Showing posts with label bible. Show all posts
Showing posts with label bible. Show all posts

Sunday, September 29, 2019

Bacaan doa Kristian di sekolah salahi Perlembagaan

USTAZ ABDUL RAZIB ABDUL RAHIM 
29 SEPTEMBER 2019


TINDAKAN SK (P) Methodist tidak membenarkan bacaan doa orang Islam dan membiarkan bacaan doa secara agama Kristian secara terbuka dalam satu majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah sangat bertentangan dengan Perlembagaan Negara Artikel 11(4) yang melarang pengembangan agama lain kepada orang Islam. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dato' Khee Phaik Cheen Pengerusi Jemaah Tadbir.

Walaupun sekolah tersebut di bawah pengurusan gereja, namun sekolah ini telah mendapat bantuan penuh kerajaan. Dimaklumkan juga, bahawa sekolah ini mempunyai majoriti pelajar Islam berbanding pelajar bukan Islam termasuk gurunya.

Sekolah ini memiliki enrolmen iaitu seramai 508 bilangan murid keseluruhan dengan 24 guru beragama Islam, sedang guru bukan Islam hanya 14 orang. Begitu juga terdapat 347 murid Islam, berbanding 161 murid bukan Islam.

Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang memandang serius perkara ini, dan menggesa agar Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengambil tindakan segera kepada pihak pentadbiran sekolah agar perkara sebegini tidak lagi berulang.

Kami juga menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menyebar agama Kristian secara terbuka kepada orang Islam yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Sebelum ini, kejadian edaran Bible dan risalah Kristian di Bukit Mertajam dan Penaga belum ada sebarang tindakan. Kita bimbang perkara ini menjadi lebih serius dan akhirnya menggugat akidah umat Islam.

"Demi Islam"

USTAZ ABDUL RAZIB ABDUL RAHIM
Ketua Sektor Pendidikan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang. 

- HARAKAHDAILY 
  29/9/2019

Thursday, November 8, 2018

Sikap Rasulullah terhadap Bible

Tindakan yang meragukan muslim daripada al-Quran perlu dijauhi

sitifatimah 08/11/2018


1. SUATU hari Saidina Umar membawa helaian kitab terdahulu (dari Taurat atau Bible) yang beliau terimanya dari ahli kitab (Yahudi atau Nasrani). Lalu Umar membacanya di hadapan Rasulullah. Tindakan Umar itu mengusik sensitiviti Rasulullah sehingga menyebabkan Baginda marah lalu menegur Umar:

“أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي‏”


“Apakah engkau terpesona dengannya wahai (Umar) Ibn al-Khattab? Demi jiwaku yang berada ditanganNya, sesungguhnya sekiranya Musa masih hidup, maka dia akan mengikuti aku.” (HR Ahmad, al-Nasa’i).

2. Perasan tak dalam hadith ini yang ditegur adalah Saidina Umar? Apakah iman Umar terlalu lemah sehingga membaca Bible atau Taurat pun dilarang oleh Rasulullah? Sudah tentu tidak! Tetapi kerana Baginda bersikap tegas dalam perkara ini supaya muslim menumpukan fokus mereka kepada al-Quran. Sebarang tindakan yang melarikan tumpuan muslim, bahkan meragukan muslim dari al-Quran mestilah dijauhi.

3. Kebimbangan Rasulullah ini menjadi asas kepada sarjana ,muslim dalam menentukan pendirian seseorang yang ingin membaca kitab terdahulu. Bagi al-Imam Ibn Hajar, orang awam yang tidak mahir dalam bidang ini haruslah menjauhkan diri dari membacanya. Kata beliau:

وَالْأَوْلَى فِي هَذِهِ الْمَسْأَلَةِ التَّفْرِقَةُ بَيْنَ مَنْ لَمْ يَتَمَكَّنْ وَيَصِرْ مِنَ الرَّاسِخِينَ فِي الْإِيمَانِ فَلَا يَجُوزُ لَهُ النَّظَرُ فِي شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ

“Dan (pendekatan) yang terbaik dalam perkara ini adalah dibezakan antara mereka yang tidak mahir dalam perkara ini, (iaitu) yang bukan dikalangan mereka yang tinggi dalam urusan keimanan, maka tidak harus bagi mereka melihat (membaca) sesuatu daripadanya (Taurat dan Bible).” (Fath al-Bari, 13/525)

4. Al-Imam al-Nawawi pula memberikan alasan yang berbeza. Menurut beliau, penyelewengan maklumat serta perubahan kandungan kitab- kitab terdahulu ini menjadi punca mengapa muslim seharusnya mengelakkan diri dari membacanya. Kata beliau:

وكتب التّوراة والإِنجيل : ممّا يحرم الانتفاع به ، لأنّهم بدّلوا وغيّروا


“Dan kitab-kitab Taurat dan Injil, adalah sesuatu yang tidak boleh seseorang itu mendapat manfaat daripadanya kerana kandungannya telah diubah dan diseleweng” (Raudah al-Talibin, 10/259).

