Friday, May 18, 2018

Lima trak polis punggah rampasan dari rumah Najib setakat ini

 Dikemaskini 18 Mei 2018, 1:59 pagi


Orang ramai dan media dilihat berkumpul di luar kondominium mewah Pavillion Residences berikutan serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi.

Sehingga jam 1.25 pagi, polis dilihat telah membawa sekurang-kurangnya lima trak ke kondominium mewah yang terletak di Jalan Raja Chulan itu.

Pegawai dan anggota polis kemudian dilihat memuat naik kotak-kotak barang yang telah dirampas daripada unit berkenaan.

Pengarah jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dijangka mengadakan sidang akhbar selepas mengesahkan laporan awal serbuan itu.

Pasukan dari Bukit Aman sebelum ini dikatakan telah mengira wang tunai dan barang kemas yang disita dari unit kondominium mewah berkenaan.

Baca: Polis rampas wang tunai, barang kemas dari kondo Najib

Terdahulu, kira-kira jam 10.50 malam, sebuah kereta mewah, Porsche merah dengan tingkap gelap cuba memasuki jalan menuju ke kediaman Najib.

Seorang pegawai polis meminta tingkap kenderaan itu dibuka beberapa kali sebelum individu dalam kereta itu berbuat demikian. Walaupun begitu, hanya sedikit sahaja tingkap itu dibuka.

Pegawai itu kemudian kedengaran bertanya "Siapa awak?" beberapa kali sebelum berkata, "Adik dia?".

Dia kemudian membenarkan kereta itu masuk.

'Masih belum dapat buka peti besi'

Sementara itu, Polis dikatakan masih tidak dapat membuka sebuah peti besi keselamatan, yang didakwa dikunci selama dua dekad, di kediaman tersebut.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii ketika meninggalkan kediaman bekas presiden Umno itu.

"(Polis) masih belum dapat membukanya lagi," katanya ketika ditanya sama ada peti berkenaan telah dibuka.
"Sebenarnya dia (Najib) kata peti itu dah lama, anaknya telah gunakannya sejak sekian lama dan tidak pernah buka selama dua puluh tahun.

"Tapi pihak polis pun, mereka kena guna pakar untuk buka peti besi itu, seperti dalam filem 'The Italian Job' dan sebagainya," kata Razlan.


Terdahulu, Razlan berkata pihaknya tidak membuat bantahan terhadap serbuan berkenaan kerana masih dalam keadaan 'patah semangat'.

"Bukan kami tak mahu protes. Sekarang kami rasa sangat patah semangat. Semua orang berasa patah semangat. Sebab kamu tahu, kami baru sahaja kehilangan kerajaan," katanya.

Beliau juga mempersoalkan sikap perikemanusiaan dalam serbuan berkenaan, lebih-lebih lagi Najib merupakan seorang bekas perdana menteri.

"Saya tidak nampak satu pun pertuduhan terhadap Najib. Apabila kami hilang kuasa, orang melayani kita bagaikan kita tak pernah buat sesuatu untuk mereka. Ini bukan budaya kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-