Thursday, February 12, 2015

Masa depan Pakatan Rakyat setelah Anwar terpenjara

SUHAIZAN KAIAT
RAKYAT Malaysia yang cintakan keadilan dan keamanan sedih dengan keputusan mahkamah mengekalkan hukuman penjara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pada 10 Februari 2015 yang lalu.

Apa juga sikap kita kepada DSAI, sesuatu yang tidak dapat kita nafikan adalah peranan beliau menyatukan tiga parti politik PAS, PKR dan DAP dalam PR.

Hasilnya ialah penguasaan 51% sokongan rakyat dalam Pilihan raya Umum 2013.

Berdasarkan kepada graf turun naik prestasi kumpulan pembangkang dalam pilihan raya sejak 1990 hingga 2013, maka pilihan raya akan datang adalah masanya rakyat memberikan sokongan kepada PR untuk memerintah negara.

Syaratnya PR mesti berjaya mengekalkan sokongan sedia ada dan meningkatkan sokongan pengundi Melayu.

Ramai rakan-rakan saya bertanya apakah perpecahan dalam Pakatan Rakyat akan berlaku selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan? Ringkas saya katakan jika parti-parti dalam PR rasional, mustahil PR akan berpecah.

Perpecahan boleh berlaku dalam PR jika parti-parti di dalam PR sudah tidak lagi rasional.

5 hujah berpecah bukan pilihan rasional

Pertama: PAS dan DAP parti yang lama dalam politik Malaysia. Telah hadapi hadapi saat jatuh dan bangun. PKR pula parti baru yang ditubuh selepas DSAI dipecat daripada parti dan kerajaan tahun 1998.

Prestasi terbaik ketiga-tiga parti adalah semasa berada dalam PR dengan 51% sokongan dalam PRU13. Berjaya kekal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Berpecah dalam keadaan rakyat memberikan sokongan adalah pilihan yang tidak rasional.

Kedua: DS Najib dan komponan BN dalam keadaan sangat lemah. Diakui oleh Dr Mahathir.

Ekonomi merudum disebabkan penurunan harga minyak. Ringit Malaysia tidak pernah jatuh seteruk ini. Kes Altantuya menghambat Najib. Model Mongolia dibunuh tanpa sebab sedangkan yang dihukum adalah Pegawai Khas Najib.

Rakyat semakin curiga. Kelemahan BN adalah peluang yang ditungguh-tunggu oleh PR. Serangan kepada BN sebelum ini memang itulah tujuannya. Adalah tidak rasional jika PR memilih untuk berpecah bila BN telah lemah.

Ketiga: Realiti di Malaysia, tiada satu parti politik boleh memerintah bersendiri. Dalam sejarah Malaysia tiada satu parti politik yang boleh mendapat kepercayaan majoriti rakyat Malaysia dalam satu masa. Setiap parti politik punyai kelebihan dalam masa sama juga punyai kelemahan.

Umno punyai kelebihan dikangan orang Melayu tetapi mempunyai kelemahan dalam kalangan bukan Melayu. Begitu juga MCA dan MIC. PKR dan DAP boleh menguasai kawasan bandar tetapi tidak dapat sokongan dikawasan luar bandar. PAS boleh dapat sokongan masyarakat Islam tetapi sebelum berada dalam PR kurang disenangi oleh masyarakat non-muslim.

Formula PR adalah terbaik untuk waktu ini. Adalah tidak rasional setelah PAS, PKR dan DAP mendapat formula muafakat PR kemudian mereka menghancurkannya dan mahu kembali ketahun 1980-an.

Keempat: Perbezaan dalam PR adalah sekitar 10% sahaja iaitu seperti isu Kanun Jenayah Syariah dan pilihan raya PBT. 90% lagi adalah ruang-ruang kerjasama terbuka luas seperti menentang akta zalim, diskriminasi BN, salah guna kuasa, penyelewengan pemerintah, pilihan raya yang adil, masalah ekonomi, budaya, pendidikan, isu antarabangsa dan lain-lain lagi.

Perbezaan adalah adat dalam kehidupan. Allah sengaja menciptakan perbezaan untuk manusia berkenal-kenalan, berfikir dan berusaha. Jika tanpa perbezaan dunia akan menjadi tidak seimbang.

Contohnya Allah tidak hanya mencipta manusia berjantina lelaki sahaja atau hanya mencipta bangsa Arab sahaja. Perbezaan itulah sebenarnya kekuatan kepada manusia.

Adalah tidak rasional PR memilih untuk bertelagah pada perbezaan 10% dan meninggalkan 90% persamaan. Adalah tidak rasional PR berpecah kerana 10% perbezaan.

Kelima: Terdapat pemimpin-pemimpin yang berpengelaman dan berpengaruh dalam ketiga-tiga komponen PR.

Dalam PAS adanya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. PKR walaupun terpenjara tetapi adanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP adanya Lim Kit Siang. Mereka telah melalui getir perjuangan sejak puluhan tahun.

Mereka memahami selok belok perjuangan politik Malaysia. Mereka telah ditekan oleh BN dan dinafikan hak mereka. Mereka pernah ditipu oleh BN berkali-kali.

Adalah tidak rasional pemimpin berpengalaman dalam PR membawa PR berpecah. Adalah tidak rasional mereka menyediakan ruang masa depan politik yang sempit dan gelap kepada generasi pemimpin akan datang.

Masa hadapan PR

Setelah DSAI dipenjara banyak perkara yang perlu difikirkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Isu Ketua Pembangkang, Pilihan raya Kecil Permatang Pauh, Pengerusi PR, isu Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, pilihan raya PBT, masalah dalaman parti dan hubungan dalam PR perlu diselesaikan segera.

Semua pemimpin PR perlu melihat kepentingan bersama melebihi kepentingan parti masing-masing. Segala perbezaan perlu diurus dengan penuh bijaksana.

Pemuda PR telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi terhadap hubungan dalam PR.

Semasa krisis isu MB Selangor kita telah bersama membantu menyelesaikan krisis. Walaupun tidak berkesan sepenuhnya tetapi usaha anak-anak muda ini menjadi simbol komitmen pemuda PR mahu melihat PR berjaya menyelesaikan masalah mereka.

Pemuda PR telah bersetuju untuk mengadakan Konvensyen Pemuda PR peringkat nasional pada bulan Mac 2015. Satu tema akan dipilih untuk memperkuatkan PR. Konvensyen ini akan memberi ruang kepada anak muda PR menegur kepimpinan utama PR.

Teguran-teguran ini bersesuaian dengan masa kerana tempoh pilihan raya yang masih lama dan masih terdapat masa membuat perubahan untuk mempastikan PR lebih mantap pada masa hadapan.

Anak muda dalam PR adalah golongan yang paling awal menerima sebarang risiko jika berlaku sebarang masalah dalam PR. Anak Muda Malaysia tidak mahu dirinya diikat oleh sebarang parti politik.

Mereka boleh menyokong PR di sebelah pagi dan boleh menentang PR di sebelah petang jika PR tidak boleh diharap untuk memimpin rakyat lagi.

Waktu pagi mereka marah kepada BN kerana isu hutang 1MDB dan sokong PR kerana integriti. Tetapi pada sebelah petang anak muda Malaysia akan marah kepada PR kerana kenyataan pimpinan PR yang suka bercakaran dalam media.

Mereka tidak suka konflik dan mahu melihat PR membuktikan keupayaannya memerintah Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang sebelum mereka membuat keputusan menukar kerajaan BN dalam pilihan raya akan datang. - HARAKAHDAILY 12/2/2015

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-