5. Di Malaysia pula, Perkara 11 (4) dalam perlembagaan Malaysia memberi peruntukan bahawa Undang-undang Negeri dan undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

6. Dengan itu adalah wajar bagi pihak berkuasa untuk meneliti, menyiasat serta bertindak sekiranya tindakan ini jelas melanggar Perlembagaan negara. Bagi muslim, panduan yang diberikan oleh Rasulullah adalah sebaik-baik pedoman.

Moga Allah memelihara Islam dan kaum Muslim.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies


Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Thursday, December 11, 2014

Bible dicap supaya tidak dibawa masuk Selangor, kata Sultan


Sultan Selangor bertitah cap amaran di dalam Bible yang dikembalikan sudah diketahui Persatuan Gereja Sarawak (ACS). – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Disember, 2014.Semua 321 Bible versi Bahasa Melayu dan Iban yang diserahkan kepada penganut Kristian di Sarawak dicetak dengan cap amaran pihak berkuasa agama Selangor bagi memastikan kitab yang mengandungi kalimah "Allah" itu tidak akan dibawa masuk semula ke negeri itu, menurut Sultan Selangor.

Dalam temubual bersama akhbar The Star sempena ulang tahun keputeraannya hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, Persatuan Gereja Sarawak (ACS) yang menerima kitab tersebut sedia maklum mengenai amaran itu.

Kitab tersebut yang dirampas ketika serbuan di kedai buku Persatuan Bible Malaysia pada Januari tahun ini, dikembalikan kepada ACS dalam satu majlis 14 November lalu disaksikan Sultan Selangor.

Bagaimanapun, pemimpin Kristian kemudiannya menyedari kitab itu disertakan dengan cap amaran bertulisan merah memberi peringatan ia tidak boleh diterbit atau diedarkan di Selangor.

Pemimpin Kristian mendakwa ia mencemari kesucian Bible dan menuntut permohonan maaf daripada Jabatan Agama Islam Selangor.

Cap amaran itu bertulis: "Penggunaan terhad kepada orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan di mana-mana bahagian di dalam negeri Selangor selaras dengan Seksyen 9 (1) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988."

Sultan memberitahu The Star, Bible itu dicap kerana terdapat pelanggaran perundangan tahun 1988 itu meskipun Peguam Negara memutuskan tiada yang menyalahi undang-undang.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pada Jun yang Bible tersebut bukan merupakan ancaman terhadap keselamatan negara dan tidak ada pendakwaan bagi kes itu.

Dalam laporan hari ini, Sultan juga menggesa masyarakat bukan Islam menghormati dan melindungi sensitiviti agama orang Islam di Malaysia, terutamanya di Selangor.

"Beta berharap pengedaran dan percetakan Bible yang mengandungi kalimah 'Allah' tidak lagi dilakukan di Selangor.

"Undang-undangnya khusus dan jelas. Ia menjadi satu kesalahan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

"Tetapi, pada masa sama kita harus ingat, Bible yang dirampas itu milik orang Kristian. Ia mesti dipulangkan kepada pemilik sebenar," baginda dipetik sebagai berkata.

Menyentuh peranannya dalam pemulangan Bible kepada ACS, Sultan berkata beliau berunding dengan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung perkara itu sementara beberapa pembantunya mengadakan pertemuan sulit dengan pemimpin ACS.

"Penting untuk dimaklumi yang Mufti Datuk Mohamad Tamyes Abdul Wahid turut memainkan peranan dalam hal ini dan beliau memang menyokong sepenuhnya Bible itu dipulangkan.

"Kaedah perundingan berjalan lancar, lebih baik daripada gesaan membakar Bible," kata Sultan Sharifuddin merujuk kepada kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali tahun lepas.

Pemerintah negeri Selangor itu berkata, beliau enggan melibatkan mana-mana ahli politik dalam isu itu bagi memastikan penyelesaian yang cepat dapat dibuat, sambil mengakui isu itu diheret terlalu lama.

"Ya, beta tidak mahu melibatkan ahli politik. Kita perlu 'common sense' (menggunakan akal fikiran) dalam hal agama.

