Wednesday, April 15, 2015

'Demi Rakyat, Bantah GST dan Tegakkan Keadilan' slogan kempen PKR di PRK Permatang Pauh

Anak perempuan Anwar, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh di Dataran Rakyat Guar Perahu pada Selasa malam. - Foto TRP/Adib Hakim

PERMATANG PAUH, 15 April:

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa malam melancarkan Jentera PRK (Pilihan Raya Kecil) Parlimen Permatang Pauh dan mengumumkan slogan “Demi Rakyat, Bantah GST dan Tegakkan Keadilan” dipilih untuk kempen parti berkenaan serta Pakatan Rakyat (PR).

Pada majlis yang berlangsung jam 8.30 malam di Dataran Rakyat Guar Perahu, bersebelahan Pusat Khidmat Parlimen Permatang Pauh itu bekas pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dilantik sebagai Pengarah PRK Permatang Pauh.

Beliau akan dibantu oleh tujuh ahli PR dari semua parti sekutu dalam pakatan pembangkang itu.

Sekurang-kurangnya 10 pemimpin PR dari PKR, DAP dan PAS berucap pada majlis berkenaan termasuk Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.
Kesemua mereka berikrar untuk komited berusaha mempertahankan Permatang Pauh.
Slogan “Demi Rakyat, Bantah GST & Tegakkan Keadilan” dipilih untuk kempen jentera PKR serta Pakatan Rakyat (PR). – Foto Twitter ADUN Taman Medan, Haniza Talha @hanizat

Dalam pada itu, majlis pelancaran jentera PKR bagi PRK Permatang Pauh itu dilihat diadakan tanpa penglibatan pemimpin tertinggi PAS Pusat.

Ia dihadiri kesemua pemimpin tertinggi PKR dan Setiausaha Agung DAP, Guan Eng, namun PAS hanya diwakili Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.

Ketika berucap, Mujahid berkata Timbalan Presiden PAS merangkap Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu, tidak dapat hadir pada majlis tersebut berikutan alasan yang tidak dapat dielakkan.

“Walaupun Timbalan Presiden kita tidak dapat hadir, PAS negeri akan memberi 101 peratus sokongan kepada PKR dalam PRK Permatang Pauh. PAS komited dengan rakannya dalam pakatan pembangkang,” kata Mujahid.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, manakala penamaan calon pada 25 April dan pengundian awal pada 3 Mei.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lepas, yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarga anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekaligus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/15/demi-rakyat-bantah-gst-tegakkan-keadilan-slogan-kempen-pkr-di-prk-permatang-pauh/#ixzz3XL2wIFxM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-