Saran rakyat bertani, menteri cakap seperti Pak Pandir
KUALA LUMPUR 14 APRIL- Kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalakkan rakyat bertani bagi mengurangkan belanja harian adalah tindakan tak bertanggungjawab dan penghinaan buat rakyat.
Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, G Manivannan, berkata, negara kini bukan lagi menuju ke arah industri pertanian danadalah mustahil rakyat yang tinggal di bandar dapat bercucuk tanam.
“Kenyataan menteri sekarang ini tak bertanggungjawab dan jawapannya bukan standard seorang menteri,
“Dia (Ismail) seolah-olah bercakap tanpa sebarang pemikiran, tidak melihat kepada keadaan sebenar. Macam-mana nak bertani sedangkan rakyat tiada tempat untuk bercucuk tanam, dan kita sekarang menempuh negara maju.
“Kita tengok ada menteri cakap kalau bawang mahal makan kentang, pelajar-pelajar Universiti nak berjimat masak dalam kampus, ayam mahal makan daging,
“Kenyataan ini sangat melucukan dan pemikiran mereka sama seperti Pak Pandir, tidak bernas dan menyusahkan rakyat,” sindirnya ketika dihubungi Keadilan Daily.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu semalam menggalakkan masyarakat di negara ini bertani bagi mengurangkan perbelanjaan selain memenuhi keperluan harian.
Di bawah program Jom Bertani dan Pertanian Bandar, kerajaan akan menyalurkan bantuan peralatan dan input pertanian kepada rakyat, antaranya insentif sektor tanaman bernilai RM500, sektor ternakan RM1,000 dan RM5,000 bagi sektor perikanan.
Dalam pada itu, Manivannan yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, rakyat dibelenggu tiga aspek iaitu kos sara hidup yang meningkat, pendapatan yang tidak berpatutan dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Tambahnya, tiga aspek tersebut harus dikaji oleh kerajaan serta mencari langkah alternatif yang berkesan untuk meringankan beban yang mereka sedang hadapi ketika ini.
“Rakyat dibelenggu oleh tiga benda, yang pertama kos sara hidup yang tinggi, gaji yang tak berpatutan serta GST, ketiga-tiga ini membebankan mereka terutama cukai tersebut.
“Kerajaan kena cari langkah yang bijak untuk tangani masalah ini bukan lari dari menjawab persoalan pokok yang dialami oleh rakyat saat ini,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.