"Isu ini diheret terlalu lama, Dalam mencari jalan penyelesaian, kita perlukan satu noktah, bukan setakat tanda koma," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bible-dicap-supaya-tidak-dibawa-masuk-selangor-kata-sultan#sthash.x5YTucyy.dpuf

Tuesday, December 9, 2014

Larangan terhadap Bible di Selangor tidak realistik, kata kumpulan Kristian


Pengerusi CFM Rev Dr Eu Hong Seng berkata larangan Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban di Selangor tidak realistik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Disember, 2014.Susulan tindakan mengecap kata-kata amaran di Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban oleh pihak berkuasa agama Islam Selangor, melarang ia digunakan di negeri itu, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) mengatakan "larangan menyeluruh" itu tidak realistik.

Pengerusi CFM Rev Dr Eu Hong Seng berkata, selain mereka yang berada di Malaysia Barat, terdapat ribuan lagi rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal dan bekerja di Selangor yang hanya mahir bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Eu merujuk kepada larangan menyeluruh yang disebut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam kenyataan media bertarikh 14 November apabila Bible yang dirampas awal tahun itu diserahkan kembali kepada penganut Kristian melalui Persatuan Gereja Sarawak.


Cap yang dikenakan ke atas Bible yang dirampas awal tahun ini."CFM melihat dengan penuh kebimbangan perenggan akhir kenyataan Mais yang berbunyi '... dan berharap pengedaran dan percetakan Bible yang mengandungi perkataan 'Allah' tidak lagi dibuat di Negeri Selangor, kerana ia satu kesalahan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988'," kata Eu.

Kenyataannya itu berikutan kenyataan Persatuan Bible Malaysia (PBM) semalam, yang marah dengan tindakan pihak berkuasa agama negeri itu mencetak cap peringatan dengan tulisan merah pada lebih 300 naskhah AlKitab (Bible Bahasa Malaysia) dan Bup Kudus (bahasa Iban) yang sebelum itu disimpan mereka selama 10 bulan sejak Januari.

Katanya, Archbishop Kuala Lumpur sebelum ini, Tan Sri Murphy Pakiam dan CFM, kedua-duanya pernah menyatakan penggunaan AlKitab yang mengandungi kalimah 'Allah' akan terus digunakan semasa upacara Kristian bagi mereka yang bertutur di dalam Bahasa Malaysia dan tinggal di Semenanjung.

"Memaksa penganut Kristian di Malaysia berhenti menggunakan AlKitab adalah bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan beragama, di mana Klausa (3)(a) menyatakan 'semua agama berhak menguruskan hal ehwal agama masing-masing.'

"Ia merupakan satu ketidakadilan yang melampau terhadap penganut Kristian di Malaysia yang hanya menggunakan Bahasa Malaysia ketika beribadat dan untuk Bible mereka, dan menggunakan bahasa itu sejak berabad lama," kata Eu.

Sambil mengingatkan yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berulang kali memberi jaminan akan menegakkan semangat penyelesaian 10 perkara yang dipersetujui sebelum ini, beliau menggesa kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri segera berusaha ke arah memastikan ia benar-benar satu penyelesaian, dan bukannya satu kepalsuan yang menyebabkan kekeliruan dan konflik yang tidak perlu.

"Perdana menteri dan Jemaah menteri pada 31 Oktober 2014 memberi jaminan yang penyelesaian 10 perkara itu akan dijelaskan kepada semua kakitangan awam dan terbaru pada 14 November, perdana menteri meletakkan 'masalah' berkenaan 'isu Allah' itu ke atas kakitangan awam dan memberitahu mereka yang rampasan dan sekatan bukan sebahagian daripada penyelesaian yang dijanjikan dalam surat beliau kepada CFM bertarikh 11 April 2011," katanya.

The Malaysian Insider melaporkan, pemimpin Kristian marah dengan cap yang dicetak di atas naskhah Bible itu sebelum ia diserahkan kepada penganut Kristian Sarawak bulan lepas.

Presiden PBM Datuk Ng Moon Hing menuntut pihak berkuasa agama Selangor memohon maaf kerana 'mencemar' Bible itu kerana Putrajaya, pada bulan March 2011, berjanji tidak akan mengulangi perkara itu selepas insiden sama di Sarawak melibatkan konsaimen bernilai RM70,000 yang ditahan di Pelabuhan Kuching sejak 2009.

