Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, July 30, 2017

Nama anak: Isu cetus polemik, cemar imej Islam

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 JULAI 2017
Zamihan Mat Zin
SHAH ALAM - Tindakan membenarkan anak luar nikah untuk berbin atau berbintikan kepada nama bapanya akan cetuskan polemik, malah turut mencemar imej negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam negeri.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, tindakan itu adalah pandangan syadz (ganjil) dalam agama dan ia jelas bertentangan dengan al-Quran, hadis dan Ijmak ulama.

Katanya, tindakan itu merosakkan nasab seseorang dan ia akan turut menjejaskan reputasi ‘kewalian’ nikah kahwin bagi anak perempuan, merosakkan keturunan, hak pewarisan harta pusaka dan menggalakkan amalan zina semakin berleluasa.

“Penelitian yang lebih rapi sepatutnya perlu dilakukan berikutan konsep nama keluarga atau surname tidak semestinya sama dengan bin dan binti terhadap nama seseorang bapa dalam Islam," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, keadaan ini juga akan menyebabkan kecelaruan dalam isu perwalian nikah dan pewarisan serta pembahagian harta orang Islam.