(Oleh: Ermizi Muhamad)
KUALA LUMPUR 12 NOV : Persempadanan semula pilihan raya yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu adalah tidak seimbang dengan jumlah pengundi.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, langkah itu akan menyebabkan berlaku pertambahan kerusi Parlimen dan DUN sehingga 15 peratus selepas proses persempadanan pilihan raya diluluskan.
Beliau turut merujuk rancangan SPR mewujudkan kawasan Parlimen baharu di Negeri Sembilan bagi kawasan DUN Paroi dan Parlimen Rembau, yang akan memberi kelebihan kepada BN.
“Antara kawasan baru yang mahu diwujudkan SPR misalnya di Negeri Sembilan ialah Paroi dan Rembau yang kalau dilihat pada pola pengundian pilihan raya lepas, sememangnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.
“Cadangan ini dilihat tidak seimbang daripada jumlah pengundi. Adakah boleh di satu kawasan Parlimen itu jumlah pengundinya kurang daripada 30 ribu?
“Sedangkan di kawasan Parlimen lain mencatatkan jumlah pengundi sekitar 70 ribu dan 80 ribu pengundi. Adakah kuantiti ini munasabah untuk mewujudkan kawasan Parlimen baru?” soalnya ketika bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini.
Justeru katanya, Pakatan Rakyat akan terus membantah sebarang cadangan kepada proses persempadan semula yang juga pernah beliau persoalkan sebelum ini dalam sidang Dewan.
“Saya berharap cadangan ini tidak akan diluluskan kerana ia langsung tidak boleh diterima. Kami di Pakatan Rakyat akan terus membantah dan tidak bersetuju dengan cadangan ini,” tegasnya
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.