Saturday, November 15, 2014

DAP Selangor puji usaha Azmin pulangkan bible


KUALA LUMPUR, 15 NOV: DAP Selangor hari ini memuji usaha jujur dan berprinsip Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dalam menunaikan komitmennya untuk mengembalikan kitab Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas awal tahun lalu.

“Azmin menunaikan kata-katanya. Keteguhan dan kejujurannya menegakkan prinsip Pakatan dalam isu ini dan mempertahankan Perlembagaan akhirnya berbaloi dengan pemulangan Bible semalam,” kata Pengerusi DAP Selangor Tony Pua.

“Apa yang gagal dilakukan pentadbiran lalu selama sembilan bulan, berjaya dilakukan Azmin kurang daripada 60 hari,” katanya lagi.

Namun, DAP tidak dapat mengelak daripada merasa bimbang bahawa isu tersebut dapat diselesaikan segera ketika pentadbiran negeri bertukar akhir September lalu.

“Walaupun komitmen ditunjukkan amat dialu-alukan, bohong jika saya kata pimpinan DAP tidak merasa sangsi. Kebimbangan itu memandangkan kegagalan Menteri Besar lalu (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) serta kuatnya penentangan pihak lawan.

“Kita tidak sepatutnya meraguinya,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi.

Sebaik dilantik menjadi Menteri Besar baru, Azmin bersama-sama barisan Adun Selangor bersetuju untuk menjadikan penyelesaian isu tersebut sebagai perkara utama pentadbiran baru.

Ia akhirnya menjadi kenyataan semalam, apabila kesemua 351 naskah Bible Bahasa Melayu dan Iban dikembalikan kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) dalam satu majlis di Istana Shah Alam, walaupun dengan syarat ia tidak boleh diedarkan di negeri itu.

Dalam pada itu, Pua juga merakamkan penghargaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah memastikan semangat kesederhanaan diutamakan di negeri berbilang kaum dan agama itu.

“Sikap Tuanku telah menyebabkan situasi ‘menang-menang’ kepada semua komuniti di negara ini,” katanya lagi.

Katanya lagi, tamatnya kemelut itu merupakan petanda cerah kepada pentadbiran baru Selangor dalam membina kerajaan yang benar-benar cekap dan telus.

“Kami yakin dengan dedikasi yang sama, Selangor di bawah pimpinan Azmin akan berjaya menyelesaikan pelbagai isu rakyat – daripada lebuhraya dan jalanraya, sampah dan kerajaan bersih – dengan membina sebuah pentadbiran yang cekap dan telus,” katanya lagi. – Roketkini.com.

Friday, November 14, 2014

Pemulangan Bible, permulaan untuk Malaysia yang sederhana -- Kit Siang


KUALA LUMPUR, 14 NOV: DAP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang akhirnya berjaya menyelesaikan isu rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban yang telah berlanjutan hampir setahun.

Dalam satu majlis sempena kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) Rev. Archbishop Datuk Bolly Lapok di Istana Shah Alam pagi tadi, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memulangkan kembali 351 naskah kitab itu kepada ACS.

Memuji langkah itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berharap ia akan menjadi titik permulaan ke arah Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kesederhanaan.

“Tahniah kepada Azmin kerana berjaya menyelesaikan kemelut ini.

“Berita ini, serta tibanya negara kita sebagai Pengerusi Asean pada tahun hadapan adalah perkembangan yang amat dialu-alukan dan seharusnya dijadikan titik mula kepada Malaysia yang sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut menyaksikan penyerahan pagi tadi selain Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Azmin adalah Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Herman Shastri; Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi MAIS Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi JAIS Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pada 2 Januari lalu, JAIS merampas kitab Bible bahasa Melayu dan Iban di pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) kerana didakwa melanggar seksyen 9 (1) (a) Enakmen Agama Bukan Islam (Pengawalan penyebaran ke atas orang-orang Islam) 1988 hanya kerana mengandungi kalimah ‘Allah’.

Namun Pada 11 Jun lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata tiada pendakwaan yang akan dibuat kepada BSM. Walaubagaimanapun, kitab yang dirampas itu tetap tidak akan dipulangkan.

Dalam pada itu, tokoh veteran DAP itu menegaskan kembali seruan menamatkan ketegangan kaum dan agama yang telah menyekat pembangunan negara selama ini.

“Ada keperluan mendesak untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama dan politik, mengelakkan perkauman sempit yang bertentangan dengan prinsip Malaysia.

“Sudah tiba masanya untuk kita mengambil langkah pro-aktif untuk menghentikan polarisasi kaum dan agama yang telah menimbulkan perpecahan dan perbalahan di negara kita ini,” kata Kit Siang lagi.- Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-