Thursday, February 26, 2015

BN tidak bertanding PRK DUN Chempaka

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka pada 22 Mac depan.

Ini, ujar Presiden Umno itu untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan.

Bernama melaporkan, beliau yang juga Pengerusi BN berkata ini kerana kerja-kerja pemulihan masih dalam proses untuk dilaksanakan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

"Masih banyak pihak yang patut terima bantuan dan masih tidak menerimanya. Kita jadikan ini keutamaan yang tertinggi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini malam tadi.

Menurut Perdana Menteri, pihaknya telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Umno Negeri Kelantan dan Umno Bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan itu.

Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Adun di situ akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Dun Chempaka pada 22 Mac sementara penamaan calon 10 Mac.

Pada PRU13 lalu, Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS mendapat 12,310 undi menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak (5,810 undi) dengan majoriti 6,500 undi. -HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-