Saturday, March 7, 2015

Pua akan cabar saman Najib di mahkamah

Menurut Tony, saman Najib bakal catat sejarah kerana buat pertama kalinya seorang Perdana Menteri menyaman Ahli Parlimen di negara ini.- Foto roketkini.com

KUALA LUMPUR, 7 Mac:

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata beliau tidak berasa terganggu dengan saman fitnah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya.

Tony melalui akaun Facebooknya berkata, beliau tidak akan terbelenggu dengan saman Najib itu kerana jutaan rakyat Malaysia mahukan tadbir urus negara yang baik, ketelusan dan akauntabiliti daripada seorang Perdana Menteri.

“Peguam saya, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh telah menerima writ saman yang disampaikan oleh peguam Najib pada jam 4.30 petang semalam,” ujarnya.

Tony disaman berikutan ucapannya pada satu majlis makan malam DAP Petaling Jaya pada 3 November lalu mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang antara lain menyebut Najib merompak wang rakyat.

Turut disaman pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong.

Tony selanjutnya berkata, saman Najib itu juga bakal mencatat sejarah kerana mendakwa buat pertama kalinya seorang Perdana Menteri menyaman Ahli Parlimen di negara ini.

“Saman itu untuk menutup mulut saya supaya tidak mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan pada masa akan datang.

“Jika benar itu rancangan Najib untuk menutup mulut saya, ingin saya maklumkan bahawa rancangan itu gagal, sebaliknya, ia akan memperkuatkan motivasi saya untuk mendedahkan rasuah, salah guna kuasa dan ketidakcekapan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama berterima kasih kepada ramai peguam yang telah menghubunginya untuk menawarkan perkhidmatan mereka dalam kes saman fitnah itu.

Dalam pernyataan tuntutan samannnya Najib mendakwa pada 13 November 2014, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP memberi ucapan berhubung isu 1MDB.

Rakaman ucapan itu kemudiannya dimuat naik di laman YouTube dan laman web Mediarakyat di bawah tajuk “Tony Pua: Najib is Creating the Biggest Scandal Ever in the History of Malaysia“.

Perdana Menteri mendakwa rakaman itu kemudiannya dikongsi Facebook Pua dan juga laman Facebook Mediarakyat.

Setakat 2 Mac sebanyak 194,979 kali rakaman itu ditonton di laman YouTube Mediarakyat.

Manakala 200,709 pengguna Facebook mengikuti rakaman itu di laman Facebook Pua dan 165,293 lagi pengguna Facebook Mediarakyat mengikuti rakaman itu.

Najib berkata berdasarkan fakta itu, sejumlah besar pengguna Internet menonton rakaman itu dan mendengar perkataan fitnah dinyatakan Pua.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/07/pua-akan-cabar-saman-najib-di-mahkamah/#ixzz3TgEGGVca

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-