Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Thursday, February 27, 2020

Dr M: Muhyiddin mungkin calon PM, sedia terima Umno

Hariz Mohd
Diterbitkan Hari ini 9:01 malam

BERITA

Bersatu mungkin meletakkan presidennya Muhyiddin Yassin sebagai calon parti itu untuk menjadi perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad petang ini.

"Kami telah berbincang, termasuk kemungkinan bahawa Muhyiddin mungkin menjadi seorang calon (PM)," katanya kepada pemberita di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Perdana interim itu berkata demikian ketika ditanya apa yang dibincangkan oleh kedua-dua mereka semasa mesyuarat yang diadakan di PMO lebih awal.

"Jika semua orang pilih dia, saya okey," katanya.

Mahathir bagaimanapun berkata parti itu tidak membincangkan sama ada mereka akan mencalonkan Muhyiddin atau dirinya untuk jawatan tertinggi itu.

Ahli politik berusia 94 tahun itu juga sedang mengusahakan agenda untuk membentuk kerajaan perpaduan, yang melangkaui garisan politik kepartian.

Mahathir mengulangi pendirian bahawa beliau tidak akan menerima Umno sebagai parti komponen.

"Tetapi Muhyiddin lebih longgar (relaxed), agak sedia untuk menerima mereka en bloc (secara keseluruhan)," katanya lagi.

Perbezaan pendapat antara kedua-dua tokoh itu mula menampakkan impaknya kepada keadaan politik di peringkat negeri.

Di Kedah yang diketuai Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar, kerajaan negeri kekal di bawah gabungan Pakatan Harapan dan Bersatu.

Bagaimanapun, di Johor yang dikuasai Muhyiddin, sebuah kerajaan negeri yang baru bakal dibentuk oleh Bersatu, BN dan PAS .

Muhyiddin, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, dipecat daripada Umno dan digugurkan daripada kabinet pada 2016 selepas tidak berpuas hati dengan isu 1MDB melibatkan presiden parti it,u Najib Abdul Razak.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Redzuan Yusoff ketika ditemui di luar kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara petang ini, berkata parti itu akan menyokong presiden mereka sebagai perdana menteri.

Redzuan berkata, jika sokongan Mahathir dimasukkan, ini bermakna Bersatu mempunyai "37" anggota parlimen yang menyokong Muhyiddin.

Bersatu hanya mempunyai 26 ahli parlimen. Adalah tidak jelas baki 11 lagi kerusi tetapi ia mungkin mungkin merujuk kepada kumpulan yang diketuai Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Pada sidang akhbar sebelum itu, Mahathir berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mendapati tiada seorang pun pemimpin yang mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Ini selepas baginda menemu duga secara peribadi setiap anggota parlimen pada Selasa dan Rabu.

Dengan ketiadaan calon menguasai majoriti yang jelas, Dr Mahathir berkata Agong mahu perkara itu diputuskan di Dewan Rakyat.

Persidangan khas Dewan Rakyat ditetapkan pada Isnin depan.

Sementara itu, Mahathir juga mengesahkan bahawa beliau telah memutuskan untuk kembali sebagai pengerusi Bersatu selepas melepaskan jawatan itu pada Isnin.

Beliau berkata Bersatu telah merayu kepadanya untuk kembali memegang jawatan itu dan beliau meminta masa untuk memikirkannya.

"Jadi hari ini, saya bersetuju untuk kembali sebagai pengerusi Bersatu," katanya.

Laporan tambahan oleh Yasmin Ramlan

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-