Tuesday, December 12, 2017

Rakyat kini nikmati taraf hidup jauh lebih tinggi

Bilangan urus niaga dan pembelian dalam negeri mencatatkan aliran menaik serta rakyat Malaysia terus berbelanja di luar negara walaupun hidup dalam era dolar kukuh sejak akhir 2014. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

RAKYAT Malaysia kini menikmati taraf hidup lebih tinggi daripada sebelumnya, kata Pengarah Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Firdaos Rosli.

Beliau berkata rakyat Malaysia secara beransur-ansur beralih kepada membeli kenderaan asing berbanding kereta nasional, di samping kurang berbelanja ke atas barangan keperluan dapur, sebaliknya lebih gemar makan di luar sebagaimana dinyatakan dalam Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2016.

Firdaos berkata berdasarkan data diterbitkan Persatuan Automotif Malaysia, jualan jenama pertengahan kereta asing seperti Honda, Ford, Mazda dan Subaru mencatat kadar pertumbuhan tahunan yang lebih tinggi sejak 2009 berbanding juara automotif tempatan, Perodua.

“Baru-baru ini, barangan yang dibeli melalui platform perdagangan dalam talian popular mencatat jualan lebih RM100 juta pada Singles Day pada 11 November. Malaysia pasaran permainan dalam talian terbesar di Asia Tenggara di mana kira-kira RM2.45 bilion dibelanjakan dalam tempoh 10 bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan sama ada penyusutan ringgit benar-benar menjadi isu, bagaimana rakyat Malaysia mahu menjelaskan yang dalam sembilan bulan pertama 2017, Malaysia mengimport kira-kira dua kali ganda nilai telefon mudah alih (RM6.85 bilion) berbanding kereta berenjin 1.5 hingga tiga liter (RM3.47 bilion).

“Malah nilai import telefon mudah alih lebih tinggi daripada import makanan utama kita seperti beras, susu dan krim, kopi, bawang, kelapa, kacang soya, jagung, susu tepung dan krim digabungkan. Harga runcit produk terbabit selalunya jauh lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, pengukuhan dolar AS berbanding ringgit sejak September 2014 tidak menghalang rakyat Malaysia daripada berbelanja ketika berada di seberang laut.

"Merujuk kepada data Bank Negara terbaru, pada 10 bulan pertama 2017, nilai transaksi kad kredit rakyat Malaysia di seberang laut meningkat daripada RM10.9 bilion pada 2015 kepada RM12.3 bilion pada 2016 dan RM13.2 bilion pada 2017.

“Malah, nilai pendahuluan tunai oleh kad kredit Malaysia di luar negara meningkat 68.9% pada 2017 berbanding tempoh yang sama pada 2015.”

Firdaos berkata bilangan urus niaga dan pembelian dalam negeri mencatatkan aliran menaik serta data menunjukkan rakyat Malaysia terus berbelanja di luar negara walaupun hidup dalam era dolar yang kukuh sejak akhir 2014.

Menyentuh kadar pengangguran Malaysia yang berada di bawah 4%, yang ditakrifkan sebagai pekerjaan penuh oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sejak 1995, beliau berkata kadar pengangguran tidak melepasi paras 4% walaupun kejatuhan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disebabkan Krisis Kewangan Global 2007/2008.

"Pada 2016, kadar pengangguran Malaysia sebanyak 3.4% lebih rendah daripada kebanyakan ekonomi maju seperti Amerika Syarikat (4.9%), Jerman (4.1%) dan Korea Selatan 3.7%," katanya.

Walaupun harga barangan dan perkhidmatan secara amnya meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Firdaos berkata sejak 2009 purata pendapatan isi rumah bulanan secara keseluruhannya meningkat dengan kumpulan pendapatan isi rumah bawah 40% (B40) berkembang paling cepat berbanding kumpulan pendapatan lain.

"Selain kenaikan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK daripada 29.3% pada 2008 kepada 35.3% pada 2016, statistik rasmi juga menunjukkan purata pendapatan isi rumah bulanan Malaysia meningkat 6.6% setahun antara 2014 dan 2016," katanya.

Mengulas mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bertujuan untuk meringankan beban kenaikan kos sara hidup dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, Firdaos berkata rakyat Malaysia perlu mengiktiraf dua fakta utama mengenai inisiatif itu; sebilangan negara Eropah juga mula menerima idea tersebut tetapi dalam bentuk pendapatan asas sejagat, serta BR1M membantu mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.

"Menurut statistik rasmi, koefisien GiNi Malaysia berkurang daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.401 pada 2014. Trend sedemikian konsisten dalam semua kumpulan etnik, tetapi yang menariknya, komuniti Cina mencatat penurunan paling rendah daripada yang lain," katanya.

Firdaos berkata pengurangan cukai pendapatan peribadi secara beransur kepada golongan berpendapatan sederhana bermakna mereka mempunyai pendapatan boleh guna jauh lebih besar daripada sebelumnya seperti diumumkan dalam Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Najib Razak pada Oktober lalu, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 261,000 orang.

Mengenai pengembangan dan pemantapan sistem pengangkutan awam sejak 2009, beliau berkata, ia memberi manfaat kepada penghuni Lembah Klang yang menawarkan tambang murah dan juga pilihan khidmat pengangkutan yang lebih luas berikutan pengesahan perkhidmatan e-hailing.

Bagaimanapun, beliau juga menegaskan kerajaan perlu mengawasi golongan yang kurang bernasib baik sambil terus membantu rakyat untuk memperoleh pendapatan dan pekerja perlu diberi pampasan sewajarnya bagi kerja yang dilaksanakan, seterusnya meningkatkan produktiviti negara. 

Bernama, 12 Disember, 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-