Sunday, July 23, 2017

Nothing to Hide 2.0: Dr M kata Najib patut bersyukur

Nawar Firdaws
July 22, 2017

Pengerusi PH itu berkata forum itu satu lagi peluang untuk perdana menteri membersihkan namanya.
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak wajar melihat peluang membersihkan namanya sebagai membuang masa, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Masih berharap Najib menyahut cabaran untuk tampil ke forum “Nothing to Hide 2.0” anjuran PPBM pada 13 Ogos ini, Dr Mahathir berkata platform itu akan menjadi tempat terbaik untuk Najib menyangkal dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

“Ia tak membuang masa. Saya beri peluang kepada dia untuk menjelaskan semua dakwaan terhadapnya.

“Dia boleh kata tak bersalah, dan tunjukkan bukti. Saya pula kata dia ada melakukan kesalahan, saya ada bukti.

“Dia boleh jelaskan dan bersihkan nama. Kami beri peluang dan dia patut berterima kasih.”

Pengerusi PH berusia 92 tahun itu bercakap kepada pemberita di majlis rumah terbuka anjuran ahli politik DAP Datuk Zaid Ibrahim.

Minggu lepas, Dr Mahathir mengundang Najib ke forum kedua “Nothing to Hide”, dan berkata mereka boleh berbincang mengenai bagaimana bekas perdana menteri itu mengkayakan anak-anaknya dan bagaimana perdana menteri memiliki RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.

Najib belum menjawab undangan Dr Mahathir itu, tetapi pemimpin Umno bercakap bagi pihaknya. Mereka kata Najib sebagai seorang pemimpin negara tidak perlu menghadiri forum yang akan menolak semua penjelasannya.

Sementara itu, Dr Mahathir menjamin keselamatan Najib. Beliau berkata demikian kerana forum pertama “Nothing to Hide” yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 2015 tidak mendapat kebenaran polis.

Forum itu sepatutnya diadakan pada 5 Jun 2015 di ibu pejabat Umno. Ia sepatutnya dihadiri Najib dimana beliau akan menjawab pertanyaan dari hadirin tetapi dibatalkan selepas Dr Mahathir menyatakan hasrat mahu menyertai forum itu.

Dr Mahathir, ketika itu masih ahli Umno, tampil seperti yang dijanjikan dan bercakap selama 6 minit sebelum polis meminta beliau berhenti berucap.

Pada ketika itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata acara dibatalkan bagi menjaga “ketenteraman awam”.

Dr Mahathir berkata pengerusi BN mungkin masih lagi khuatir, menyedari beliau tidak mampu membela diri.

“Dia sudah melakukan banyak kesalahan. Jadi kalau dia tampil, tak elok untuk dia,” kata Dr Mahathir.

Najib nafi mengambil dana awam, dan berkata RM2.6 bilion itu sumbangan dari keluarga diraja Arab Saudi, untuk membantu kempen Umno menuju pilihan raya umum lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-