Monday, July 10, 2017

8 polis direman tipu tahanan lari akibat van rosak

Bernama 
July 10, 2017

Ketua polis Pulau Pinang berkata, 8 anggota itu membuat laporan polis palsu dan mereka dipercayai mengenakan sejumlah bayaran kepada 3 tahanan untuk berjumpa keluarga masing-masing.
GEORGE TOWN: Lapan anggota polis dan seorang nelayan direman hari ini bagi membantu siasatan kes seorang tahanan melarikan diri ketika van yang membawa mereka dikatakan rosak di Jalan Paya Terubong, awal pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, semua anggota polis berusia 27 hingga 59 tahun yang ditahan itu bertugas di lokap pusat Bayan Baru, manakala nelayan berusia 56 tahun itu dipercayai rakan tahanan yang akan membantu membawanya keluar dari negara ini melalui jalan laut.

Beliau berkata, menurut laporan anggota polis terlibat, banduan berkenaan Anuar Ayat, 43, melarikan diri ketika dia dan 2 lagi tahanan lain berada dalam van polis bersama 5 anggota polis mengiringi mereka yang sakit dan perlu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk mendapatkan rawatan.

“Anggota polis terlibat didapati membuat laporan polis palsu. Siasatan awal kami mendapati ketiga-tiga banduan itu dibawa untuk bertemu keluarga masing-masing dan mereka juga tidak digari. Van yang membawa mereka juga tidak rosak sebagaimana dilapor,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati anggota polis terbabit membawa keluar 3 tahanan itu daripada lokap berkenaan pada 2 pagi dengan Anuar dibawa ke sebuah kondominium di Sungai Ara, manakala 2 lagi tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012, masing-masing berusia 38 dan 45 tahun dibawa ke sebuah inap desa di kawasan sama.

Semasa dalam perjalanan pulang ke lokap, Anuar meminta berjumpa rakannya di Sungai Nibong Besar dan mereka membawanya ke sana kira-kira 4 pagi dan dia yang ditahan pada 2015 kerana mengedar sejumlah besar dadah, melarikan diri ketika bertemu rakannya.

Anuar yang ditahan di Penjara Alor Star, Kedah dibawa ke lokap pusat Bayan Baru pada 6 Julai untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah George Town.

Chuah berkata, 8 anggota polis terbabit juga dipercayai mengenakan sejumlah bayaran kepada 3 tahanan yang mahu berjumpa keluarga, dan pihaknya masih menyiasat jumlah bayaran yang dikenakan itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan itu bukan kes pertama anggota (polis) yang bertugas di lokap itu bertindak sedemikian (mengenakan bayaran untuk membawa keluar tahanan berjumpa keluarga). Saya arahkan siasatan terperinci dijalankan, termasuk mengkaji semula SOP dan kelemahan di situ.

“Siasatan di lokap itu juga akan dibuat bukan sekadar kes berkenaan, malah melibatkan keseluruhan pegawai dan anggota yang bertugas di situ bagi melihat sama ada terdapat aktiviti lain berlaku di sana. Terdapat lebih 200 pegawai dan anggota bertugas di lokap yang mampu menempatkan 100 tahanan dalam satu-satu masa itu,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan Anuar masih diteruskan dan semua pihak berkuasa di pintu masuk negara dimaklumkan mengenai banduan itu. Polis juga mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan lelaki itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tahanan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Norhisham Ramli di talian 019-4715484 atau balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-