Showing posts with label Sultan Selangor. Show all posts
Showing posts with label Sultan Selangor. Show all posts

Friday, September 27, 2024

PAS Pahang saran pemimpin kerajaan teladani Sanusi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 27, 2024 9:32 AM
PAS Pahang menyarankan agar pemimpin kerajaan perpaduan mencontohi Muhammad Sanusi Md Nor yang memohon keampunan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, berkata Sanusi wajar dipuji kerana sanggup merendahkan dirinya untuk memohon keampunan kepada Sultan Sharafuddin.

Menegaskan bahawa Sanusi juga merupakan manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan, Andansura berkata seseorang pemimpin mesti bersikap terbuka untuk menerima kritikan selain bijak menangani isu secara berhemah.

Justeru katanya tindakan Sanusi itu wajar dicontohi oleh pemimpin lain.

“Perkara sebegini seharusnya dijadikan contoh kepada mana-mana individu yang memegang jawatan tinggi dalam sesebuah kerajaan sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya dipetik Harakahdaily.

Andansura yang juga Adun Beserah berkata dengan mengambil langkah seperti diambil Sanusi seseorang pemimpin boleh dijadikan teladan sekali gus mampu menguruskan negara dengan lebih teliti.

Sanusi pada 25 Sept membuat permohonan keampunan secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin ekoran insiden yang berlaku di Selangor melibatkan baginda serta kerajaan negeri.

Dia yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berbuat demikian selepas lebih setahun membuat kenyataan yang menimbulkan kemurkaan pihak istana. Sebelum ini Sanusi pernah membuat permohonan maaf iaitu kira-kira tiga hari selepas insiden melibatkan kerajaan Selangor.

Kenyataan Sanusi yang dibuat di Selayang itu juga menyaksikan lebih 20 laporan polis dibuat ke atasnya, termasuk dari Dewan Diraja Selangor sendiri.

Hanya nabi, rasul sempurna

Sultan Sharafuddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengampunkan Sanusi, namun baginda turut menasihatkan ahli politik kanan PAS itu agar menjaga tatasusilanya.

Untuk rekod Sanusi juga berdepan dengan kes mahkamah terkait dengan pihak istana apabila didakwa mengeluarkan kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai 2023 dan mengaku tidak bersalah.

Kata Andansura pemimpin yang baik akan menjadikan kritikal yang dikenakan ke atasnya sebagai ruang memperbaiki diri, bukannya dilihat langkah memperlekehkan seseorang.

Mendakwa sifat seperti Sanusi itu tiada pada pemimpin kerajaan perpaduan, Andansura berkata, mereka menganggap kritikan itu sebagai serangan peribadi.

“Tiada sifat rendah diri ditunjukkan apabila mereka sendiri melakukan kesilapan dan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Menteri Besar Kedah baru-baru ini.

“Kita semua kena akui bahawa manusia tidak sempurna dalam semua perkara dan bagi saya, mana-mana kritikan yang membina patut kerajaan ambil sebagai satu peluang bagi membetulkan semula keadaan negara ini,”katanya.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Selangor turut memuji tindakan Sanusi.

Ketua penerangannya, Abdul Basith Abdul Halim, berkata Sanusi wajar dijadikan teladan yang baik kepada semua pihak.

Dia juga menegaskan tiada tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini kecuali para nabi dan rasul.

“Maka, beruntunglah bagi mereka yang sedar dengan kekhilafan itu dan berusaha memperbaiki dirinya,” katanya.

Thursday, September 26, 2024

Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun Menteri Besar Kedah

bharian.com.my
Oleh Norzamira Che Noh 
bhnews@bh.com.my
- September 26, 2024 
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar kecil, Muhammad Sanusi Md Nor.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menerusi surat titah yang dimuatnaik Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga Datuk Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan.

"Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya," titah baginda.

Dalam perutusan itu juga, baginda menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi serta menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di Selangor.
"Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.

"Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri.

"Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan. Akhir sekali, beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," titah Sultan Sharafuddin lagi.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.

