DAP yang diwakili Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, ditemani Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada jam 9.40 pagi tadi.
“Kita sudah buat laporan polis sebagai tindakan susulan atas dakwaan Sirul tersebut dan minta pihak polis adakan siasatan polis berikutan kenyataan terbaru ini.
“Kenyataan terbaru Sirul ini menunjukkan ada keterangan bukti baru mengenai motif pembunuhan Altantuya,” kata Ramkarpal kepada pemberita selepas laporan dibuat.
Pembunuhan Altantuya Sharibuu menggemparkan negara apabila dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pegawainya Razak Baginda di samping penglinatan dua anggota Unit Tindakan Khas(UTK) Koperal Sirul Azhar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri.
13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati sekaligus mengetepikan rayuan mereka berdua.
Namun, Sirul Azhar meloloskan diri ke Australia dipercayai bersembunyi dari menjalani hukuman mati, sehingga The Sydney Morning Herald mendedahkan kenyataan terbarunya.
“Walaupun Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati untuk kes tersebut, itu bukanlah bermaksud kes ini telah berakhir.
“Memandangkan Sirul mendedahkan ada personalit lain dalam kes tersebut, maka siasatan harus diteruskan secara terperinci,” tegas Ramkarpal.
Tugas Ketua Polis Negara siasat, bukan spekulasi
Dalam pada itu, Ramkarpal turut menyelar sikap Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menolak menjalankan siasatan di samping menuduh Sirul menyatakan hal yang tidak benar kepada media.
“Kenyataan KPN langsung tidak boleh diterima.
“Kerana ini adalah isu kepentingan awam, isu pembunuhan Altantuya sudah menjadi tajuk berita antarabangsa, seluruh dunia sudah tahu.
“KPN tidak boleh butakan matanya untuk tidak siasat. Ini sikap yang tidak boleh diterima,”tegasnya.
Ramkarpal turut mengatakan bahawa Khalid tidak boleh berspekulasi dengan mengatakan Sirul telah dipengaruhi untuk menyatakan perkara tidak benar.
“Khalid tak ada hak mengatakan Sirul dipengaruhi pihak tertentu, sedangkan siasatan belum dijalankan pada waktu ini.
“Melainkan dia sudah menjalankan tugasnya menyiasat bukti terbaru melalui kenyataan Sirul. Tetapi dia tak buat siasatan pun.
“Kerja Khalid bukan berspekulasi, tetapi menyiasat,” tambah Ramkarpal. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.