Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, July 5, 2017

1MDB taja jemaah haji muda, prof tunggu 44 tahun lagi

Anne Muhammad
Penganalisis politik Prof Ahmad Atory Hussain mempersoalkan tindakan kerajaan menaja ketua kampung dan imam muda menunaikan fardu haji menerusi tajaan 1MDB.

Kata Atory, kerajaan seharusnya mengutamakan golongan lebih berusia berbanding imam muda kerana mereka sudah menunggu begitu lama untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Malah katanya, namanya hanya akan terpilih melaksanakan ibadah haji ketika berusia 110 tahun.

“Saya dah minta empat kali untuk laksanakan haji, tapi kalau ikut masa saya lagi 44 tahun baru boleh dapat. Saya sekarang berusia 66 tahun. Pada adatnya tak dapat lah, kalau 100 tahun kita tak ada dahlah.

“Saya rasa 1MDB bagi ruang, kebanyakan calon muda yang dapat. Saya rasa terkilan jugalah, kalau umur (yang pergi haji) tu sebaya saya, tak apalah. Tapi sekarang ini imam dan ketua kampung mana ada yang tua-tua,” katanya kepada Malaysiakini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir tahun lalu memaklumkan tempoh menunggu bagi melaksanakan haji dilanjutkan daripada 72 tahun kepada 82 tahun berikutan peningkatan mereka yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

Semalam Malaysiakini menyiarkan ulasan penulis Subky Latif bertajuk Bertuahnya 'Haji 1MDB' dan Atory melahirkan kekesalannya di ruangan komen tulisan tersebut.

“Saya yang dah empat kali buat rayuan pun tak ada jawapan dari Tabung Haji. Umur dah lanjut dekat tujuh siri.

“Nak kata tak ada sumbangan rasanya tak lah teruk sangat, boleh bertanding mereka yang dah dapat pergi tu, alasan belum sampai seru,” tulis bekas Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

1MDB menaja seramai 5,711 ketua kampung, imam, guru tahfiz dan tok batin di seluruh negara melalui Program Khas Perdana Menteri-Yayasan 1MDB dengan kos lebih RM56 juta sejak 2011.