Wednesday, September 25, 2024

[VIDEO] Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

kosmo_online
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
25 September 2024, 5:26 pm
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Permohonan ampun Menteri Besar tersebut berkaitan kenyataan beliau pada 11 Julai tahun lalu di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor yang didakwa menghina Sultan Selangor.

“Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam daerah Gombak, Selangor seperti mana yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku.

“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan DYMM,” katanya ketika membacakan permohonan maaf itu pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Ia adalah permohonan ampun pertama Menteri Besar tersebut yang dibuat secara terbuka.

Muhammad Sanusi menambah, beliau menzahirkan rasa kesal atas perkara negatif yang timbul akibat kenyataannya itu.

“Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. Patik ingin menyembah maklum kepada DYMM Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan DYMM Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga dengan penuh rasa insaf dan rendah diri memohon beribu keampunan kepada Sultan Selangor termasuk Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya itu.

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja. Sekian, menjunjung kasih Tuanku. Patik pacal yang hina,” katanya.

Pada 29 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, March 5, 2024

Hadi selesai beri keterangan siasatan bawah Akta Hasutan

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin 
- 05 Mar 2024, 4:30pm

Keterangan presiden PAS itu selesai dirakam pada kira-kira 3.15 petang di pejabat PAS pusat oleh dua pegawai USJT Bukit Aman.
Hadi Awang sedang disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PETALING JAYA: Hadi Awang selesai memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat Bukit Aman di pejabat PAS pusat petang ini bagi membantu siasatan bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Keterangannya berhubung kenyataan dalam artikel berjudul “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” itu selesai dirakam pada kira-kira 3.15 petang oleh dua pegawai daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah.

Setiausaha politik Hadi, Syahir Sulaiman memaklumkan bahawa presiden PAS itu memberikan kerjasama penuh apabila diajukan beberapa muka surat soalan oleh pegawai-pegawai itu.

“Tuan guru (Hadi) beri komitmen, kerjasama sepenuhnya. Jumlah soalan boleh tahan juga banyak, beberapa muka surat,” kata Ahli Parlimen Bachok itu kepada pemberita.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan Hadi akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini dilaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan kenyataan Hadi dalam artikel tersebut, menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu tidak beradab.

Baginda dalam surat diutuskan kepada Hadi menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.

Dalam pada itu, Syahir berkata, Hadi juga telah menghantar warkah menjunjung kasih kepada Sultan Selangor semalam.

“Satu warkah menjunjung kasih telah diutuskan daripada Tuan Guru bertarikh 4 Mac, kandungannya itu antara beliau dan tuanku sahaja, (jadi) kita hormati,” katanya.

Friday, October 21, 2022

Sultan Selangor ingatkan pemimpin yang mahu kuasa, kekayaan akan jadi perosak negara

satuberita.my
By Najmi Hakim
-October 21, 2022

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan bahawa pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia, akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menegaskan pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri, pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara.

“Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah, akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah, yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah pemimpin yang berintegriti, jujur dan beramanah, bukan sahaja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat, bahkan akan memacu negara untuk mencapai matlamat yang telah dirangka, agar menjadi sebuah negara mampan, stabil, dihormati dan beridentiti.

Sultan Sharafuddin bertitah junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, telah menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu.

Justeru baginda bertitah integriti berlandaskan nilai-nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan akidah, syariah dan akhlak, adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut yang berlaku dalam diri, organisasi dan negara hari ini.

“Sedarlah wahai pemimpin, janganlah kamu menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan,” titah baginda sambil menambah sifar jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin.

Titah baginda golongan pemimpin hendaklah menyerlahkan bukan sahaja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan, serta boleh diyakini dan dapat dipercayai oleh rakyat bahkan mengundang kehormatan daripada negara-negara lain di dunia.

BERNAMA

Tuesday, October 11, 2022

Sultan Selangor perkenan kerajaan negeri tak bubar DUN, teruskan pemerintahan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-October 11, 2022 3:30 PM

Amirudin Shari berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan pentadbiran diteruskan dan DUN tidak dibubarkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan supaya pentadbiran kerajaan Selangor dikekalkan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Amirudin berkata, Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

“Saya telah menyembah maklum komitmen dan persiapan kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.

