Wednesday, October 17, 2018

Najib kata Guan Eng kelakar

FMT Reporters
-October 17, 2018 12:18 AM


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menganggap Lim Guan Eng seorang yang “kelakar” selepas menteri kewangan dilaporkan berkata kerajaan mengharungi 5 bulan mencabar dengan berbekalkan “sisa wang” RM450 juta.

Ini kerana kerajaan sepatutnya menerima hasil cukai sebanyak RM74 bilion pada Mei hingga Ogos iaitu RM20.8 bilion pada Mei, RM14.1 bilion pada Jun, RM21.3 bilion pada Julai dan RM17.4 bilion pada Ogos.

Najib juga berkata kerajaan menerima RM72 bilion pada Januari hingga April.

“Angka-angka ini tertera jelas di laman Bank Negara dan Kementerian Kewangan,” kata bekas perdana menteri di Facebook malam tadi.

“Bagaimana ‘mencabar’ kerja Lim saya tidak pasti. Ataupun duit itu ‘hilang’?”

Najib bersetuju jika Lim bermaksud kerjanya lebih mencabar mulai 1 September, iaitu pada hari cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan.

“Rakyat tidak merasai apa-apa manfaat tetapi kerajaan hilang berpuluh-puluh bilion dan tidak dapat meneruskan banyak inisiatif atau program,” katanya.

Lim dalam kenyataan pada Sabtu berkata kerajaan berjaya menunaikan komitmen kewangan bulanan berjumlah RM8 bilion untuk pembayaran gaji, pencen bulanan dan bonus penjawat awam meskipun pentadbiran lepas meninggalkan RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan.

“Kerajaan baharu Pakatan Harapan mengharungi 5 bulan yang amat mencabar selepas 9 Mei 2018,” kata menteri.

Lim juga berkata Akaun Hasil Disatukan merosot sebanyak 96% atau RM11.41 bilion daripada RM11.86 bilion pada Disember 2017 kepada RM450 juta pada April.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan yang terdahulu pimpinan Barisan Nasional telah berbelanja secara berlebihan sehingga berbilion ringgit setiap bulan menjelang pilihan raya umum Ke-14,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-