Thursday, December 11, 2014

Bible dicap supaya tidak dibawa masuk Selangor, kata Sultan


Sultan Selangor bertitah cap amaran di dalam Bible yang dikembalikan sudah diketahui Persatuan Gereja Sarawak (ACS). – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Disember, 2014.Semua 321 Bible versi Bahasa Melayu dan Iban yang diserahkan kepada penganut Kristian di Sarawak dicetak dengan cap amaran pihak berkuasa agama Selangor bagi memastikan kitab yang mengandungi kalimah "Allah" itu tidak akan dibawa masuk semula ke negeri itu, menurut Sultan Selangor.

Dalam temubual bersama akhbar The Star sempena ulang tahun keputeraannya hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, Persatuan Gereja Sarawak (ACS) yang menerima kitab tersebut sedia maklum mengenai amaran itu.

Kitab tersebut yang dirampas ketika serbuan di kedai buku Persatuan Bible Malaysia pada Januari tahun ini, dikembalikan kepada ACS dalam satu majlis 14 November lalu disaksikan Sultan Selangor.

Bagaimanapun, pemimpin Kristian kemudiannya menyedari kitab itu disertakan dengan cap amaran bertulisan merah memberi peringatan ia tidak boleh diterbit atau diedarkan di Selangor.

Pemimpin Kristian mendakwa ia mencemari kesucian Bible dan menuntut permohonan maaf daripada Jabatan Agama Islam Selangor.

Cap amaran itu bertulis: "Penggunaan terhad kepada orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan di mana-mana bahagian di dalam negeri Selangor selaras dengan Seksyen 9 (1) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988."

Sultan memberitahu The Star, Bible itu dicap kerana terdapat pelanggaran perundangan tahun 1988 itu meskipun Peguam Negara memutuskan tiada yang menyalahi undang-undang.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pada Jun yang Bible tersebut bukan merupakan ancaman terhadap keselamatan negara dan tidak ada pendakwaan bagi kes itu.

Dalam laporan hari ini, Sultan juga menggesa masyarakat bukan Islam menghormati dan melindungi sensitiviti agama orang Islam di Malaysia, terutamanya di Selangor.

"Beta berharap pengedaran dan percetakan Bible yang mengandungi kalimah 'Allah' tidak lagi dilakukan di Selangor.

"Undang-undangnya khusus dan jelas. Ia menjadi satu kesalahan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

"Tetapi, pada masa sama kita harus ingat, Bible yang dirampas itu milik orang Kristian. Ia mesti dipulangkan kepada pemilik sebenar," baginda dipetik sebagai berkata.

Menyentuh peranannya dalam pemulangan Bible kepada ACS, Sultan berkata beliau berunding dengan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung perkara itu sementara beberapa pembantunya mengadakan pertemuan sulit dengan pemimpin ACS.

"Penting untuk dimaklumi yang Mufti Datuk Mohamad Tamyes Abdul Wahid turut memainkan peranan dalam hal ini dan beliau memang menyokong sepenuhnya Bible itu dipulangkan.

"Kaedah perundingan berjalan lancar, lebih baik daripada gesaan membakar Bible," kata Sultan Sharifuddin merujuk kepada kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali tahun lepas.

Pemerintah negeri Selangor itu berkata, beliau enggan melibatkan mana-mana ahli politik dalam isu itu bagi memastikan penyelesaian yang cepat dapat dibuat, sambil mengakui isu itu diheret terlalu lama.

"Ya, beta tidak mahu melibatkan ahli politik. Kita perlu 'common sense' (menggunakan akal fikiran) dalam hal agama.

"Isu ini diheret terlalu lama, Dalam mencari jalan penyelesaian, kita perlukan satu noktah, bukan setakat tanda koma," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bible-dicap-supaya-tidak-dibawa-masuk-selangor-kata-sultan#sthash.x5YTucyy.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-