“DYMM Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Monday, September 12, 2022

Pengampunan ada prosedur, perlu ikut undang-undang, tegas Sultan Selangor

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 12, 2022 4:31 PM
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengampunan diraja tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya dan harus mengikut lunas undang-undang dan prosedur, tegas Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata rakyat mesti faham proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas dan prosedur yang diperuntukkan bahawa Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

“Beta menzahirkan sokongan padu terhadap titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Sultan Sharafuddin mengikuti dengan rapat perkembangan isu berkaitan sistem pentadbiran keadilan negara kebelakangan ini, dan menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan hehakiman.

Sementara itu, baginda menegaskan Perlembagaan jelas memperuntukkan semua rakyat sama rata di sisi undang-undang.

“Ini bermakna rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa, dan keturunan tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang sama,” katanya.

Sultan Sharafuddin berkata semua pihak bertanggungjawab memelihara nama baik badan kehakiman, sambil mengingatkan cabang eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan mempengaruhi proses pentadbiran keadilan.

“Setiap rakyat berkehendakkan keadilan, kesaksamaan, serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin membidas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap badahn kehakiman tanpa mengetahui fakta dan alasan penghakiman sesuatu kes.

“Sebarang tohmahan tidak berasas kan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan,” katanya.

Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 12, 2022 5:02 PM
Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah telah menarik balik darjah kebesaran negeri yang dianugerahkan kepada Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Pembatalan itu berkuat kuasa hari ini, selepas pasangan itu disabitkan kesalahan di mahkamah.

Kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Haris Kasim menyebut penyingkiran darjah kebesaran itu selaras dengan hak prerogatif sultan untuk berbuat demikian di bawah undang-undang tubuh negeri dan statut mengenai gelaran.

Sultan Selangor sebelum ini telah menggantung gelaran untuk Najib dan Rosmah pada 2019, sementara menunggu keputusan kes mahkamah mereka.
"Beliau (Najib) telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," kata Haris melalui kenyataan Selangor Royal Office.
Sementara itu, Rosmah dianugerahkan SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

“Beliau (Rosmah) telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

“Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," kata kenyataan itu lagi.
Pasangan itu juga telah dilucutkan gelaran mereka di Negeri Sembilan pada 2018.

Bagaimanapun, pasangan itu masih mempunyai banyak gelaran Datuk Seri dari negeri lain.

Najib mempunyai lapan darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak. Rosmah mempunyai gelaran dari Pahang, Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Seri atau yang setaraf dengannya.

Selain Najib dan Rosmah, Sultan Sharafuddin turut membatalkan gelaran daripada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Arif Ab Rahman.
Arif (gambar, atas) dianugerahkan anugerah Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) pada 2005 yang membawa gelaran Datuk.

Selain Najib dan Rosmah, Sultan Sharafuddin turut membatalkan gelaran daripada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Arif Ab Rahman.

Arif dianugerahkan anugerah Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) pada 2005 yang membawa gelaran Datuk.

Semakan ke atas direktori penerima anugerah kerajaan menunjukkan Arif tidak mempunyai darjah kebesaran lain yang membawa gelaran.

"Beliau (Arif) telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," maklum kenyataan itu lagi.

Semakan ke atas direktori penerima anugerah kerajaan menunjukkan Arif tidak mempunyai darjah kebesaran lain yang membawa gelaran.

Monday, July 20, 2020

Sultan Selangor mahu perosak mural Agong, pemimpin didakwa

FMT Reporters
-July 20, 2020 6:45 PM


PETALING JAYA: Sultan Selangor mahu perosak mural Agong, perdana menteri, dan ketua pengarah kesihatan serta pemimpin lain dihadapkan ke mahkamah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menganggap tindakan menconteng kata-kata kesat pada wajah mereka sebagai sangat biadap, dan kesal serta kecewa ia berlaku di Selangor.

“Baginda berpandangan kejadian ini bukan dilakukan oleh orang kurang siuman atau budak-budak nakal, tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mural popular yang memaparkan wajah Sultan Abdullah bersama Muhyiddin Yassin dan Dr Noor Hisham Abdullah di Seksyen U12, Shah Alam hari ini didapati diconteng dengan kata-kata kesat.

