Hina Islam: Jakim disaran bimbing, pulih akhlak Maznah
03/08/2013 4:36pm
HULU TERENGGANU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil peluang membimbing dan memulihkan akhlak Maznah Mohd Yusof, 38, atau dikenali Chetz yang kini menjadi kritikan ekoran video pemaparan dirinya bersama tiga ekor anjing di YouTube baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata, Jakim boleh mengambil peluang sementara proses siasatan sedang berjalan ke atas Chetz yang merupakan bekas pelajar luar negara.
"Mungkin dalam masa terdekat ini, Jakim boleh mencuba satu program bagaimana hendak membimbing dan memulihkan kembali akhlak Chetz.
"Kita tahu antara sekarang hingga satu tempoh walaupun Chetz dilepaskan, beliau mungkin dipanggil pada bila-bila masa untuk siasatan dan sebagainya, tetapi antara proses dilepaskan itu apakah yang boleh Jakim lakukan bagi membentuk balik peribadi dan akhlaknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Karisma Ramadan Tadarus al-Quran peringkat Parlimen Hulu Terengganu di sini hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.