Wednesday, October 22, 2014

Peralihan 5% - 8% undi akan ubah lanskap politik Johor

21 Oktober 2014 oleh LIEW CHIN TONG


Jawatankuasa Negeri telah memilih “Politik Baru, Wilayah Baru” sebagai tema Konvensyen DAP Johor 2014, yang berlangsung pada 12 Oktober. Saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ribuan terima kasih atas kehadiran pimpinan PAS dan PKR yang memeriahkan konvensyen DAP Johor.

Selaku Pengerusi DAP Johor, saya telah membentangkan beberapa strategi yang digaris untuk pimpinan DAP di Johor. Dengan rendah diri saya kongsikan pandangan saya di sini, untuk mendapatkan pandangan rakan dalam Pakatan Rakyat.

Pertamanya, kegiatan yang dianjurkan DAP dalam negeri seharusnya memupuk semangat “turut-serta”, “tanggungjawab” dan “rasa bangga” di kalangan ahli.

Ia bermakna kita mahu ahli-ahli kita menyertai usaha transformasi DAP, bertanggungjawab untuk meluaskan daya tarikan DAP kepada semua peringkat masyarakat daripada sembang-sembang kedai kopi sehinggalah arena politik nasional. Kita juga mahu ahli berasa bangga untuk menjadi sebahagian daripada keluarga DAP.

Kedua, untuk memastikan semua wakil rakyat kita berusaha dengan lebih gigih dan bukan sekadar menjaga kawasan masing-masing. Wakil rakyat bukan hanya menawarkan perkhidmatan tempatan secara pasif, atau apabila menerima aduan. Sebaliknya, kita mesti mengorak langkah secara proaktif, untuk membina masyarakat, malah mendampingi pengundi, terutamanya generasi muda.

Bukan itu sahaja, kita mahu melihat wakil rakyat kita sebagai pemimpin DAP yang membina parti bukan sahaja di kawasan mereka sendiri tetapi juga menjadi pemimpin untuk seluruh negeri yang mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada ahli. Kita juga mahu wakil rakyat kita menjuarai dasar di dalam dan di luar Dewan Undangan Negeri.

Semua wakil rakyat kita mesti mengambil sikap bahawa DAP bersama Pakatan Rakyat adalah sebuah kerajaan dalam penantian (government-in-waiting) untuk mengambil-alih pentadbiran negeri.

Kita adalah “government-in-waiting” yang mempunyai dasar alternatif yang lebih baik daripada kerajaan sedia ada; kita mahu menunjukkan bukti bahawa DAP sedang membina masyarakat, dan bukan hanya mengumpul sokongan politik. Pusat-pusat khidmat masyarakat kita bukan hanya mampu menyelesaikan aduan rakyat tempatan tetapi juga menjadi ruang untuk masyarakat meluahkan aspirasi mereka, khususnya di kalangan generasi muda.

Ketiga, kita ingin melihat hubungan yang lebih baik antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Di peringkat nasional, Pakatan Rakyat yang kini menghadapi krisis politik yang paling buruk sejak penubuhannya pada tahun 2008 dilihat akan terjejas sokongan daripada rakyat di peringkat negeri, termasuk di Johor.

Dengan itu, kita amat mengharapkan pucuk pimpunan semua parti dapat menunjukkan secara jelas arah tuju Pakatan di peringkat nasional. Bagaimanapun, perlu saya jelaskan di sini bahawa hubungan kepimpinan negeri DAP, PAS dan PKR adalah amat baik sekali.

Keempat, DAP Johor bukan sahaja akan memberi tumpuan untuk membina sokongan pengundi di kawasan-kawasan yang telah kita menangi dalam PRU yang lalu. Kita juga sedang membina sokongan politik untuk DAP dan Pakatan Rakyat di kawasan-kawasan yang belum kita menangi. Kita percaya bahawa hanya dengan kehadiran DAP dan Pakatan Rakyat di seluruh pelusuk negeri Johor, kita akan dapat membantu DAP dan Pakatan Rakyat menang di peringkat negeri dan nasional dalam PRU yang akan datang.

Kelima, DAP sedar bahawa untuk memenangi Putrajaya, pihak pembangkang mesti meyakinkan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan separa bandar, bahawa kita adalah parti yang boleh dipercayai dan diyakini mereka.

Dengan adanya tekanan ekonomi yang semakin berat di kawasan-kawasan separa bandar akibat dasar-dasar Najib seperti pemotongan subsidi minyak dan memperkenalkan GST serta kejatuhan harga komoditi, kita perlu mendekati kawasan-kawasan separa bandar ini yang mana DAP tidak berpeluang untuk berbuat demikian pada masa-masa yang lalu.

Di Johor, beberapa kerusi di utara negeri adalah kawasan-kawasan separa bandar yang memerlukan hanya 5 hingga 8 peratus peralihan undi untuk mengubah lanskap politik Johor. Dan apabila kita memikirkan tentang wilayah baru, Johor adalah negeri di mana PAS hanya boleh menang sekiranya ia mendapat undi daripada pengundi bukan Melayu manakala DAP pula akan hanya dapat meningkatkan sokongannya di kalangan orang Melayu jika berlaku perubahan persepsi di kalangan orang Melayu terhadap DAP. Dan hanya apabila Pakatan Rakyat mampu menarik sokongan orang Melayu dan bukan-Melayu ke jalan tengah barulah kita dapat melihat perubahan positif yang sebenar.

Sebagaimana yang dikatakan Ketua Parlimen DAP saudara Lim Kit Siang sebelum ini, kawasan separa bandar umpama “kunci Pakatan Rakyat ke Putrajaya”. Seandainya Pakatan mampu menawan 70% kawasan separa bandar (Pakatan masih kekurangan 16 kerusi parlimen dari matlamat itu), maka peluang kita menawan Putrajaya adalah cerah.

Cabaran di hadapan kita bukanlah sesuatu yang mudah untuk diatasi. Tetapi DAP tidak pernah memilih jalan yang mudah. Kita adalah pejuang yang tidak pernah mengaku kalah, yang terus bertahan dan yang mampu mencapai kemenangan walaupun dalam keadaan yang pedih dan derita. Saya ingin mengajak semua rakan seperjuangan saya untuk terus menjadikan DAP sebagai pilihan utama bagi semua warga Johor dan seluruh rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-