Petugas Majlis Bandaraya Shah Alam tengah hari tadi terpaksa mengecat semula mural itu dengan cat putih bawah kawalan polis.

Monday, August 12, 2019

Sultan sedang teliti enakmen tukar agama, kata MB S’gor

Hariz Mohd 
Diterbitkan Hari ini 12:39 tengahari


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sedang meneliti cadangan pindaan enakmen negeri yang bakal membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam pagi ini, Amirudin berkata bahawa keputusan sama ada untuk membentangkan enakmen itu hanya akan dibuat selepas keputusan dicapai.

“Kita akan pastikan (perkara ini) dibincangkan dengan teliti sebab perkara ini melibatkan perlembagaan persekutuan terutama berhubung beberapa penafsiran dan sebagainya.

“Jadi kita perlu merujuk kembali (kepada perlembagaan).

“Pada waktu ini pihak DYMM Tuanku Sultan juga sedang meneliti kembali kertas tersebut

dan saya harus merujuk semula kepada Tuanku setelah buat rundingan dengan semua parti dan pemimpin baik di peringkat Selangor mahupun persekutuan,” katanya.

Amirudin sebelum itu hadir pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi MB Selangor di Shah alam, hari ini.

Beliau mengulas rancangan kerajaan negeri untuk meminda enakmen Islam Selangor yang menghadapi jalan buntu apabila Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu.
Ng, bagaimanapun, menafikan beliau memendekkan sidang DUN untuk hanya dua hari untuk mengelakkan enakmen itu daripada dibentangkan.

Ditanya mengapa perkara itu hanya dibangkitkan sekarang dan bukannya semasa pentadbiran negeri terdahulu, Amirudin berkata terdapat rancangan itu sebelum ini.

“Ada beberapa pertimbangan sebelum ini patut dibawa tahun-tahun sebelum ini, jadi kita lihat pada kebijaksanaan, ini pihak berkuasa agama yang susun.

“Jadi kita lihat dan meneliti, masing-masing sedang meneliti bila dah buat keputusan baru kita akan fikirkan langkah-langkah seterusnya,” katanya.

Tuesday, July 9, 2019

Hukuman pada Wan Ji terlalu keras, kata Anwar

Annabelle Lee 
Diterbitkan Hari ini 8:09 malam 


Presiden PKR Anwar Ibrahim menganggap hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atas pendakwah Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan terlalu keras dan tidak selari dengan pembaharuan demokratik.

"Ia (pemenjaraan Wan Ji) malang, saya bersimpati.

"Saya fikir hukuman itu terlalu keras.

"[...] Ini bukan sesuatu yang selari dengan peralihan demokratik (ketika pilihan raya umum ke-14)," katanya ketika ditemui selepas sesi soal jawan yang dianjutkan organisasi antarabangsa World Movement for Democracy di Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Wan Ji mula menjalani hukuman di Penjara Kajang hari ini.

Ditanya sama ada Peguam Negara Tommy Thomas perlu menjelaskan permohonan rayuan timbalan pendakwa raya berhubung kes itu, Anwar mengenepikan soalan itu dan mengulangi bahawa hukuman terhadap Wan Ji sesuatu yang "malang".

Keputusan mahkamah terhadap Wan Ji mengundang kritikan sesetengah pihak, dengan Suaram menggesa penjelasan awam daripada Thomas.

[Berita lanjut menyusul]

Penceramah Wan Ji ke penjara selepas mahkamah tolak rayuan kes hina Sultan Selangor

FMT Reporters
-July 9, 2019 12:36 PM
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Abdul Halim Aman dalam penghakimannya berkata, kata-kata menghasut dikeluarkan Wan Ji Wan Hussin ialah satu penghinaan kepada Sultan Selangor.

PETALING JAYA:  Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ii memerintahkan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dipenjarakan setahun selepas menolak rayuan terhadap sabitan bersalah menghina Sultan Selangor 7 tahun lalu, lapor Sinar Harian.

Hakim, Abdul Halim Aman turut menambah hukuman 9 bulan kepada setahun kerana kata-kata menghasut dikeluarkan Wan Ji ialah penghinaan kepada Sultan Selangor.

