SEKILAS PANDANG: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah seorang ahli politik tidak seperti yang lain. Usaha untuk menghidupkan semula gerakan 'Boikot Barangan Cina DAP' malap dengan sebuah coretan Facebook baru-baru ini telah makan diri.
Daripada menggembleng sokongan bagi pergerakan itu, beliau telah berjaya menaikkan kemarahan seluruh masyarakat Cina di Malaysia dengan kata-kata beliau. Walaupun beliau memulakan dengan sebuah kenyataan yang bersifat umum, beliau kemudiannya mensasarkan sebuah rantaian restoran tempatan – Old Town – sebagai contoh utama apa yang harus diboikot.
Dalam kata-katanya sendiri: "Orang Melayu masih enggan memboikot (Old Town White Coffee) apatah lagi apabila pemiliknya dikatakan keluarga DAP Ngeh dari Perak yang dikenali sebagai anti-Islam.
"Selagi orang Melayu tidak berubah, orang Cina akan mengambil peluang untuk menindas orang Melayu."
Adalah jelas bahawa Ismail telah cuba untuk menjadi seorang pemimpin Umno 'baik' dengan menyerang lawan kuat politiknya, DAP. Apa yang salah, walau bagaimanapun, adalah beliau mengaitkan keseluruhan masyarakat Cina dengan DAP.
Ismail juga tahu sepenuhnya bahawa DAP tidak mewakili semua orang Cina di Malaysia.
Beliau tidak boleh berpura-pura tidak tahu, kerana Barisan Nasional mempunyai sebuah parti Cina, MCA, dan juga sebuah parti dengan majoriti ahli Cina, Gerakan, dan lain-lain di Sabah dan Sarawak. Kabinet Malaysia juga, yang dianggotai Ismail, mempunyai ahli-ahli dari kalangan kaum Cina.
Atau adakah dia menyangka bahawa Tan Sri Dr Chua Soi Lek masih mengetuai MCA, dan janji untuk tidak memegang jawatan kerajaannya masih lagi berjalan?
Mungkinkah Ismail buta warna kulit sehingga dia tidak sedar bahawa Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Mah Siew Keong, Datuk Chua Tee Yong dan ahli-ahli Kabinet lain adalah berbangsa Cina? Mungkin dia memeluk konsep perpaduan negara dan keharmonian kaum 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan begitu mendalam, sehingga dia melihat semua daripada mereka sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum?
Tunggu sekejap, itu tidak mungkin. Mengapa?
Kerana kenyataan Ismail jelas menyeru supaya adanya boikot terhadap peniaga-peniaga Cina!
Namun isi ucapannya adalah bersifat politik, dengan pandangannya jelas menyasarkan DAP. Beliau tidak memberikan contoh, atau rasional lain. Terdapat begitu banyak perkara yang tidak kena dengan kenyataan beliau – dakwaannya bahawa peniaga-peniaga Cina sedang menindas orang Melayu, sebagai contoh, adalah sangat diragui. Berapa ramaikah orang Melayu menjadi pelanggan pedagang Cina, apabila sebahagian besar daripada apa yang dijual oleh peniaga-peniaga Cina, mungkin tidak disahkan halal?
Gerai makanan sudah pasti, kecuali rangkaian restoran. Dan jika dia begitu mengambil berat tentang perniagaan Cina, mengapakah beliau menyasarkan Old Town dan bukannya McDonalds, sasaran sebuah gerakan boikot baru-baru ini?
Seperti yang semua orang tahu, McDonalds di Malaysia berada di bawah kawalan seorang ahli perniagaan kaum Cina. Bukankah lebih ramai orang Melayu makan di McDonalds? Dan mengapa bukan 7-Eleven? Rantaian kedai itu juga menjadi milik peniaga Cina.
Jawapannya mudah. Ismail telah berceramah kepada khalayak yang terpilih – orang-orang yang dipengaruhi oleh gerakan 'Boikot Barangan Cina DAP'. Pergerakan itu lahir daripada rasa tidak puas hati ke atas keputusan PRU13, dan yang paling ketara dalam hal persaingan Gardenia-Massimo.
Pergerakan itu mendakwa bahawa kebanyakan perniagaan Cina adalah dikaitkan dengan DAP, dan mempunyai agenda politik.
Ismail mempunyai hak sebagai ahli politik Umno untuk mengumpulkan sokongan terhadap beliau, dengan menggunakan retorik dan sindiran berapi-api – itu semuanya adalah lumrah bidang politik.
Tetapi kata-kata beliau mengenai perniagaan Cina memasuki kawasan berbahaya. Malah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim telah masuk campur, mengingatkan semua orang supaya berjaga-jaga dalam membuat kenyataan umum, dan 'mengundang' Ismail untuk merakamkan kenyataannya.
Walaupun adalah jelas yang Ismail telah berbuat silap, persoalan mengenai kenyataannya masih kekal.
Mengapakah seorang pemimpin Umno, dan seorang menteri Kabinet, bersungguh-sungguh menghubungkan China dengan DAP?
Adakah ini bermakna bahawa Umno tidak lagi melihat MCA atau Gerakan sebagai wakil yang boleh dipercayai masyarakat Cina?
Lebih penting lagi, adakah Umno percaya bahawa kebanyakan, jika bukannya semua, kaum Cina mungkin mengundi DAP dalam pilihan raya umum akan datang?
Ironisnya, kenyataan Ismail itu mungkin telah membuatkan ketakutan terburuk Umno menjadi sebuah kenyataan.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Ahli-DAP-kebanyakannya-berbangsa-Cina-tetapi-bukan-semua-kaum-Cina-adalah-ahli-DAP-belum-lagi#sthash.Q48PuNsn.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.