(Oleh Azuan Abd Rahman)
KLANG 21 OKT: Sambutan perayaan Deepavali bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di Little India, Klang petang ini berlangsung meriah.
Rakyat berbilang kaum yang hadir di tapak bazar di tengah bandar Klang itu disajikan dengan paluan gendang dan tarian kebudayaan dari masyarakat India.
Di samping meraikan sambutan ‘Pesta Cahaya’ yang bakal disambut esok, ia juga merupakan sebahagian dari program solidariti rakyat bersama tokoh reformasi itu, sebelum pendengaran rayuan kes Fitnah II pada 28 Oktober ini.
Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, R Sivarasa, Ronnie Liew dan Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan serta beberapa pimpinan muda lain turut hadir.
Terdahulu, meskipun cuaca sedikit mendung berikutan musim hujan, lebih 200 rakyat dan pimpinan setia menunggu ketibaan Anwar di hadapan Masjid India Muslim Tengku Kelana.
Beliau yang tiba pada 4.30 petang tadi dengan diiringi beberapa motosikal berkuasa tinggi dikerumuni rakyat bagi menyatakan sokongan.
Anwar kemudiannya mengambil kesempatan beramah mesra dengan penduduk dan penjaja.
Beliau yang memakai pakaian tradisional masyarakat itu seterusnya meredah jalan untuk minum petang, dijamu dengan maruku dan segelas minuman panas.
Esok, beliau meneruskan jelajah ke Pulau Pinang dan Kedah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.