“…apa yang dinyatakan tertuduh ini seperti mana tertera dalam pertuduhan, saya mendapati ianya sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.

“Setelah menimbang faktor mitigasi dan keseriusan kes, mahkamah dengan ini meminda hukuman 9 bulan yang dijatuhkan hakim Mahkamah Sesyen kepada penjara 1 tahun dan hukuman itu berkuatkuasa hari ini.”

Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 9 bulan ke atas Wan Ji kerana memuat naik perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama melalui Facebook pada 5 November 2012.

Wan Ji ialah ahli Dewan Ulama PAS Selangor sebelum beliau menyertai PKR pada Julai 2015.

Hari ini, hakim menyifatkan tindakan Wan Ji melampaui batasan dan cuba menanam kebencian terhadap institusi diraja.

Beliau turut mengingatkan Wan Ji mengenai prinsip setia kepada raja serta kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Sultan adalah payung negeri, tempat rakyat bernaung di bawahnya.

“…kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada raja-raja.

“Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan masih tertakluk kepada undang-undang dan norma kehidupan.”

Peguam, Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili Wan Ji memohon pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Halim kemudiannya memerintah Radzlan memfailkan permohonan penangguhan secara rasmi.

Friday, December 7, 2018

Sultan Selangor, Johor nafi sertai himpunan esok

Diterbitkan 7 Dis 2018, 6:56 petang


Dua sultan hari ini menyatakan rasa dukacita apabila nama mereka dikaitkan kononnya akan hadir menyertai himpunan di Kuala Lumpur esok.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan khabar angin yang mendakwa baginda akan menyertai perhimpunan bantahan terhadap cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) itu.

Justeru Sultan Sharafuddin yang dukacita dengan penularan berita tidak benar itu menitahkan semua pihak agar tidak melibatkan nama baginda dengan mana-mana perhimpunan yang dianjurkan parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perkara itu dimaklumkan oleh setiausaha sulit baginda, Mohamad Munir Bani.

“Sultan Selangor menitahkan supaya mana-mana pihak tidak melibatkan nama baginda dengan mana-mana perhimpunan yang dianjurkan oleh parti poliltik atau NGO.

“Kenyataan seperti ini boleh mengelirukan masyarakat.

"Sultan Selangor sebagai sultan yang memerintah negeri tidak seharusnya dilibatkan dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak,” kata Mohamad Munir.

Semak baru percaya

Semalam, terdapat sebaran di Twitter yang mendakwa baginda dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, serta pemangku Sultan Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan turun bersama orang ramai dalam himpunan tersebut.

Melalui ciapan tersebut disertakan sekeping gambar menunjukkan DAP mahu menjatuhkan institusi yang memayungi orang Melayu.

Sementara itu Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sesuatu berita yang tular di media sosial.

Malah baginda juga mengingatkan pada waktu ini banyak berita palsi disebarkan.

"Jangan mudah mempercayainya atau terpengaruh dengan apa saja berita palsu yang anda baca, sebaliknya sentiasa menyemak terlebih dahulu faktanya," titah baginda.

Sultan Ibrahim kini berada di Jepun kerana melakukan lawatan peribadi.
LAPORAN KHAS
Penolakan ICERD

Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara Islam yang tidak meratifikasi ICERD.

Khutbah Jumaat ingatkan umat Islam tentang status Islam, institusi raja

FMT Reporters
-December 7, 2018

Khutbah Jumaat meminta umat Islam tetap setia kepada raja selagi tidak melanggar syariah. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM:  Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan umat Islam tentang status Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan, menggesa mereka tetap setia kepada raja, sehari sebelum perhimpunan kumpulan Melayu dan ahli politik di Kuala Lumpur yang menuduh kerajaan sekarang menjejaskan orang Melayu.

“Agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem perundangan di tanah air kita,” menurut teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Islam adalah agama persekutuan dan DYMM Tuanku merupakan ketua agama Islam bagi negeri Selangor. Institusi Raja merupakan kesinambungan sejarah kepimpinan warisan negara dan lambang perpaduan ummah.”

Teks khutbah itu disediakan sempena ulang tahun ke-73 Sultan Selangor, Selasa ini.

