Monday, July 23, 2018

Belia bebas kritik kerajaan, zaman budaya takut sudah berlalu - TPM

Rahimah Abdullah
Astro Awani | Julai 23, 2018 14:17 MYT

Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah meyakinkan belia-belia masa kini untuk menyertai pertubuhan belia. - Foto Astro AWANI.

BANGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan pemimpin belia bebas mengkritik kerajaan memandangkan zaman budaya takut sudah berlalu.

Bagaimanapun jelasnya, kritikan berkenaan sepatutnya memberikan idea yang konstruktif kepada kerajaan.

“Zaman budaya takut sudah berlalu, pemimpin belia seharusnya bebas mengkritik tetapi memberikan idea yang konstruktif kepada kerajaan selama mana menjaga adab keagamaan dan tatasusila ketimuran yang tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah, kini peranan dan tanggungjawab golongan belia masih sama.

"Bezanya belia terdahulu menuntut kemerdekaan manakala belia masa kini bertanggungjawab mengisi erti kemerdekaan. Di era Malaysia baharu ini, peranan dan suara pemimpin belia khususnya MBM amat penting dalam menjayakan agenda reformasi kerajaan serta menjadi kumpulan pendesak sebagai mekanisme semak-imbang terhadap segala polisi dan keputusan yang berkaitan kepentingan belia dan rakyat.

Mengulas mengenai MBM, kerajaan katanya amat memerlukan peranan badan itu dalam memainkan core business iaitu melahirkan kepimpinan yang berkaliber untuk negara.

Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah meyakinkan belia-belia masa kini untuk menyertai pertubuhan belia.

“Jika dulu, semasa zaman 70-an, 80-an dan 90-an, kebanyakan belia secara sukarela melibatkan diri dalam pertubuhan. Keadaan tersebut amat berbeza dengan belia masa kini yang mempunyai minat dan kehendak yang pelbagai. Mereka sering bertanya apa faedah yang mereka perolehi jika melibatkan diri dalam sesuatu pertubuhan,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-