Thursday, March 12, 2015

Wartawan veteran pertikai keputusan simpan AS$1 bilion 1MDB di Singapura


Keputusan Putrajaya memindahkan wang pelaburan 1MDB sebanyak AS$1.103 bilion dari Pulau Caymen ‎ke Singapura dipertikai wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin, yang bertanya sama ada Bank Negara Malaysia begitu "bodoh" melakukan perkara demikian.

Menulis dalam blognya, bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times itu mempersoalkan keputusan kerajaan menyimpan wang tersebut di Singapura dan bukan di Malaysia.

"Soalan saya, adakah kita perlu membawa wang kita sendiri dari luar negara melalui bank di Singapura dan tidak terus ke bank kita sendiri?" tulisnya.

"Adakah Bank Negara begitu 'bodoh' membuat aliran modal begitu sukar atau ada yang sengaja mahu Bank Negara dipersalahkan?" soal Kadir.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini bahawa dana pelaburan bernilai AS$1.103 bilion dari Pulau Cayman sudah ditebus dan kini disimpan di BSI Bank Limited Singapore dalam dolar AS.


Najib selaku menteri kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua.

"Keputusan untuk menggunakan bank di Singapura bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan kelulusan BNM diperoleh bagi setiap transaksi wang melebihi RM50 juta," kata Najib.

1MDB adalah dana kekayaan negara Malaysia yang kedua selepas Khazanah Nasional Bhd, tetapi beban hutang yang tinggi dan pendedahan transaksi syarikat yang meragukan menjadikannya tumpuan beberapa bulan ini. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=255552:wartawan-veteran-pertikai-keputusan-simpan-as$1-bilion-1mdb-di-singapura&Itemid=2#ixzz3U7w9fuVa
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-