Antara lain, ia menggesa umat Islam supaya setia kepada raja selama mereka tidak melanggar syariah.

“Hubungan mesra antara raja dan rakyat yang sudah sekian lama terjalin ini perlu dikekalkan. Raja merupakan tonggak bangsa Melayu dan lambang perpaduan masyarakat serta ketua agama Islam yang wajar kita
pertahankan,” kata khutbah itu.

Umno dan PAS, 2 parti Melayu-Islam terbesar negara ini yang membentuk satu pakatan longgar, menganjurkan satu perhimpunan “kesyukuran” yang akan diadakan esok bagi menunjukkan kekuatan di tengah-tengah dakwaan mereka bahawa kerajaan Pakatan Harapan menjejaskan orang Melayu.

Perhimpunan itu, yang disokong beberapa kumpulan sayap kanan Melayu dan Islam, pada awalnya membantah cadangan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang disahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Mereka mendakwa ICERD akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu, termasuk peruntukan kuota di institusi awam, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Putrajaya bulan lepas enggan mengumumkan ia tidak meratifikasi perjanjian itu, dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan kerajaan komited untuk mempertahankan perlembagaan.

Namun penyokong ICERD mengatakan ratifikasi perjanjian itu akan menjadi satu langkah ke hadapan untuk menunjukkan komitmen kerajaan bagi menghapuskan perkauman dan amalan diskriminasi.

Khutbah hari ini juga merujuk kepada Piagam Madinah, sebuah perjanjian bersejarah yang ditandatangani Nabi Muhammad pada zaman awal Islam yang berfungsi sebagai asas untuk memerintah Madinah.

“Semua pihak hendaklah bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka serta saling menghormati antara satu dengan yang lain,” menurut teks khutbah.

Thursday, November 22, 2018

UMNO Junjung Kasih Ketegasan Sultan Selangor Angkat Bahasa Kebangsaan – Noh Omar

Azlina Rosdy
22 November 2018

KUALA LUMPUR, 22 Nov UMNO menjunjung kasih kepada ketegasan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang begitu prihatin berkaitan perlaksanaan bahasa Kebangsaan di papan tanda, kata Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Dua hari lalu, Baginda telah menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Ujar Noh, bukan sahaja hanya bahasa kebangsaan harus digunakan di papan tanda tetapi juga untuk nama taman-taman perumahan.

“Semasa saya menjadi Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dahulu, kita pernah membincangkan hal berkaitan nama taman perumahan agar menggunakan bahasa kebangsaan… tidak perlu guna nama barat yang seolah-olah negara ini tidak ada nama yang boleh dibanggakan budaya dan bahasa kebangsaan sendiri.
“Saya tahu ini dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jadi saya harap perkara ini akan dipertimbangkan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila papan tanda dual bahasa dinaikkan di sekitar Shah Alam.

Ekoran daripada itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah bertitah dan menetapkan bahawa semua papan tanda yang mempunyai dual bahasa di Shah Alam mesti dikeluarkan dan digantikan dengan bahasa yang hanya menampilkan bahasa kebangsaan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani berkata demikian dalam satu surat kepada kerajaan Negeri Selangor yang bertarikh 19 November.

Surat itu menyatakan bahawa semua papan tanda bahasa Cina di Shah Alam mesti dikeluarkan dan digantikan dengan hanya satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu.

“Operasi untuk mengubah papan tanda jalan mesti dilakukan dengan serta-merta dan disiapkan paling lambat sebelum Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-73 pada 11 Disember,” kata Mohamad Munir dalam satu kenyataan baru-baru ini.

 – MediaUMNO

Monday, November 19, 2018

Sultan Selangor arah tanggal papan tanda tulisan Cina di Shah Alam

Diterbitkan 19 Nov 2018, 5:04 petang


Sultan Selangor menitahkan supaya semua papan tanda yang menggunakan dua bahasa di Shah Alam diturunkan dan digantikan dengan bahasa Melayu secepat mungkin.

Menurut satu kenyataan setiausaha sulitnya, Mohamad Munir Bani, penukaran tersebut diharapkan dilaksanakan sebelum sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Sultan Selangor telah menitahkan supaya semula papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

"Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Disember 2018," menurut kenyataan tersebut.

