan dan keharmonian itulah yang telah memungkinkan berlakunya transformasi Malaysia selama ini.

"Lantaran itu pada hemah kerajaan, institusi ini perlu dipertahan semua pihak sampai bila-bila kerana ia adalah milik semua tanpa kecuali," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan perpisahan pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-14 Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara malam tadi.

Beliau menarik perhatian bahawa institusi itu memayungi bukan sahaja orang-orang Melayu Islam dan bumiputera, malah merangkumi secara inklusif lindungannya ke atas hak dan kepentingan yang sah kaum serta agama lain.

Sekalipun ia merupakan ciptaan Perlembagaan Persekutuan yang dengan terperinci dilakarkan segala peranan dan tanggungjawabnya, Najib berkata institusi Yang di-Pertuan Agong tetap berakar umbi kepada nilai sejarah, tradisi dan budaya bangsa serta tamadun alam Melayu.

Beliau berkata keunikan sistem itu juga diperlihat melalui hakikat walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri dan membubarkan Parlimen, ia tetap tertakluk kepada prinsip kelaziman dan rundingan yang sangat halus dan berhati-hati.

"Ini membuktikan sekali gus betapa institusi itu dipermuliakan dengan sifatnya yang langkau siasah atau dalam kata lain letak duduknya itu ialah di atas mana-mana politik kepartian," jelas Najib.

Ia juga, kata perdana menteri, sangatlah terpelihara oleh Majlis Raja-Raja dan tidak bersifat warisan kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih secara berhemah dan bergilir dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Najib seterusnya berkata sepanjang di bawah naungan Tuanku Abdul Halim, Malaysia mencapai kejayaan demi kejayaan yang diperakui pelbagai agensi dan penarafan antarabangsa yang diiktiraf dan berwibawa.

"Kerajaan Tuanku ini tidak akan bersifat selesa, malah akan sentiasa meneruskan usaha demi usaha bagi mencipta hari muka yang lebih ampuh untuk Malaysia," kata Najib.

Beliau turut menyentuh gerakan Transformasi Nasional atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda terulung.

Najib berkata apa yang dicita-citakan beliau ialah menjelang tahun 2050 Malaysia akan menjadi negara yang tergolong dalam kalangan kumpulan 20 negara terbaik di persada dunia.

"Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat masa depan terbaik. Visi patik dan pimpinan kerajaan adalah untuk menggerakkan satu perubahan agar lahirnya kelak generasi masa hadapan Malaysia yang menyeru ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran," kata perdana menteri.

Atas simbolik perpaduan ummah dan kemanusiaan pula, Najib berkata pada 4 Disember yang lalu beliau selaku ketua kerajaan dan Presiden UMNO telah berganding dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-