Saturday, May 6, 2017

'Kes pukul depan surau selesai cara baik'

FMT Reporters
May 6, 2017
Jawatankuasa Surau Austin Perdana memaklumkan kata sepakat dicapai selepas perjumpaan dengan ketua masyarakat Cina mukim Tebrau yang disaksikan polis dan Majlis Agama Islam Johor.
PETALING JAYA: Kes seorang lelaki dipukul kerana membunyikan hon keretanya yang dihalang ketika solat Jumaat sedang berlangsung di sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru, semalam selesai selepas ahli jawatankuasa surau terbabit mencapai kata sepakat dengan ketua masyarakat Cina setempat.

Jawatankuasa surau itu menerusi Facebooknya memaklumkan kes itu diselesaikan secara diplomasi selepas pertemuan diadakan bersama pihak berkaitan dan menasihatkan orang ramai tidak melakukan sebarang provokasi berbaur perkauman demi menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Jawatankuasa Surau Austin Perdana bersama ketua Cawangan Khas Johor Bahru Selatan, ketua Balai Polis Setia Indah, ketua komuniti kaum Tiong Hwa mukim Tebrau, pegawai Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta beberapa jemaah kariah Surau Austin Perdana telah mengadakan pertemuan bagi mencari kata sepakat,” tulis jawatankuasa surau itu dalam Facebooknya.

Dalam pada itu, Harian Metro memetik jurucakap Surau Austin Perdana yang enggan dikenali sebagai berkata, aktiviti harian diteruskan seperti biasa, selepas kata sepakat dicapai antara jawatankuasa surau itu dan ketua masyarakat Cina mukim Tebrau dalam satu perjumpaan dan makan malam yang turut disaksikan anggota serta pegawai dari Balai Polis Setia Indah bersama MAIJ.

“Pemandu terbabit dalam kejadian itu tiada di lokasi kerana pengurusan surau sudah menyelesaikan perkara berkenaan ketika pertemuan di balai polis berkenaan pada petang hari kejadian.

“Kebetulan ketika itu kedua-dua pihak membuat laporan di balai polis sama dan hasil perbincangan, mereka mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes ini.

“Pada masa sama, kami menyerahkan segala siasatan kepada polis dan sanggup memberikan kerjasama kepada semua pihak,” kata jurucakap surau itu yang dipetik akhbar berkenaan.

Dalam kejadian semalam, seorang jurutera berusia 28 tahun luka di kepala dan badan, selepas dibelasah beberapa individu di depan surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru itu.

Kejadian dipercayai berpunca daripada kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan mangsa, lalu mengakibatkannya membunyikan hon yang seterusnya mengundang kemarahan sekumpulan lelaki dipercayai jemaah yang bertindak memukulnya.

Kejadian sempat dirakamkan orang awam dan videonya menjadi viral di laman sosial.

Hari ini, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilaporkan berkata, 4 suspek berumur 21 hingga 55 tahun itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil polis.

Katanya, polis menemui kedua-dua pihak, iaitu mangsa dan orang di surau berkenaan bagi membincangkan kes berkenaan dan setakat ini, ia disifatkan terkawal.

“Kita akan siasat dari pelbagai sudut tetapi masyarakat diminta tidak menimbulkan sebarang spekulasi di laman sosial.

“Saya juga mahu memberi amaran kepada pengguna laman sosial berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Sekiranya kita mendapati ada individu yang mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan, kita akan ambil tindakan,” katanya yang dipetik Bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-