17 MAC 2017
HULU TERENGGANU - Bersatu mengajak rakyat bersama parti itu bagi memulihkan semula negara dengan cara menukar kerajaan melalui PRU akan datang.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, barisan pemimpin Bersatu serta rakan-rakan lain dalam gabungan parti lawan mempunyai pengalaman serta kebolehan bagi mentadbir dan memajukan negara sekaligus dapat menyelamatkan Malaysia.
Menurutnya, Malaysia mempunyai potensi cukup besar untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020, namun, pada hari ini pencapaian negara dipandang sinis selain dicop sebagai negara rasuah.
"Hasrat kami adalah untuk memulihkan semula negara bertuah ini, oleh itu kita perlukan sokongan daripada rakyat yang cintakan kepada bangsa dan mempunyai semangat kebangsaan. Bantulah gabungan parti lawan telah kami tubuhkan dan yang akan bertanding nanti.
“Hanya satu cara dapat dilakukan iaitu melalui pilihanraya umum, jadi kita pakat tukarlah kerajaan pada PRU 14 nanti. Saya yang dulu Presiden Umno sendiripun telah keluar parti berkenaan dan kita harap rakyat yang sayangkan Malaysia juga dapat lalukan tindakan sama, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Negarawan Tun Dr Mahathir di Pekan Ajil, di sini, malam tadi yang turut disertai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Muhkriz Mahathir.
Tambahnya, dengan barisan pemimpin yang ada dalam Bersatu dan gabungan parti lawan beliau yakin dapat mentadbir negara dengan baik sekaligus menepis pelbagai persepsi buruk negara-negara luar terhadap Malaysia sebagaimana terjadi kini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.