Tuesday, October 27, 2020

Kerjasama dengan PKR bukan satu-satunya cadangan saya – Najib

By Norlaile Abd Rahman
- 27 October 2020

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, kerjasama bersyarat dengan PKR tanpa DAP bukanlah satu-satunya cadangan yang diutarakannya semasa mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen UMNO semalam.

Sebaliknya, beliau telah mengutarakan dua lagi cadangan lain iaitu penetapan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) setelah wabak Covid-19 dapat dibendung serta meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dengan syarat UMNO diberikan peranan yang lebih besar dalam kerajaan untuk menentukan hala tuju ekonomi negara.

“Fahamkan, ia adalah cadangan-cadangan untuk diperbincangkan. Bukan kata muktamad. Tapi ada juga netizen yang kecam saya sebab antara cadangan saya ialah kerjasama bersyarat dengan Anwar tanpa DAP sehingga PRU-15.

“Turut dimainkan beberapa media portal beri gambaran ia bagai satu keputusan muktamad. Tak benar itu. Ianya hak untuk netizen kecam saya. Saya faham.

“Itupun cadangan untuk kita berbincang sahaja. Belum bekerjasama pun.

“Perlu ingat juga yang pernah berpakat secara rasmi dengan Anwar termasuk:
1. Mahathir.
2. Muhyiddin.
3. Azmin Ali + Zuraida
4. Parti PAS.
5. UMNO sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Najib, ketiga-tiga cadangan yang diutarakannya adalah berdasarkan kepada kepentingan parti dan kebaikan negara.

“Kalau saya tidak pedulikan rakyat, sudah tentu saya tidak menulis saranan saranan demi kepentingan rakyat. Pendapat saya bahawa kita perlu terbuka untuk berbincang dengan parti-parti lain juga adalah sebagai pendirian politik kepada PN bahawa UMNO masih ada pilihan lain.

“Perlu diingatkan UMNO adalah sebuah parti politik.

“Jika dulu UMNO tak terbuka, tak wujudlah Muafakat Nasional dengan Pas dan kerajaan PN dengan PPBM yang merupakan musuh kita selewat bulan Februari 2020,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, niatnya ketika membawa cadangan tersebut ke dalam mesyuarat adalah untuk dibincangkan dengan mendalam oleh setiap ahli parlimen yang hadir.

Ia tidak bermaksud setiap cadangan berkenaan wajib dilaksanakan.

“Ada yang tuduh saya pencinta atau BFF Anwar. Malah ada mengeluarkan kembali foto saya menziarahi Anwar di hospital. Saya melawat ramai pemimpin politik ketika mereka sakit biarpun tidak sehaluan dalam politik.

“Ada yang tuduh saya nak lepaskan dari kes-kes mahkamah saya. Ada yang kecam saya gila kuasa.

“Tapi perlu ingat bahawa ramai yang kata begitu juga masa kita bersetuju untuk mewujudkan PN walaupun saya kata saya tidak mahu jawatan dan saya mahu kes-kes saya diteruskan untuk bersihkan nama saya melalui proses pengadilan.

“Ketiga-tiga cadangan saya adalah berdasarkan kepentingan parti dan kebaikan negara, yang tunjangnya adalah rakyat,” katanya.

- MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-