Tuesday, March 24, 2015

Hanya pemimpin tertinggi PAS boleh jawab 'teka-teki' dari DAP ini..........

DAP kekal dalam Pakatan Rakyat, putus hubungan dengan Hadi
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dipengerusikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR, 24 MAC: DAP mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bekerjasama dengan UMNO untuk melanggar semangat konsensus serta Dasar Bersama Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, komitmen DAP kepada Pakatan Rakyat sebagai gabungan pentadbiran mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan, yang berhasrat membina Malaysia baru berdasarkan nilai-nilai asas seperti kebebasan, keadilan, demokrasi, integriti dan martabat manusia.

“DAP mengulangi pendirian bahawa semua parti komponen PR harus berpegang kepada semangat Dasar Bersama melalui muafakat yang berkisar pada amanah dan sifat saling menghormati dalam Majlis Pimpinan PR.

“DAP menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan. Tambahan pula, rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk Dasar Bersama.

“Justeru, setiap 37 Ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-undang Persendirian berkenaan dengan hudud yang dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” kata Guan Eng.

Tambahnya pengkhianatan Hadi terhadap keputusan bersama termasuk dibuat dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat atas pencalonan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal PR bagi jawatan Menteri Besar Selangor, sehingga mengakibatkan krisis besar dan hampir menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.;

Malah, Hadi gagal menepati kata-katanya sendiri semasa Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari 2015 bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 akan dibincangkan pada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, pembentangan Rang Undang-undang Persendirian oleh Hadi pada 18 Mac 2015 dibuat tanpa terlebih dahulu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan PR.

“DAP tidak boleh berkerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.

“DAP hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau.

“Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.

“DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan,” kata Guan Eng. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-