Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Sunday, July 12, 2020

'Parlimen terpaksa bubar jika usul Muhyiddin tukar speaker, timb speaker gagal'


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata sekiranya usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat esok gagal, parlimen terpaksa dibubarkan.

Asyraf berkata demikian merujuk kepada empat usul Muhyiddin di Dewan Rakyat esok, iaitu untuk menyingkirkan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker, kemudian menggantinya dengan Azhar Azizan Harun, usul menyingkirkan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker dan kemudian menggantikannya dengan Ahli Parlimen Pegerang, Azalina Othman.

"Jika gagal, bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tidak lagi memiliki legitimasi dan majoriti untuk meneruskan hayat pentadbiran yang ada.

"Maka kerajaan tiada pilihan lain melainkan mengadap Yang DiPertuan Agong untuk membubarkan parimen," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Namun, Asyraf berkata, dia berharap agar pemerintahan PN dapat dipertahankan demi kepentingan rakyat.

Menurut persidangan Dewan Rakyat sebelumnya, Muhyiddin mendapat sokongan 113 daripada 222 anggota Dewan Rakyat.

Sejak itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh telah keluar dari kerajaan dan kemungkinan akan berpihak kepada pembangkang.

Namun, Ahli Parlimen Lubuk Antu, Jugah Muyang, yang keluar dari PKR untuk menjadi bebas yang mesra PN.

PN terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS, STAR dan kumpulan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Pakatan Harapan mempunyai 91 Ahli Parlimen sementara blok ketiga yang terdiri daripada kumpulan Dr Mahathir Mohamad, Warisan dan PSB mempunyai 18 Ahli Parlimen.

Kedua-dua blok menentang untuk menukar speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Usul itu dilihat sebagai pengukur sokongan terhadap Muhyiddin.

Sejumlah usul dari kerajaan dan pembangkang telah dikemukakan ke Dewan Rakyat untuk menentukan apakah Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti.

Usul-usul itu bagaimanapun dijangka tidak akan dibentangkan memandangkan ia berada di bahagian bawah senarai Aturan Mesyuarat.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-