Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, June 23, 2018

Zahid akhirnya setuju sertai debat presiden Umno


Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya bersetuju menyertai 'Debat Presiden Umno' yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro AWANI pada 29 Jun ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid, yang kini menjalankan tugas presiden parti, berkata beliau hanya akan berdebat dari Bagan Datuk kerana pada malam berkenaan beliau perlu berada bersama perwakilannya bagi tujuan pemilihan pada keesokan harinya.

"Jika ia bukan untuk memecahkan Umno kepada dua atau tiga, maka saya sanggup untuk bersiaran dari Bagan Datuk kerana saya tidak akan pernah mengetepikan jemaah saya," katanya ketika diwawancara dalam rancangan '100 Hari Malaysia Baharu' di saluran Astro AWANI malam tadi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid, yang merupakan antara calon presiden Umno pada 30 Jun ini, menolak cabaran debat itu kerana berpendapat isu dalaman parti tidak perlu dibincangkan secara umum.

Dua lagi calon iaitu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan juga Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dijadualkan muncul pada program 'Debat Presiden Umno' selama sejam yang dijadualkan pada 9.30 malam 29 Jun.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata beliau tidak akan mengetepikan kedua-dua pencabarnya jika diberi mandat sebagai presiden pada pemilihan Umno 30 Jun ini.

Anggota Parlimen Bagan Datuk itu berkata pandangan Khairy dan Tengku Razaleigh penting bagi membangkitkan semula roh dan semangat parti itu.

"Jika saya diberikan mandat, saya takkan ketepikan calon presiden, dua orang ini akan saya bawa bersama saya, untuk bangkitkan semula roh Umno itu, untuk menggarap kekuatan bagi menjenamakanUmno yang baharu," katanya.

Beliau turut bertekad mahu menghapuskan budaya politik wang dan 'warlord' yang diakui menjadi budaya dalam parti itu sejak 40 tahun lalu.

Mengulas strategi Umno yang kini menjadi parti pembangkang selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum ke-14, Ahmad Zahid parti itu perlu segera menukar 'DNA' kerajaan kepada 'DNA' pembangkang dalam setiap pergerakan dan aktiviti mereka.

Mengakui ia tidak mudah, beliau berkata : "Masa untuk bersedih, bernostalgia telah berlalu, Insya-Allah Umno harus bangkit sebagai organisasi politik baharu dengan senario politik yang telah berubah."

- Bernama