Sunday, September 8, 2019

Sepatutnya baiki ekonomi, bukan kecam rakyat pemalas

Izzat Nasuruden
08 September 2019


KUALA LUMPUR 8 Sept. – Sepatutnya lihat kembali pretasi jemaah menteri yang dilihat menjadi punca keadaan ekonomi negara menjadi kurang memberangsangkan dan bukannya hanya sekadar melabel rakyat sebagai pemalas semata-mata.

Teguran itu dilontarkan Setiausaha Penerangan MIC Pusat, C. Subash terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mengeluarkan kenyataan berunsur negatif iaitu melabel kaum Melayu sebagai pemalas.

Menurut Subash, Perdana Menteri sepatutnya berusaha sedaya upaya membaiki ekonomi negara dengan memastikan barisan Kabinet menjalankan tugas dengan cemerlang dan berkesan.

“Banyak menteri gagal melaksanakan tugas mengikut portfolio yang diberikan. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat gagal menarik minat pelabur asing dan Perdana Menteri perlu memperbaiki perkara ini terlebih dahulu.

“Perbaiki juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang telah menyebabkan perpecahan antara kaum. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun perlu diperbaiki memandangkan beliau suka masuk campur hal kementerian lain,” katanya memetik laporan UMNO Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subash berkata, keprihatinan Pakatan Harapan (PH) terhadap kebajikan rakyat perlu dipersoalkan memandangkan kerajaan ketika ini dilihat gagal menjaga kepentingan masyarakat.

Subash berkata, sikap sombong pemimpin yang membangkitkan sentiment perkauman demi publisiti politik kotor sendiri perlu dihentikan demi memastikan keharmonian antara kaum dapat dipelihara.

“Menteri-menteri Dr. Mahathir semua bergaji tinggi. Duduk rumah mewah. Kereta besar! Anak-anak semua dapat kontrak besar! Mana kenal keperitan hidup rakyat biasa?” katanya. 

UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-