Sunday, February 22, 2015

Hudud: DAP dendang 'lagu' amaran singkir PAS dari PR lagi

Gobind berkata, PAS tidak sepatutnya memberi amaran kepada DAP supaya tidak masuk campur hal ehwal pentadbiran negeri Kelantan. - Foto arkib TRP

KUALA LUMPUR, 22 Februari:

DAP hari ini memberi amaran bahawa PAS tidak lagi akan dilihat sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat (PR) jika ia membentangkan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bulan depan kerana langkah berkenaan tidak disokong gabungan pakatan pembangkang itu.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, hudud bukan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama PR.

“Pembentangan rang undang-undang ini juga bertentangan dengan perjanjian yang dicapai dalam mesyuarat kepimpinan PR terakhir di mana dinyatakan dengan jelas perlu ada perbincangan lanjut di antara ketiga-tiga pihak sebelum langkah seterusnya diambil berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Gobind, yang juga Ahli Parlimen DAP Puchong, menggesa pimpinan PAS menunjukkan komitmen menghormati keputusan yang dibuat majlis pimpinan PR.

“Jika PAS teruskan dengan rang undang-undang hudud itu, ia akan dianggap umpama satu tindakan yang terang-terangan dan jelas menentang rangka kerja dasar bersama PR.

“Jika begitu keadaannya, pemimpin PAS di belakang keputusan ini mesti cukup berani mengakui mereka cuba membawa PAS keluar PR dan ini menjejaskan wibawanya sebagai sebuah parti yang mengaku memberi tumpuan dan mahu berusaha ke arah mengukuhkan PR,” katanya.

Beliau juga berkata, PAS tidak sepatutnya memberi amaran kepada DAP supaya tidak masuk campur hal ehwal pentadbiran negeri Kelantan.

Gobind menegaskan, PAS perlu ingat selagi ia memilih untuk kekal dalam PR, DAP bukan saja berhak tetapi berkewajipan memastikan PAS tidak bertindak dalam apa juga cara yang melemahkan rangka kerja dasar bersama PR.

Sebelum ini pada akhir Disember tahun lalu, Gobind pernah memberi amaran bahawa PR terpaksa menggantung hubungan kerjanya dengan PAS jika kerajaan negeri PAS Kelantan meneruskan rancangan meminda Enakmen Jenayah Syariah bagi membuka jalan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Kelantan perlu membentangkan cadangan pindaan kepada undang-undang negeri itu sebelum membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dikuatkuasakan di negeri itu.

Bagaimanapun, pembentangan pindaan rang undang-undang itu pada 29 Disember tahun lalu ditunda ekoran banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur dan ia kini dijadual dibentangkan pada 18 Mac.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/22/hudud-dap-dendang-lagu-amaran-singkir-pas-dari-pr-lagi/#ixzz3STp2Mtrs

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-