Sunday, April 29, 2018

Muhyiddin hairan SPR eja namanya 'Mahiaddin'


PRU14 | Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan ejaan namanya di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertukar kepada ejaan pada MyKad 'Mahiaddin Bin Md Yassin'.

Menurut Muhyiddin, ejaan nama yang dipilihnya pada kertas undi adalah ejaan sama yang telah digunakannya dalam pilihan raya sebelum ini iaitu 'Tan Sri Muhyiddin Yassin'.

"Nama yang saya pilih untuk digunakan adalah apa yang saya gunakan dalam semua pilihan raya sebelum ini.

"Saya hairan mengapa SPR memilih untuk menggunakan nama saya yang lain," katanya dipetik mStar hari ini.

Mengulas lanjut, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Pagoh itu berkata ia adalah kali pertama SPR tersilap mengeja namanya meskipun jelas dinyatakan ejaan sebenar dalam dokumen pencalonannya.

Muhyiddin berkata, tindakan SPR itu akan menyebabkan nama 'Mahiaddin' dicetak pada kertas undi.

"Ini akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengundi," katanya.

Justeru, Muhyiddin menggesa SPR menggunakan ejaan nama yang dikemukakan dalam borang pencalonannya dan menjelaskan telah mengarahkan wakilnya meminta SPR membuat perubahan yang perlu.

"Mereka (SPR) mesti mencetak nama yang telah saya nyatakan untuk kertas undi.

"Jika tidak, saya akan membuat aduan rasmi berhubung perkara itu," katanya.

Semakan terkini menunjukkan ejaan nama bekas timbalan perdana menteri itu yang tertera pada laman web SPR adalah 'Tan Sri Muhyiddin Yassin'.

Muhyiddin memenangi kerusi Pagoh pada PRU lalu ketika masih bersama BN dan kini akan mempertahankan kerusi parlimen itu dengan logo PKR sebagai logo tunggal digunakan parti komponen HARAPAN.

Muhyiddin akan menghadapi pertarungan tiga penjuru dengan calon BN Ismail Mohamed dan Ahmad Nawfal Mohamed dari PAS di kerusi itu.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga akan bertanding di DUN Gambir yang juga terjadi pertembungan tiga penjuru bersama Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC Johor, Datuk M Asojan di Gambir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-