Saturday, December 16, 2017

Najib, Hadi akan sepentas lagi, kali ini bantah isu Baitulmaqdis

FMT Reporters

Selain Najib Razak dan Hadi Awang, beberapa kumpulan NGO akan menyertai perhimpunan di Masjid Putra antara 2.30 hingga 4 petang Jumaat depan untuk membantah tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis milik Israel.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berkongsi pentas sama sekali lagi untuk membantah keputusan Amerika Syarikat memperakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Timbalan perdana menteri yang dipetik Malay Mail Online berkata, selain presiden Umno dan PAS itu, beberapa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam akan menyertai perhimpunan di Masjid Putra antara 2.30 hingga 4 petang Jumaat depan.

“Perdana menteri akan menyampaikan ucapan, manakala Hadi juga akan berucap. Ucapan ke-3 akan disampaikan wakil sebuah NGO,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Sejak 2015, Najib dan Hadi sudah 2 kali berkongsi pentas sama dalam memperjuangkan isu berkaitan orang Islam.

Najib dan Hadi memakai baju Melayu berwarna sama ketika menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur, pada 17 Disember 2015.

Setahun kemudian, mereka sekali lagi muncul di pentas sama dalam Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, pada 4 Disember 2016, bagi membantah penindasan kerajaan Myanmar ke atas etnik minoriti itu.

Najib dilaporkan berkata, kehadiran Hadi dalam himpunan itu tidak bermakna Umno bekerjasama dengan parti Islam itu dari segi politik.

Pada 11 Mei lalu, Najib dalam ucapannya pada majlis sambutan ulang tahun Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil, meraikan hubungan mesra Umno dan PAS dengan memetik kata-kata Hadi yang menyifatkan kerjasama mereka sebagai “amalan politik matang”.

“Politik antara kita tidak berkelahi, sebaliknya politik utamakan kepentingan bersama.

“Hadi turut kata dalam politik boleh beza pendapat, tapi isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara kena bersatu dan bersama,” kata perdana menteri.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, kerjasama PAS itu tidak khusus kepada Umno atau mana-mana parti demi memperkasakan Islam.

PAS dan Umno turut bekerjasama dalam beberapa perkara berkaitan Islam dan masyarakatnya seperti flotila bantuan kemanusiaan untuk etnik Rohingya dan rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pada 12 Oktober lalu berkata, parti Islam itu menolak cadangan membentuk kerjasama dengan Umno untuk pilihan raya umum ke-14 dan akan kekal bebas serta menjadi kuasa ketiga kepada kerajaan dan pembangkang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-