Sunday, November 22, 2020

Sokong Belanjawan 2021 bukti setia parti pada titah Agong

Athirah Huda Zalhe
ismaweb.net
Dahulukan kepentingan rakyat, negara pendekatan asas Al-Sultan Abdullah

BANGI, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Islam menekankan pendekatan supaya mendahulukan kepentingan umum berbanding individu atau kumpulan tertentu.

Pendekatan itu juga yang menjadi asas kepada Yang di-Pertuan Agong dalam mengingatkan semua pemimpin politik untuk menyokong Belanjawan 2021 supaya dapat diluluskan demi kepentingan rakyat serta negara.

28 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Ahli Parlimen agar mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Sehubungan itu, baginda menyeru Ahli-Ahli Dewan Rakyat menghormati titah Seri Paduka untuk menghentikan segera segala perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara.

Al-Sultan Abdullah mengingat Ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat.

Justeru, sebarang tindakan yang bertentangan dengan titah Seri Paduka sudah cukup menggambarkan bahawa pimpinan parti tidak menghormati peringatan baginda, kata Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim.

“Ianya juga menggambarkan bahawa pimpinan parti tidak langsung mengutamakan kepentingan rakyat, sebaliknya mementingkan agenda kuasa parti dengan berselindung di sebalik kononnya kepentingan rakyat dan negara.

“Parti yang benar mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti, ialah parti yang akur dengan titah Agong sebelum ini.

“Inilah parti yang mampu menunjukkan imej yang baik dan contoh kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebagai parti yang beridentiti watan, hikmah dan wibawa, BERJASA menasihatkan pimpinan parti supaya mendahulukan agenda membantu rakyat serta negara dalam tempoh Malaysia berperang melawan pandemik COVID-19.

“Semua pimpinan parti tunjukkanlah kepada semua ahli bahawa kesetiaan kepada YDPA tetap dijulang dan inilah sebenarnya pemimpin yang berwibawa serta berjiwa negarawan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-