Isu papan tanda itu timbul ekoran kenyataan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dr Saleeh Rahamad semalam.

Menurut Saleeh mana-mana papan tanda nama jalan yang sebelum ini disediakan dalam bahasa Melayu dan jawi oleh pihak berkuasa tempatan perlu dikekalkan.

Katanya tidak wajar mana-mana pihak menukarnya ke tulisan bahasa lain.

Terdahulu, seorang penduduk Shah Alam di akaun Twitternya mempersoalkan keperluan papan tanda nama di jalan kawasannya bertulisan Cina.

Sementara itu, setiausaha politik menteri besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata pihaknya mengambil maklum berhubung titah baginda.

"Menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Arahan telah dikeluarkan untuk menurunkan papan tanda serta merta," katanya.

Friday, June 8, 2018

'Beta dukacita hasutan benci pada raja Melayu'


Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan terbuka menghina, memperlekeh, menghasut dan mempengaruhi rakyat membenci raja-raja Melayu.

“Apa yang lebih mendukacitakan adalah kerana hasutan bagi membenci raja-raja Melayu ini dilakukan oleh segelintir orang-orang Melayu sendiri,” titah baginda dalam majlis berbuka puasa bersama rakyat di Klang hari ini.

Baginda tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkannya itu tetapi ia dibuat selepas polis menyiasat pemimpin pusat BERSATU Datuk Abdul Kadir Jasin dan aktivis Hishamuddin Rais bawah Akta Hasutan 1948.

Mereka didakwa mendedahkan dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM256.9 juta dalam tempoh 16 bulan sehingga April tahun ini.

Hishammuddin telah membuat laporan polis balas mendakwa blognya telah digodam.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin juga menegaskan institusi raja berperanan mempertahankan kedudukan orang-orang Melayu dan agama Islam serta kaum-kaum lain di negara ini.

“Penularan budaya ini di kalangan pihak-pijak tertentu perlu segera dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut membenci raja-raja Melayu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat kepada raja-raja Melayu terhakis,” titah baginda.

Monday, December 11, 2017

Azmin jangan jadi boneka DAP, selar Noh

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR
Foto RABBANI JAMIAN
 Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak supaya tidak menjadi boneka dengan hanya mendiamkan diri apabila melihat satu persatu pemimpin Pakatan Harapan (PH) menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar membidas pemimpin-pemimpin Melayu PH yang seolah-olah terpukau sehingga sanggup membiarkan Institusi Raja-Raja Melayu dihina dengan pelbagai kenyataan yang biadap sehingga mengguris perasaan masyarakat.

“Azmin jangan lupa dan jadi seperti kacang lupakan kulit bahawa lantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor adalah diperkenankan oleh Duli Tuanku.

“Kenapa Azmin dan Kerajaan Selangor berdiam diri, membiarkan Sultan sendiri dihina, melihat sahaja rakan-rakan PH berlaku biadap dan kurang ajar kepada Sultan kita.

“Kami rakyat Selangor dan UMNO negeri ini akan mempertahankan kedaulatan Sultan dan perhimpunan hari ini adalah solidariti kami kepada mempertahankan Institusi Raja Selangor,” tegas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus selesai menghadiri Perhimpunan Daulat Tuanku, di Seksyen 16 Shah Alam, Ahad.
Perhimpunan secara aman itu diadakan sebagai menzahirkan kekesalan dan mengutuk keras kenyataan biadap ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang telah menghina dan mencabar kedaulatan Sultan Selangor menerusi Twitternya pada 4 Disember lalu.

Lebih mendukacitakan menurut Noh, Azmin hanya mendiamkan diri kerana takut pada sekutu PH terutamanya DAP sehingga tidak langsung membuat sesuatu mempertahankan Sultan Sharafuddin.

“Inilah akibatnya bila kita bersekong dengan DAP, kita akan menjadi kuda tunggangan mereka, lebih menyedihkan apabila orang Melayu sendiri yang menghina, malah tiada pula yang membela menpertahankan Sultan kita.

