Friday, June 2, 2017

Sri Lanka digesa hentikan serangan anti-Islam oleh pelampau Buddha

Reuters
June 2, 2017

Lebih 20 serangan ke atas orang Islam direkodkan sejak 17 April lalu termasuk membakar perniagaan milik orang Islam dan serangan bom petrol ke atas masjid.
COLOMBO: Diplomat asing semalam mengutuk keganasan terhadap umat Islam di Sri Lanka dan menggesa kerajaan menegakkan hak golongan minoriti itu dan kebebasan beragama.

Lebih 20 serangan ke atas orang Islam direkodkan sejak 17 April lalu termasuk membakar perniagaan milik orang Islam dan serangan bom petrol ke atas masjid.

Orang Islam menyalahkan serangan itu dilakukan oleh Body Bala Sena (BBS) atau “Force Power Buddha”, sebuah organisasi yang menuduh agama Islam disebar dan mengancam agama Buddha, agama utama negara itu. Bagaimanapun, BBS menafikan sebarang penglibatan.

“Adalah penting tindakan undang-undang dikenakan terhadap pelaku dan juga penting hak golongan minoriti dan kebebasan beragama ditegakkan,” kata Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Shelley Whiting.

Presiden Maithripala Sirisena dan Perdana Menteri Ranil Wickremasinghe mengarahkan polis menegakkan undang-undang tetapi keganasan terhadap orang Islam belum berakhir.

Kira-kira 9% daripada 21 juta penduduk Sri Lanka adalah umat Islam. Penganut Buddha terdiri daripada kira-kira 70% populasi penduduk.

Beberapa kumpulan Buddha menuduh organisasi Islam yang bersikap melampau terhadap masyarakat dan menukar agama mereka kepada Islam secara paksa. Pemimpin Islam menafikan tuduhan itu.

Duta Kesatuan Eropah, Tung-Lai Margue berkata beliau berharap polis akan membuat tangkapan pada masa akan datang.

Pesuruhjaya Tinggi Australia, Bryce Hutchesson berkata sikap kebencian itu disasarkan terhadap komuniti Islam.

“Setahu saya, campur tangan diplomatik secara bersama seperti ini belum pernah berlaku di Sri Lanka,” kata Pengarah International Crisis Group Sri Lanka, Alan Keenan, menulis di Twitter.

Pada 2014, 3 orang Islam terbunuh dalam rusuhan dicetuskan oleh kumpulan pelampau penganut Buddha.

Presiden Sirisena dipilih pada tahun berikutnya selepas kempen di mana beliau berjanji menyelesaikan isu yang dihadapi golongan minoriti iaitu etnik Tamil dan Islam.

Gereja juga berdepan serangan yang sama pada masa lalu.

Kerajaan menamatkan perang saudara selama 26 tahun secara besar-besaran dengan mengalahkan pemberontak Tamil Tiger pada 2009.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-