“Sepatutnya perhimpunan ini dilakukan oleh Azmin untuk membela dan mempertahankan Sultan Selangor, tapi inilah yang terjadi dan mereka takut dengan DAP yang sebenarnya menguasai PH.

“Hari ini pemimpin Melayu seperti Zaid Ibrahim dan Tun Mahathir telah sewenang-wenangnya berlaku biadap menghina Sultan, nampaknya DAP bijak kerana berjaya menggunakan orang Melayu untuk memecah belahkan perpaduan kita,” selar Noh.
Sehubungan itu, Noh menjelaskan, satu deklarasi daripada UMNO Selangor akan dihantar kepada Sultan Sharafuddin dalam masa terdekat ini dan menuntut Zaid Ibrahim serta Tun Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjuran mereka bersikap biadap kepada Institusi Raja negeri itu.

Kira-kira 5,000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum telah membanjiri kawasan perhimpunan dengan pelbagai sepanduk bertulis ‘Zaid barua DAP biadap’ dan ‘Tun Mahathir tutup mulut’.

Peserta himpunan yang majoriti mengenakan baju merah bertulis ‘Daulat Tuanku’ berhimpun sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada Sultan Sharafuddin.

Turut kelihatan hadir ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang juga ADUN Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, Ketua MCA bahagian Kapar Datuk Song Kee Chai dan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Thursday, November 9, 2017

Bugis: Mahathir tidak akan mohon maaf

By watan 
on November 9, 2017

Tun Dr Mahathir Mohamad enggan berganjak dan tidak akan memohon maaf berhubung isu penghinaan beliau terhadap masyarakat Bugis meskipun mengundang murka Sultan Selangor serta Jakarta turut mendesak beliau memohon maaf.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu didakwa beliau hanya menghina keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan sindiran ‘keturunan lanun Bugis’ dalam dua ceramah politik bulan lalu.

Najib berulang kali mengisytiharkan beliau berketurunan Bugis dalam ucapannya. Bugis berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia.
“Saya tak kata apa-apa pun terhadap suku Bugis. Saya hanya menyerang Najib. Baca ucapan saya,” kata Mahathir secara acuh tak acuh, selepas melawat mangsa bencana banjir di Teluk Kumbar, Bayan Lepas petang Rabu.

Najib secara tidak langsung menjawab kenyataan Mahathir di satu acara baru-baru ini, mengatakan Bugis adalah pahlawan dan tidak akan merendahkan martabat orang seperti beliau.

Sindiran Dr Mahathir itu dilaporkan menyinggung suku Bugis di Indonesia, mendorong Kedutaan Malaysia di Jakarta meningkatkan tahap keselamatan dipremis kedutaan itu.

Wartawan Watan-Online

Saturday, November 4, 2017

Mahathir hina Bugis: PAS pertahan teguran Sultan Selangor

By MT Webmaster
On Nov 4, 2017
(Kedah News) – PAS Selangor menjunjung kasih di atas titah Sultan Selangor berhubung petikan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina dan memperlekeh bangsa Bugis.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan kaum adalah dengan tujuan supaya berkenalan dan berkasih sayang serta hidup dengan kerukunan.

Keburukan perilaku atau perkara yang tidak baik seseorang seharusnya tidak disandarkan kepada kaum atau keturunan, katanya yang dipetika daripada portal HarakahDaily semalam.

Beliau lalu memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Al-Hujurat: 13)

Menurut Salehen lagi, bangsa Bugis merupakan sebahagian salasilah keturunan keluarga Diraja Selangor dan sejarah telah merakamkan kepahlawanan serta kehebatan bangsa Bugis yang menjadi kebanggaan rakyat negeri khususnya.

“Justeru PAS Selangor bersama dengan titah DYMM Tuanku dan mengharap agar kita sentiasa mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta menjauhi amalan politik perkauman dan benci membenci,” katanya lagi.

Semalam pada 2 November 2017 Dewan Diraja Selangor dalam kenyataannya memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan di Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 14 Oktober 2017.

Ucapan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Sehubungan itu Sultan Selangor mengingatkan kepada semua pihak terutama orang-orang politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini, kata Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyaatan itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-